Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Semalam penulis bersyukur kerana berkesempatan untuk menghadiri program pengisian oleh Sister Khadeejah, seorang warganegara Australia yang sudah memeluk Islam selama lebih kurang 16 tahun.
Menurutnya, kedatangan Islam ke dalam hidupnya tidak pernah terjangka, kerana perkara yang hanya dilakukan beliau adalah, membaca al-Quran untuk mencari kebenaran apa yang dibawa oleh Islam, berkaitan penciptaan manusia. Oleh kerana al-Quran tidak mempunyai indeks seperti buku-buku ilmiah yang lain, beliau terpaksa membacanya bermula dengan muka surat hadapan al-Quran untuk mencari ayat yang berbicara tentang kejadian manusia.
Namun, setelah terjumpa ayat di dalam al-Quran yang menceritakan secara terang dan terperinci perihal yang dicari, bagi beliau, sesuatu yang sudah pun diperkatakan sejak 1400 tahun yang lalu, hanya terbukti pada zaman teknologi hari ini, adalah sesuatu yang tidak dapat dipersoalkan. Maka dengan itu, keyakinannya terhadap Islam mulai bercambah.
Apa yang penulis ingin sampaikan bukan semata-mata sejarah kehidupan Sister Khadeejah, bukan untuk mengangkat martabat seorang muallaf, bukan juga untuk merendahkan darjat orang yang sudah pun bergelar Muslim untuk perbandingan. Namun apa yang ingin penulis berkongsi kali ini, adalah berkisar tentang apa yang beliau sampaikan, iaitu perihal beribadah dan berserah diri kepada Allah s.W.T., suatu topik yang kadangkala dipandang remeh perihal maksud sebenarnya dan praktikaliti dalam kehidupan seharian sebagai seorang abdi, lebih-lebih lagi di dalam abad ke-21 ini.
Salah satu maksud mengabdikan diri kepada Allah yang diperkatakan beliau adalah tentang hakikat pelaksanaan kehidupan seharian yang dikerjakan dengan niat kerana Allah, pada masa yang sesuai dan tempat yang sesuai, serta tidak mengabaikan ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji.
Secara teori, seolah-olah kebanyakan perkara yang kita lakukan pada hari ini, pada saat ini, di mana sahaja kita berada (bagi penulis, mengarang entri blog di dalam ruangan peribadi), tidak sedikit pun berkisar tentang atau mencerminkan ibadah atau pengabdian kita kepada Allah S.W.T. Kerana hakikat umat Islam hari ini, apabila berbicara mengenai ibadah, mereka akan menjawab perihal-perihal ibadah khusus, yang menjadi rutin harian masyarakat Islam tidak kira dipenjuru mana mereka kerjakan, tanpa menyedari sebahagian lagi cabang pengabdian kepada Allah S.W.T. selain apa yang mereka ketahui.
Walhal, sekiranya kita mendalam konsep sebenar pengabdian kepada Allah S.W.T., seperti apa yang diperjelas Sister Khadeejah kelmarin, pengabdian kepada Allah S.W.T. boleh sahaja dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, pada setiap masa dan dimana sahaja kita berada. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyeru): Beribadahlah kepada Allah (sahaja) dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahl : 36)
Rasulullah S.A.W. diutuskan Tuhan untuk menunjuk jalan yang benar, yakni Islam, mengajar perihal pengabdian kepada Allah, tidak boleh menyekutukan, dan memperjelas perihal Islam yang syumul. Dalam kehidupan seharian Nabi S.A.W., bagi seseorang yang menyeru kepada pengabdian, sudah semestinya melaksanakan apa yang ingin diserukan. Sekiranya kita telusuri sirah Rasul S.A.W., kita dapat lihat bagaimana corak kehidupan Nabi yang tidak stereotaip, bukan sesuatu yang biasa, bukan juga rutin yang sekadar dilaksanakan dan diulang beberapa kali. Dalam usaha berdakwah, baginda bertungkus lumus kerana itulah tanggungjawab yang digalas Allah S.W.T. ke atas pesuruhNya.
Namun, sedar atau tidak, adakah Nabi sepanjang hari, selama 24 jam, 7 hari dalam seminggu, berkerja keras dengan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji? Apakah kita tidak sedar bahawa terdapat sedikit sebanyak persamaan antara kita dengan baginda yang kita cintai dan sanjungi? Adakah setiap amalan yang kita laksanakan sekadar rutin yang berulang kali, tanpa ada nilai di sisi Ilahi?
(akan bersambung)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment