Tuesday, February 22, 2011

Apa Yang Engkau Mahu?

Siapa yang akan menyangka...
Tahun berganti tahun, kasih juga berganti kasih...
Andai suatu ketika dahulu kau julang kasih yang ditemu setinggi-tingginya...
Kini kerana kasih yang baru bertandang, kasih yang lama semakin dari hati menghilang...
Adakah masih terpahat disanubarimu akan kasih yang lama?...
Atau sudah terbenam dimamah masa kerana kasih baru yang semakin memikat jiwa?...

Kini engkau teringat semula akan kenangan lalu...
Sebagaimana pelangi indah menghias luasnya langit membiru
                                Kasih dahulu sentiasa disisimu disaat engkau dalam keadaan haru ...
                                                Menemanimu kemana sahaja yang engkau ingin tuju...
                                                Melayan segala apa kerenahmu tanpa rasa lemah dan tidak mahu...
Tidakkah engkau merindu kasih yang lama untuk kembali bertamu?...
Apakah engkau yakin kasih yang lama tidak memerlukanmu?...

Sedarlah wahai hati, dirimu masih lagi ingin didekati...
Kerana dia sentiasa disisi, tidak pernah pergi walau hati sudah tercalar pedih...
Sahaja engkau yang tidak peka akan kehadirannya, membuatkan dia rasa tersisih...
Maka sekali lagi ingin aku bertanya, apakah engkau masih mahu miliki kasih lama yang ternanti-nanti?...
Atau kasih yang baru sudah bertakhta dihati, tiada bisa berkongsi dan menerima serta memberi...


Jangan terlambat membicarakan kata hati...
Kesabaran manusia itu tidak tinggi, bakal melukakan sekiranya batasan dilampaui...
Jika engkau masih memerlukan kasih yang lama, tidakkah kenangan lampau cukup untuk memanggil dia semula?...
Jika dengan kasih yang lama sudah engkau tidak berkenan, wajarkah engkau berdiam diri tanpa memberi sebarang penjelasan?...
Amat bermakna buat kamu sekiranya pilihan pertama menarik minat hatimu...
Kerana kasih yang lama tidak akan pernah mensia-siakanmu
engkau akan lebih disayangi Tuhanmu kerana masih setia dengan perkenalan yang  dulu...
Namun, jika yang kedua menjadi pilihan hatimu
nescaya akan berlalu jugalah kasih yang barumu sepertimana yang sudah pun berlaku pada kasih lamamu...
Maka pilihlah dengan sebetulnya, apa yang engkau mahu...
Antara dua, tiada yang lain melainkan salah satu...


aRifF.DaNiaL

Saturday, February 19, 2011

Beratnya Ujian

Hati sentiasa bergelora, tatkala sesuatu berlaku pada sesuatu masa...
Tidak tahu mengapa, ingin dibiarkan sahaja namun jiwa semakin terseksa...
Mahu sahaja berteriak “Kenapa?!”, namun risau termakan nafsu amarah dan dosa...

Mungkin Tuhan menguji sejauh mana kesediaan hati...
Dalam menempuh kehidupan yang penuh dengan duri...
Setiap perkara yang berlaku pasti ada yang tersembunyi...
Hanya keyakinan kepada Ilahi menguatkan diri...
Tidak kira seberat mana pun dugaan yang mendepani...


Was-was dan ragu-ragu itu senjata taghut durjana...
Membisik memujuk dan mengawal nafsu ke kancah hina...
Hati semakin meronta-ronta lantaran cintaNya solah-olah semakin hilang dari jiwa...
Adakah benar diri sudah ditinggalkan Tuhan?...
Tidakkah Dia kasihan melihat hatiku bergetar kerana beratnya ujian?...
                                              
Sama sekali tidak wahai diri dan sahabat...
Ingatlah Dia Tuhan yang memberi syafaat...
Maka doamu akan termakbul jika kamu berpegang kuat...
Kesusahan di dunia semata-mata adalah untuk kebahagiaan di akhirat...
Itulah pengakhiran matlamat kita selaku umat Muhammad...



aRifF.DaNiaL

                                               

Thursday, February 17, 2011

Nasionalisme VS Asobiyyah (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

INTRODUKSI

Terdetik di fikiran penulis untuk berkongsi pendapat selanjutnya berkaitan suatu perkara yang pernah penulis bincangkan dalam entri sebelum ini di bawah tajuk “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia”. Kali ini, penulis membawakan khas kepada pembaca sekalian berkenaan perkara tersebut atas dasar untuk memperjelas perihal sebenar yang menyelubunginya. Melihat kepada tajuk entri kali ini, fokus penulis akan tertumpu kepada konsep nasionalisme dan asobiyyah.

Mengapa harus perkara ini dibincang dan diperjelas? Hal ini kerana kedua-dua istilah ini berkait rapat dengan tujuan penciptaan kita di muka bumi untuk menjadi khalifah memakmurkannya, dan bukan sebaliknya. Kerana memandang berat matlamat ini, kedua-dua konsep yang seringkali menjadi isu perbahasan itu wajar untuk kita selongkar demi membongkar rahsia sebenar. Untuk apa? Tidak lain dan tidak bukan untuk mencari semula hala tuju perjuangan kita, terutamanya dalam konteks Negara kita Malaysia.

Ramai yang beranggapan bahawa nasionalisme itu selari dengan tuntutan agama, namun ada juga yang berpendapat bahawa perjuangan bangsa itu tidak lain dan tidak bukan mengetepikan agama dari agenda dan gerak kerja perjuangannya. Di samping itu, bagi asobiyyah, ada yang berpendapat bahawa ia adalah semangat perkauman yang ekstrem, taksub dalam memperjuangkan hak-hak dan keperluan bangsa sendiri tanpa mengambil kira hak-hak dan keperluan bangsa lain. Dalam erti kata lain, asobiyyah boleh dikatakan sebagai perjuangan yang sama sekali tidak sejajar dengan tuntutan Islam yang menganjurkan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umatnya.

Jadi, apakah konsep dan maksud sebenar disebalik kedua-dua istilah yang seringkali disalahertikan itu?

(akan bersambung...)


aRifF.DaNiaL

Monday, February 14, 2011

Kasih Tuhan

Pernahkah cahaya seterang ini menyinar kehidupanmu?...
Tatkala engkau kesusahan, tiada tempat untuk mengadu
                siapa yang menjadi pendengar setiamu?...
Atau di waktu senang engkau dipuaskan dengan segala apa yang engkau inginkan
                adakah engkau terfikir untuk bertemankan Tuhan sebagai tanda kesyukuran?...

Sungguh indah kehidupan apabila tangisan menjadi perkara yang mustahil
                                                apabila senyuman sentiasa terukir tanpa risau dan musykil...
Apabila minda semakin kosong hati menjadi alpa lalu kian memencil...
Dari Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tidakkah engkau berasa kerdil?...

Siapa sangka akan hujan dikala mentari terpacak tegak
                ada buaya mendiami sungai yang tenang tidak berkocak...
Kerana hakikat ketentuanNya tidak boleh diagak-agak
                engkau kini terumbang-ambing tidak terpasak aqidah yang agungnya tinggi memuncak...
Tidakkah engkau merasakan kerugian?...

Sedangkan dahulu kesenangan dan kejayaan menjadi temanmu dalam kehidupan...
Kini derita dan kesusahan mendampingi, namun engkau berpatah arah berputus asa tanpa Dia yang Menciptakan...
Sungguh engkau berada dalam kerugian...
Kerana kasih Tuhan tidak lagi berpautan
sudah kalah dimedan ujian
tidak terhitung dosamu yang mengabaikan
tanpa rasa terima kasih dan kehambaan...

Namun, pintu taubat tidak pernah terkunci...
Selagi engkau masih inginkan kebahagiaan hakiki...
Tidak ada pengecualian bagi mereka yang punyai secalit jiwa yang suci...




aRifF.DaNiaL

Saturday, February 12, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (6)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Entri yang lalu dalam “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (5)”, telah diketengahkan penulis hakikat perjuangan bangsa Melayu Muslim di Negara yang berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran, baik dari dalam atau dari luar. Perpecahan dalaman dan perbalahan antara bangsa menyukarkan perjuangan untuk menegakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai satu-satunya undang-undang dan garis panduan kehidupan yang patut dilaksanakan dan disemai oleh bangsa Melayu Muslim sebagai pemegang majoriti tampuk pentadbiran Negara. Bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, kita yakin dan percaya bahawa Islam itu lebih dari agama, kerana ia adalah ad-Deen pembawa rahmat, dan perjuangan kita bertujuan untuk berkongsi rahmat, kemakmuran dan keadilan tersebut dengan bangsa-bangsa lain yang bukan beragama Islam. Jadi, kemana hala tuju Malaysia apabila kita membicarakan tentang perjuangan menyebarkan fikrah ad-Deen pembawa rahmat? Bagaimana kekangan dan kekurangan yang kita hadapi dapat diatasi dalam merealisasikan tuntutan Islam untuk kejayaan umat?

Hala Tuju Akhir


Sebelum berbicara mengenai strategi dan rentak perjuangan bangsa dan agama, seeloknya bangsa Melayu Muslim sendiri menghentikan perbalahan dan perpecahan yang bukan sahaja tidak akan memacu ke arah kekuatan bangsa, malah memustahilkan usaha untuk memartabatkan agama Islam di Malaysia. Perselisihan fahaman dan agenda perlu diperjelas dan ditolak ansur dalam kalangan mereka yang memegang kuasa memerintah terutamanya parti-parti politik. Sedarlah bahawa kita selaku umat Islam, perlu menitikberatkan konsep kebersamaan dan persaudaraan melalui ikatan ukhuwah atas dasar keimanan. Tidak molek sekiranya kita bertengkar sesama sendiri tanpa melihat kepada kemungkinan yang bakal membawa bangsa dan agama jauh lebih baik berbanding sekarang. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Orang-orang beriman (mukmin) itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.  (Surah Al-Hujurat:10)

“Percayalah ,pada hari kiamat nanti Allah akan berkata, 'Mana dia orang -orang yang saling kasih mengasihani demi keagunganku? Pada hari ini mereka itu akan kuberi naungan ,sedangkan pada hari ini tiada naungan kecuali naunganku”. (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam memperjuangkan agama, berdamailah untuk kesejahteraan bersama. Rahmat Allah S.W.T. akan sentiasa bersama mereka yang bersaudara dan bersatu. Kerana dengan perpaduan dan semangat kekitaan yang kita bina, tidak akan Melayu Muslim gentar dengan apa sahaja tentangan dari mereka yang ingin menjatuhkan Islam dan Melayu Muslim di Negara kita, kerana Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Allah berkata ,"Nabi Muhammad ialah utusan Allah. Dan orang -orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam .Sebaliknya ,mereka bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka”. (Surah Al-Fath:29)

Ia turut diperkukuhkan oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabdanya yang bermaksud:

"Seorang Mukmin dengan Mukmin lainnya seperti satu bangunan yang tersusun rapi, sebagiannya menguatkan sebagian yang lain". (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Tiada kerugian sekiranya kita saling tawar menawar dan menyusun satu agenda yang baru dan seragam, tiada masalah jika kita duduk semeja dan bersama memerintah Negara ke arah Islam yang syumul. Ingatlah, UMNO yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu, sebenarnya pada masa yang sama memperjuangkan nasib orang Islam di Negara melalui penguasaan politik secara majoriti. PAS selaku parti yang memandang jauh ke arah pembentukan Negara Islam, sudah semestinya mampu berganding bahu dengan UMNO kerana kedua-duanya mempunyai kekuatan dan visi yang boleh diperjuangkan seiring senada dan seirama.

Friday, February 11, 2011

Mahabbah Fillah

Dalam diam cinta terbuku mengarang ceritera romantika...
Semakin dalam menusuk kerana mata merakam sekilas rupa...
Takutkan nafsu diri membisu seolah bibir terkunci minda terkesima...
Namun iman terteguh lantas diri tertunduk malu, memohon dijauhi sekecil mana pun zina...
Itulah suci jiwa dan perasaan yang menghambat diri tanpa berkira...

Yakin dengan Tuhan petua memendam rasa walaupun sukar...
Jodoh pertemuan Dia yang Maha Berkuasa, tidak perlu gusar...
Mungkin cinta yang diluah menambah dosa mendekatkan Jahannam yang membakar...
Maka jadikan takwa pendinding sentiasa agar terkawal nafsu yang kuat mengejar...

Usah dikhuatirkan jika jodoh tidak bertandang mencuri perhatian...
Yakinlah dengan Tuhan bahawa belum tiba masanya untuk ditakdirkan...
Perkasakan dahulu jiwa biar suci dari kemungkaran dan kemaksiatan...
Kelak yang terbaik Tuhan akan bongkar tatkala diri sudah cukup persediaan...

Saat bertemu jodoh yang diimpikan, kamu amat girang namun usah hilang kawalan...
Cintailah dia sebaik-baik pilihan kerana Tuhan yang Esa telah menentukan...
Semoga sentiasa bersama meniti kehidupan tanpa perbalahan...
Dibawah naungan kasih dari Tuhan yang meredhai jodoh dan pertemuan...
Dengan syurga menjadi taman persemadian cinta nan berkekalan...




















“Dan di antara tanda-tanda kekuasaaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: 21)


aRifF.DaNiaL


Wednesday, February 9, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (5)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam siri “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia” yang lepas, penulis sudah menggariskan gerak kerja sebenar kita selaku Melayu Muslim, yakni memartabatkan Islam pada bangsa untuk memartabatkan Islam di Malaysia.  Islam kita harus sedar tidak terletak hanya kepada ibadah seperti mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan sembahyang, berpuasa,menunaikan  zakat dan haji, malahan ia menjangkau kepada cara mentadbir Negara, perekonomian, juga aspek kehidupan seharian dan kemasyarakatan. Oleh itu, dalam setiap perjuangan gerak gempur Islam mestilah berpaksikan kepada kesyumulan Islam. Ini bermakna, apabila bercakap mengenai perjuangan Islam, kita juga memperjuangkan tatacara muamalat, sistem syura, pembinaan akhlak mahmudah dan sebagainya, bukan perjuangan separuh atau sebahagian dari Islam.

Namun, perjuangan ini tidak akan mudah kerana Malaysia terdiri dari berbilang kaum dan agama. Sedikit terlanjur kata dan seinci terpesong dari agenda utama, kita bakal dihentam dan dipertikai malahan boleh membawa kepada perjuangan yang mustahil akan mencapai kejayaan. Jadi, apakah kekangan-kekangan yang bakal menimpa dalam perjalanan mencapai kedaulatan Islam di bumi Malaysia?

Sistem Perundangan

Hasil campur tangan British ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan usaha kearah mencapai kemerdekaan tanah air, Perlembagaan Persekutuan telah dilengkapi dengan dua sistem perundangan, yakni undang-undang sekular dan undang-undang Islam, menurut Ketua Hakim dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55, Salleh Abas. Jika kita teliti pelaksanaan undang-undang sekular, ia meliputi undang-undang awam seperti pentadbiran dan kehakiman, manakala undang-undang Islam merangkumi undang-undang peribadi dari aspek kekeluargaan dan warisan.

Dari sini kita dapati bahawa sistem pentadbiran secara realiti tidak melaksanakan undang-undang Islam seperti yang dituntut untuk dijalankan oleh golongan pentadbir dan mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Undang-undang Islam hanya dilaksanakan dalam skop yang kecil, tanpa mempengaruhi aspek politik dan ekonomi . Islam juga tidak dijadikan sebagai garis panduan dalam segala gerak kerja yang melibatkan kedua-dua aspek tersebut. Walaupun perekonomian secara Islam ada diamalkan, namun ia tidak diletakkan sebagai prioriti apabila kita menyaksikan amalan riba’ dan judi yang sepatutnya diharamkan mengikut perundangan Islam, berlegar-legar tidak kira di kaki lima mahupun tempat tersembunyi. Lebih parah pemberian lesen judi kepada francais-francais tertentu seolah-olah tidak mengendahkan hakikat bahawa undang-undang Islam wajib ditegakkan bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, malahan ia adalah menjadi tanggungjawab kita selaku Muslim untuk menghindar dari perkara yang dilarang Allah S.W.T. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala”. (Riwayat Ahmad, Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Konflik antara pelaksanaan kedua-dua cabang undang-undang di Negara ini menyukarkan perjuangan umat Islam terutamanya Melayu Muslim selaku pemegang majoriti tampuk pemerintahan Negara. Dengan senario masa kini yang memperlihatkan keadaan yang semakin meruncing dalam persoalan pelaksanaan hukum Islam seperti hukum hudud, pelbagai lapisan bangsa mempersoal dan menggertak supaya hukum yang dikatakan kejam itu tidak dilaksanakan. Bangsa bukan Islam yang melihat perjudian dan perniagaan kasino sebagai sumber pendapatan juga dengan keras menolak pengharaman kegiatan tersebut, ditambah pula dengan isu berkaitan orang Islam yang masih dibawah umur berkahwin awal, bangsa bukan Islam menuntut agar Undang-Undang Keluarga Islam dipinda menjadikan ia selari dengan Undang-Undang Sivil, jadi mana mungkin pelaksanaan hukum Islam dapat direalisasikan dengan mudah.

Noktah Terpadam

Cuaca tidak menentu...
Inikan pula kehidupan yang penuh liku...
Noktah dititik CINTA belum ditemu...
Tanpa sedar diri terkaku membisu...
Adakah ‘ia’ bakal direstu?...


Cangkir iman berderai kencang...
Ikatan takwa terlerai senang...
Noktah tertitik air mata berlinang...
Takut terseksa tidak kepalang...
Apabila masa mustahil diulang...


Cuba dalami dasar sanubari...
Indah seperti taman atau kontang tidak dihujani...
Noktah terpadam CINTA ditemui...
Terangnya ibarat mentari bumi...
Asbabnya ‘ia’  diterima Ilahi...



“Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kesenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah hutan”.

(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)




aRifF.DaNiaL

Monday, February 7, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam entri “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (3)”, penulis telah mengolah sedikit sebanyak berkaitan keraguan, ketidakpastian dan salah faham yang berlaku gara-gara Perlembagaan Persekutuan yang kurang difahami masyarakat secara amnya. Masih ada yang berpendapat bahawa dokumen tertinggi itu seolah-olah tidak berfungsi untuk memastikan kelancaran dan keamanan dalam pelaksanaan undang-undang Negara, tidak kira undang-undang Sivil atau undang-undang Syariah. Namun, persoalan mengenai hala tuju Negara, mengambil perhatian terhadap isi kandungan perlembagaan yang acap kali disalah ertikan, kian meruncing dan hampir tiada jawapan dan jalan penyelesaian. Jadi, kemanakah hala tuju Malaysia dan apakah dasar perjuangan kita Melayu Muslim di Malaysia sebenarnya?

Perjuangan Sebenar



Juga dalam entri yang lepas, telah dinyatakan melalui hadis Rasulullah S.A.W. yang menggariskan bahawa ketakwaan dan ketaatan dalam melaksanakan syariat Allah S.WT., mengaplikasi cara hidup Islam sepenuhnya dalam kehidupan seharian dan memperkasakan Islam dalam kalangan bangsa adalah kunci untuk menjadi umat yang tertinggi nilainya disisi Allah S.W.T. Tiada pemerintah sekalian alam yang lain yang wajar disembah dan dituruti melainkan Dia Maha Mencipta dan Mentadbir. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Allah menerangkan, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia,Yang sentiasa mentadbirkan dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu; tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Ali-Imran:18)

Sunday, February 6, 2011

Purnama Sentiasa Gemilang

Terkadang aku dikuasai sepi...
Sehingga tangisan membasahi pipi...
Rendahnya diri untuk aku berkongsi...
Lemahnya hati terasa jauh dari Firdausi...

Terasa malam semakin panjang...
Derita tak diundang kerap mendatang...
Tidak mengapa apabila dikenang...
Kerana purnama sentiasa gemilang...

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hak-hak keistimewaan Melayu’ sememangnya adalah dua item dan istilah yang berbeza. Malahan istilah pertama itu tidak langsung disebut dalam Perlembagaan Malaysia, mungkin lahir menerusi agenda politik yang mengejar cita-cita untuk memperjuangkan nasib parti politik berbanding bangsa sendiri, dalam mengekalkan penguasaan terhadap tampuk pentadbiran Negara. Ia juga lahir atas dasar kekeliruan terhadap maksud sebenar Perlembagaan yang diterjemah melalui istilah yang sama sekali bercanggah dengan maksud Perlembagaan keseluruhannya. Maka, latar belakang pembentukkan Malaysia, maksud sebenar Perlembagaan dan matlamat asal dokumen tertinggi itu harus dikaji dan dianalisa bagi tujuan memahamkan rakyat jelata yang kian berada dalam kancah perpecahan yang sudah pasti akan menjadi indikator utama kejatuhan Negara pada masa akan datang.

Objektif dan Adjektif Sebenar Perlembagaan

Rakyat Malaysia hari ini masih ragu-ragu dengan status Negara Malaysia, malah penulis sendiri tidak tahu jawapannya apabila pertanyaan sebegitu diaju. Kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan rakyat sebagai sumber autoriti pentadbiran. Majoriti rakyat sedar dan arif dengan sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia, namun yang menjadi isu sekarang adalah, apakah ‘nature’ Perlembagaan dan Negara Malaysia sebenar, sama ada Negara Islam, Negara Bangsa, Negara Sekular atau apa sahaja yang mungkin diterjemah masyarakat amnya.

Status Negara Malaysia

Secara logiknya, sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), Malaysia mesti dilihat sebagai sebuah Negara Islam, seperti yang dipersetujui Tun Dr. Mahathir Mohammad. Namun begitu, ia bertentangan dengan apa yang diidamkan bekas Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara bukan Islam, dan Islam adalah agama Persekutuan. Merujuk kepada Perkara 3 (1), agama Islam adalah sememangnya agama Persekutuan, akan tetapi yang menjadi tanda tanya masyarakat Muslim di Negara ini adalah maksud disebalik ‘agama Persekutuan’.


Friday, February 4, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

“Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (1)” yang lalu telah merungkai bagaimana kita sebagai ahli sesuatu bangsa dan agama, seharusnya berbangga dan berusaha mengekalkan rentak perjuangan hingga tertegak kedaulatan kedua-duanya. Walaupun usaha memecah-belahkan masyarakat Islam khususnya diseluruh dunia giat dijalankan anasir Barat, usah gentar sekiranya perjuangan kearah kedaulatan agama, bangsa dan Negara terencana dalam diari kehidupan kita. Kali ini, penulis akan cuba menjawab beberapa isu yang menjadi titik tolak kepada kemudharatan dalam menjamin keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang semakin hari semakin hilang hala tuju perjuangan dan agenda, sehingga menimbulkan keraguan dalam bangsa-bangsa lain dan sering dipersoalkan.

Rasionaliti Ketuanan Melayu dan Hak-Hak Keistimewaan Melayu

Dalam senario masyarakat di Malaysia, perjuangan bangsa Melayu seringkali diuar-uarkan dengan istilah ‘ketuanan Melayu’ sehinggakan pada satu ketika disalah erti oleh bangsa bukan Melayu. Hal ini kerana, melihatkan maksud literal istilah tersebut seolah-olah mengiktiraf bangsa Melayu sebagai tuan tanah di Malaysia, maka dengan itu ‘hak-hak kestimewaan Melayu’ wajar dipertahankan dan tidak boleh dipersoal oleh sesiapa pun. Ada juga yang berpendapat bahawa ‘ketuanan Melayu’ dan ‘hak-hak keistimewaan Melayu’ membawa maksud yang sama, sehinggakan salah faham yang berlaku atas dasar definisi dan maksud kedua-dua istilah tersebut mencetuskan masalah perkauman dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ketuanan Melayu



‘Ketuanan Melayu’ dikatakan rasional dalam konteks mengiktiraf kedudukan dan mendaulatkan bangsa Melayu sebagai bangsa pertama yang menduduki Tanah Melayu sejak azali lagi. Berdasarkan Mabo Case No. 2 di Australia, kedudukan dan hak-hak orang asli tidak boleh didiskriminasi atas dasar kebangsaan kerana orang-orang asli di Australia adalah masyarakat asal atau bumiputera. Isu-isu diskriminasi telah berlanjutan sejak Inggeris menduduki negara itu dan menafikan hak-hak orang-orang asli sebagai penduduk asal di Australia sehinggalah Perdana Menteri Australia terkini Kevin Rudd memulakan dasar mengiktiraf kembali kedudukan mereka sebagai sebahagian dari rakyat Australia. Oleh itu, rasionaliti ‘ketuanan Melayu’ tidak perlu lagi dikompromi. Namun, timbul satu persoalan disini, adakah kita wajar disamakan dengan orang asli di Australia? Walhal kita bangsa Melayu adalah bangsa yang disegani, dan pernah membina sebuah tamadun dan empayar Melayu yang kuat dan berpengaruh suatu ketika dahulu.

Thursday, February 3, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Introduksi:

Sudah mencecah lebih usia 21 tahun tahun kehidupan penulis di dunia, sudah lebih 2 dekad penulis menikmati segala apa yang dikurnia, dalam lingkungan masa itu penulis sentiasa memikirkan bahawa Malaysia tercinta adalah Negara terbaik di pentas antarabangsa. Cukup sinonim dengan Negara membangun, Malaysia kini berada dalam arus kemajuan yang pesat dalam merealisasikan Wawasan 2020 yang dicanang bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Bukan sekadar itu yang menyempurnakan kehidupan penulis sebagai rakyat Malaysia, kerana nikmat2 kejayaan dan keselesaan turut dikecapi atas dasar kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam sendiri, dan sudah tentu penulis berbangga kerana dilahirkan sebagai Melayu Muslim. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dikalangan keturunan Ismail . Dia memilih Quraisy dari kalangan Kinanah , Dia memilih Bani Hashim dari kalangan Quraisy dan Dia memilihku dari kalangan Bani Hashim” . (Riwayat Imam Muslim)



Satu Langkah Demi Seribu Mujahadah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.




Satu langkah demi seribu mujahadah, apa yang terkandung di sebalik tajuk post kali ni? ramai orang akan setuju, bahawa satu langkah kehadapan yang kita ambil dalam kehidupan, akan mampu membawa seribu perubahan, tidak kira dalam diri kita sendiri atau orang lain. itulah yang penulis cuba untuk sampaikan dalam post kali ini, kerana penulis berasa bertuah kerana telah mengambil lebih kurang satu langkah untuk mencetuskan perubahan dalam diri, dan umat yang seaqidah dengan penulis.

Ketibaan di negara orang tidak penulis sangka akan memberi peluang kepada penulis untuk mencari manfaat kehidupan dan nikmat yang diberi, juga untuk menjadi seseorang yang bermanfaat untuk orang lain. sesungguhnya keberadaan penulis di Australia bukan sekadar untuk menimba ilmu yang belum tentu ada kayu ukur kuantitinya. malahan ketibaan penulis di negara orang ini, lebih memberi gambaran yang jelas tentang tanggungjawab diri sendiri, bukan sekadar untuk mencapai kecermerlangan akademik bagi kepuasan diri, tetapi menjangkau sehingga kejayaan umat dan perwujudan tamadun yang mampu mengubah dunia, satu tamadun yang pernah menguasai 2/3 dunia, dan satu tamadun yang banyak memberi manfaat dan maslahat kepada umat manusia, yakni tamadun islam.

Penulis mengambil langkah yang pertama dengan menyertai program tarbiyyah, yang dijalankan untuk melahirkan insan yang terbaik, mengikut acuan syarak, Al-Quran dan As-Sunnah. sesungguhnya langkah pertama itu membuka mata penulis, betapa banyaknya perkara yang perlu dititikberatkan, dan diambil tahu, juga untuk dilaksanakan sebagai seseorang insan bergelar muslim. sungguh, tidak pernah terlintas bahawa akan ada biah sebegini yang boleh membantu pembangunan diri kearah kemajuan mengikut kapasiti sendiri, dan tidak pernah terlintas di fikiran bahawa penulis akan diberi peluang sebegini untuk dialami, dan dimanfaatkan untuk masa yang akan datang.

Dengan itu, percayalah bahawa selangkah kehadapan sentiasa membuka beribu jalan kejayaan, asalkan ia bertemankan kalam Allah dan As-Sunnah. Semoga perjuangan dalam tarbiyyah ini akan menjangkau perjuangan di dalam dunia sebenar, yang lebih mencabar dan penuh dengan kemaksiatan dan kealpaan yang perlu keprihatinan yang lebih dari kita, selaku sebahagian dari mereka.

Sekian.

aRifF.DaNiaL

Dengan Nafas Baru

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Setelah sekian lama sekadar terdetik di hati, akhirnya dapat juga penulis membuka satu blog baru, dengan tujuan untuk berkongsi pendapat dan idea berkenaan isu2 yang kritikal dan lebih luas skop perbincangannya melalui entri2 yang lebih matang dan analitikal. Semoga blog ini menjadi manfaat untuk pembaca2 sekalian, inshaAllah.


Sekian.

aRifF.DaNiaL