Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam Diari Dai’e (1), penulis menukilkan perihal seorang dai’e yang menjalankan tanggungjawab yang telah digalas oleh Allah dan yang meneruskan perjuangan nabi Muhammad S.A.W. Berkisar tentang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka menjadi seorang khalifah yang mengembara mencari manusia atau sekumpulan manusia untuk memberi peringatan akan hari pembalasan dan hakikat penciptaan manusia.
Namun dalam melalui perjalanan dakwah, dai’e tidak sentiasa mengalami kemudahan atau kesenangan. Bahkan, ada yang gugur dan keciciran dari jalan perjuangan. Lebih teruk, ada yang menyimpang dari perjalanan dakwah sebenar. Maka manusia menjadi hairan, sedangkan mereka adalah manusia yang telah didatangi kesedaran dan kekuatan untuk mendepani masyarakat, namun tertewas sebelum mengecapi kemenangan.
Usah Pergi Jauh
Cabaran kepada dai’e boleh datang dalam pelbagai bentuk, ada yang jelas boleh dinampak dan ada yang tidak, hanya bermain di minda, hati dan perasaan. Kadangkala dai’e tidak boleh pergi jauh dan menyumbang sebanyak mungkin dalam kerja dakwah. Mereka berasa terbeban, dan kadang-kadang berfikir dua kali sebelum memulakan kerja dakwah. Mereka seolah-olah layang-layang yang terikat, dan tidak boleh terbang tinggi dan menjadi hebat.
Seruan dakwah boleh datang dalam dua perspektif; sama ada kita menjadi baik untuk mengajak orang lain menjadi baik atas kesedaran dakwah, atau kita mengajak orang lain menjadi baik atas kesedaran melalui tarbiyyah. Melihat kedua-dua perspektif, hanya ada satu kesimpulan bahawa kedua-duanya bermula dengan tarbiyyah. Ada orang yang ingin masyarakatnya maju, maka dia memulakan perjalanan memperbaiki diri sebelum memperbaiki orang lain. Ada orang yang memulakan tarbiyyah hanya untuk memperbaiki diri sendiri, namun akhirnya mencerna semangat dan kefahaman tentang perlunya dakwah iaitu mengajak orang lain memahami dan melalui jalan tarbiyyah.
Dai'e itu ibarat kepompong. Ia bersusah payah menjalani tarbiyyah dan akhirnya terhasil menjadi seekor rama-rama yang indah dan menyedapkan mata yang memandang. Jika dai'e tidak mendidik diri dan membina kekuatan, mustahil untuk menjalani kehidupan sebenar dan kekal dalam perjuangan. Malah, kepompong itu tidak akan pun bertukar menjadi seekor rama-rama yang bebas, hanya hidup dalam kesempitan dan kegelapan.

Oleh itu, usah pergi jauh terlebih dahulu untuk mencari mad’u. Kerana dalam diri dai’e itu sendiri, ada mad’u yang perlu dididik dan dijaga agar segala pekerjaan yang dilakukan akan menjurus kearah kebaikan dan menyumbang kerja dakwah. Sebelum dai’e mengingatkan orang lain, mereka haruslah mengingatkan diri mereka tentang tujuan sebenar manusia diciptakan, dan ke mana hala tuju akhir umat manusia. Dengan itu, barulah segala amalan terjaga, bahkan bersedia untuk memulakan perjalanan dakwah. Walaupun hanya dengan satu ayat al-Quran atau sepotong hadis ringkas, ada di antara dai’e yang boleh menggegar dunia dan menambat hati mad’unya. Sabda Rasulullah S.A.W.;
Dari Abdullah bin 'Amr ra: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.” (Bukhari dan Tirmizi)
Namun, apa yang lebih penting adalah diri dai’e memerlukan dzatiyah yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang, tidak kira dalam pembinaan diri atau orang lain. Oleh kerana itu, motivasi dan sumber kekuatan dai’e harus diperjelas dan diyakini, yakni semata-mata kerana membantu agama Allah dan RasulNya, dan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat sana. Tidak ada kekuatan lain melainkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, juga tawakal atas pertolongan Allah.
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad : 7)
Tidak akan tercapai kemenangan dan objektif dakwah oleh dai’e yang berkepentingan diri, mengajak manusia ke arah Ilahi dengan niat menampakkan kehebatan dan mengejar kemasyhuran. Sungguh hina para dai’e yang berpayung dibawah naungan Allah dan ajaran RasulNya namun hanya memikirkan keuntungan duniawi. Tidak akan Islam memerintah dunia jika dai’e tidak memerintah diri dan hawa nafsu sendiri.
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL












