Wednesday, February 9, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (5)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam siri “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia” yang lepas, penulis sudah menggariskan gerak kerja sebenar kita selaku Melayu Muslim, yakni memartabatkan Islam pada bangsa untuk memartabatkan Islam di Malaysia.  Islam kita harus sedar tidak terletak hanya kepada ibadah seperti mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan sembahyang, berpuasa,menunaikan  zakat dan haji, malahan ia menjangkau kepada cara mentadbir Negara, perekonomian, juga aspek kehidupan seharian dan kemasyarakatan. Oleh itu, dalam setiap perjuangan gerak gempur Islam mestilah berpaksikan kepada kesyumulan Islam. Ini bermakna, apabila bercakap mengenai perjuangan Islam, kita juga memperjuangkan tatacara muamalat, sistem syura, pembinaan akhlak mahmudah dan sebagainya, bukan perjuangan separuh atau sebahagian dari Islam.

Namun, perjuangan ini tidak akan mudah kerana Malaysia terdiri dari berbilang kaum dan agama. Sedikit terlanjur kata dan seinci terpesong dari agenda utama, kita bakal dihentam dan dipertikai malahan boleh membawa kepada perjuangan yang mustahil akan mencapai kejayaan. Jadi, apakah kekangan-kekangan yang bakal menimpa dalam perjalanan mencapai kedaulatan Islam di bumi Malaysia?

Sistem Perundangan

Hasil campur tangan British ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan usaha kearah mencapai kemerdekaan tanah air, Perlembagaan Persekutuan telah dilengkapi dengan dua sistem perundangan, yakni undang-undang sekular dan undang-undang Islam, menurut Ketua Hakim dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55, Salleh Abas. Jika kita teliti pelaksanaan undang-undang sekular, ia meliputi undang-undang awam seperti pentadbiran dan kehakiman, manakala undang-undang Islam merangkumi undang-undang peribadi dari aspek kekeluargaan dan warisan.

Dari sini kita dapati bahawa sistem pentadbiran secara realiti tidak melaksanakan undang-undang Islam seperti yang dituntut untuk dijalankan oleh golongan pentadbir dan mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Undang-undang Islam hanya dilaksanakan dalam skop yang kecil, tanpa mempengaruhi aspek politik dan ekonomi . Islam juga tidak dijadikan sebagai garis panduan dalam segala gerak kerja yang melibatkan kedua-dua aspek tersebut. Walaupun perekonomian secara Islam ada diamalkan, namun ia tidak diletakkan sebagai prioriti apabila kita menyaksikan amalan riba’ dan judi yang sepatutnya diharamkan mengikut perundangan Islam, berlegar-legar tidak kira di kaki lima mahupun tempat tersembunyi. Lebih parah pemberian lesen judi kepada francais-francais tertentu seolah-olah tidak mengendahkan hakikat bahawa undang-undang Islam wajib ditegakkan bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, malahan ia adalah menjadi tanggungjawab kita selaku Muslim untuk menghindar dari perkara yang dilarang Allah S.W.T. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala”. (Riwayat Ahmad, Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Konflik antara pelaksanaan kedua-dua cabang undang-undang di Negara ini menyukarkan perjuangan umat Islam terutamanya Melayu Muslim selaku pemegang majoriti tampuk pemerintahan Negara. Dengan senario masa kini yang memperlihatkan keadaan yang semakin meruncing dalam persoalan pelaksanaan hukum Islam seperti hukum hudud, pelbagai lapisan bangsa mempersoal dan menggertak supaya hukum yang dikatakan kejam itu tidak dilaksanakan. Bangsa bukan Islam yang melihat perjudian dan perniagaan kasino sebagai sumber pendapatan juga dengan keras menolak pengharaman kegiatan tersebut, ditambah pula dengan isu berkaitan orang Islam yang masih dibawah umur berkahwin awal, bangsa bukan Islam menuntut agar Undang-Undang Keluarga Islam dipinda menjadikan ia selari dengan Undang-Undang Sivil, jadi mana mungkin pelaksanaan hukum Islam dapat direalisasikan dengan mudah.

Maka timbul persoalan disini, sama ada pemimpin atau rakyat secara amnya tidak memahami isi kandung Perlembagaan secara objektif, subjektif dan kolektif, atau Perlembagaan tidak dihormati sebagai undang-undang tertinggi yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, atau kelemahan pemimpin dan Melayu Muslim sendiri dalam menegakkan syiar Islam dan kesyumulannya.

