Dalam Bingkisan Semalam (1), penulis menggarap beberapa perkara tentang kehidupan kita yang penuh liku dan pelbagai ragam. Sehinggakan kita hanya melihat dari satu sudut pandang dan mengendahkan sudut pandang sebagai seorang yang beriman kepada ketentuan Allah.
Jatuh Bangun
Ada suatu ketika semasa bekerja, penulis dimarahi bos kerana lambat menghantar pizza. Apakan daya, penulis hanya mampu meminta maaf dan berjanji ia tidak akan berulang lagi. Tetapi hakikatnya, teguran tersebut betul-betul menimbulkan rasa kecewa. Kerana apa? Rumah pelanggan tersebut jauh, ditambah lagi dengan perjalanan yang melalui lampu isyarat 2 kali pergi dan balik, sudah tentu ia memakan masa! Namun penulis mengalah dan hanya menyimpan perkara sebenar, disembunyikan agar tidak kelihatan seolah-olah penulis suka beralasan.
Ada juga ketika, pelanggan yang kita hormat, disapa dengan penuh kemesraan, akhirnya membalas dengan kemarahan. Apa salahnya? Penulis tidak mempunyai wang secukupnya untuk membayar baki kepada pelanggan. Tidak mengapa, penulis mengambil masa, berusaha untuk megumpul duit syiling agar baki bernilai 2 dollar dapat dipulangkan. Tetapi apakan daya, penulis dimarahi hanya kerana 1-2 minit yang dibazirkan. Dan pelanggan hanya berkata, “I’m hungry and I need to eat this pizza now!”.

Sememangnya rata-rata masa bekerja, penulis tidak merasa sukar atau geram tak kisahlah dengan kerenah pelanggan atau bos. Tetapi ada kalanya perasaan penulis tersentak, seolah-olah dipukul bertalu-talu, sedikit demi sedikit, hentaman demi hentaman, lantas air mata mengalir kerana tidak tahan dengan apa yang berlaku.
Jika kita nisbahkan apa yang berlaku seperti contoh sepanjang masa bekerja, dengan sepanjang kehidupan kita, ia adalah sama. Kadang kala kita akan gembira dengan pekerjaan yang kita lakukan, pelanggan berasa gembira, mereka begitu mesra, dan di dasar hati kita merasakan bahawa inilah pekerjaan yang terbaik! Akan tetapi, janganlah kita lupa tentang hakikat bahawa dalam kehidupan kita, atau semasa bekerja, kita akan mengalami juga keadaan yang menyakitkan hati, membuahkan rasa kecewa, dan menggalakkan rasa berputus asa.
Itulah naik turun, jatuh bangun kita. Tidak ada perkara yang sentiasa mudah dilaksanakan, tidak ada perkara yang sentiasa menyenangkan hati kita dalam kehidupan sebenar. Kerana hakikatnya, manusia ada yang jatuh kerana ujian dan cabaran. Akan tetapi, sekiranya kita meyakini bahawa Allah jualah yang merancang, maka kita akan berfikiran positif, sentiasa bersangka baik dengan tuhan, dan akan cuba untuk cepat-cepat bangkit dan terus berjalan. Firman Allah yang bermaksud:
"Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman." (At Taubah : 51)
Mana mungkin Allah yang menciptakan manusia dengan sebaiknya, lalu ditimpakan seberat-berat ujian. Bukanlah untuk menjatuhkan semangat dan menggagalkan hambanya, akan tetapi ia adalah suatu bentuk tarbiyyah untuk meningkatkan tahap keimanan, kualiti insani dan memberi kejayaan di dunia dan akhirat. Yakinilah bahawa rahmat Allah sentiasa bersama hambanya yang sentiasa bergantung harap kepadaNya. Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" (Al-Baqarah : 214)
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment