Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Itulah hakikat manusia hari ini. Dalam menjalani kehidupan seharian, yang dianggap sebagai rutin yang berulang kali dan sudah menjadi kebiasaan, tidak kita terfikir akan nilai dan tempat setiap perkara yang dilaksanakan disisi ilahi. Sungguh sekiranya kita mendasari setiap inci perjalanan kehidupan atas dasar untuk mendapat keredhaan Ilahi, sudah cukup untuk menerapkan nilai ibadah atau pengabdian kepada Allah S.W.T. pada pekerjaan dan amalan yang kita lakukan hari demi hari.
Beberapa hari yang lalu, penulis menghadiri suatu program, yang dinamakan Jalinan Musim Luruh atau dalam bahasa Inggerisnya, Autumn Gathering bagi sesi 2011. Tersentak pada sesuatu detik semasa program tersebut berjalan, apabila penceramah pada ketika itu menyatakan bahawa, kehidupan masyarakat hari ini adalah sebuah bentuk kehidupan yang direka-reka, semata-mata untuk menjatuhkan umat Islam sendiri, oleh musuh-musuh Islam yang nyata, yakni barisan kapitalis Barat. Bagaimana umat Islam masa kini dikijangkan daripada menjadi seekor singa yang hebat, atau dalam erti kata mudah, dijatuhkan dan ditindas?
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al-A’araf:27 (sebahagian))
Itulah punca utama kejatuhan umat Islam hari ini, syaitan durjana telah mempergunakan orang-orang yang tidak beriman, terutamanya anasir-anasir Barat atau sesiapa sahaja yang berniat untuk menghancurkan Islam, bagi memastikan bahawa kekuatan aqidah umat Islam akan kian terhakis, dan akhirnya terputus dari landasan mencari keredhaan Ilahi.

Sungguh dinamik gaya hidup masa kini, rekayasa semata-mata, namun mudah memperdaya dan memuaskan mereka yang terpencil dari rahmah dan makrifah tentang tuhan. Sungguh cantik arus kehidupan yang bersifat materialisme dan hedonisme yang mengasyikkan umat manusia untuk tamakkan harta dan kedudukan, berhibur berlebihan dan memuaskan nafsu cernaan syaitan. Inilah hakikat kehidupan umat Islam hari ini yang perlu kita terima, dan perlu untuk diperbetulkan semula. Kerana ini adalah rutin yang merunsingkan!
(akan bersambung)
aRifF.DaNiaL