Mahu tidak mahu, terimalah hakikat bahawa dunia hari ini telah diporak peranda musuh-musuh Islam, undang-undang manusia kini menjadi hamba kepada pemerintahan yang zalim, yakni tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi, dan sistem kehidupan kini tidak lain dan tidak bukan telah menjadi percaturan anasir yang tanpa segan silu mempengaruhi segalanya dalam diam. Seperti apa yang diperkatakan Syed Qutb: “Sistem kehidupan yang direka mengikut akal manusia sudah korup”. Buktinya, menurut firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan tidak harus bagi orang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidak haruslah bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat pada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Al-Ahzaab:36)

Pebezaan Fahaman dan Fikrah

Senario kontemporari rancak menggambarkan bagaimana hebat perbalahan dan perselisihan faham yang berlaku baik dalam kalangan satu bangsa, mahupun antara dua bangsa yang berlainan. Kerana ciptaan manusia itu sebaik-baik kejadian, masing-masing mempunyai pegangan, fahaman, terjemahan dan prinsip tersendiri yang ingin disuarakan dan diperjuangkan. Tidak hairanlah sekiranya hari ini kita melihat dari parti-parti politik yang saling menegakkan pendirian masing-masing, sehinggalah kepada anak-anak kecil yang bertengkar kerana mempertahankan karakter hero mereka.

Namun, apa yang perlu dirisaukan adalah sikap sesetengah golongan tidak kira lapisan pemerintah atau rakyat jelata, yang saling menjatuhkan antara satu sama lain sedangkan mereka adalah ahli kepada suatu bangsa yang sama, dan beragama Islam. Seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan orang-orang Yahudi  berkata: Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan. Dan orang-orang Nasrani berkata:  Orang-orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan. Padahal mereka (sama-sama) membaca al-Kitab”. (Surah al-Baqarah:113)

Kerana fikrah, prinsip dan fahaman yang bukan sekadar berbeza malahan ada yang bertentangan, mereka tidak melihat identiti bangsa dan maruah agama sebagai indikator yang boleh mengundang perbincangan secara profesional, damai dan berdepan. Sehinggakan matlamat politik mengaburi penglihatan mereka terhadap jalan penyelesaian yang boleh membawa kepada kesepakatan dan kemajuan bangsa dan agama mereka sendiri serta Negara tercinta. Sikap tolak ansur yang diuar-uar kepada rakyat jelata ibarat rakaman audio yang dipasang berulang-ulang kali tanpa diambil intipati dan manfaatnya. Seperti contoh, 118 projek utama yang mampu merangsang ekonomi negeri dan bangsa Melayu di Kelantan yang dipelopori PAS disekat sejak RMK ke 6 lagi oleh kerajaan BN. Belum lagi melihat kenyataan PAS yang mengkafirkan UMNO dalam kerjasamanya dengan orang-orang bukan Islam. Jadi, dimanakah tertegaknya keadilan dan perjuangan bangsa sekiranya kita saling menjatuhkan?

Disamping itu, semangat nasionalisme dalam kalangan bangsa lain turut menyukarkan perjuangan bangsa dan Islam. Dengan pertikaian terhadap hak-hak keistimewaan Melayu, kedudukan agama Islam dan undang-undangnya, serta provokasi terhadap bangsa Melayu yang sedang berbalah, agenda nasionalisme mereka semakin direalisasikan tanpa kita sedari. Sejarah telah membuktikan bagaimana kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah berlaku akibat semangat nasionalisme dan sentimen bangsa Arab untuk bebas dari pemerintahan Turki yang akhirnya menyebabkan pelupusan sistem khalifah dan kejatuhan Islam sendiri.

Malahan perkara yang sama telah pun terjadi apabila jajahan Singapura yang majoritinya terdiri daripada bangsa Cina menuntut agar dipisahkan dari Persekutuan Tanah Melayu dan diluluskan pembentukan Negara baru Singapura, hasilnya kita kehilangan bukan sahaja sebuah pulau yang mampu menjana ekonomi Negara, bahkan maruah Malaysia tecalar kerana tidak dapat mempertahankan pemilikan ke atas Singapura. Adakah kita menginginkan nasib yang sama berulang kembali?

Allah S.W.T. berfirman yang membawa maksud:

“..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". (Surah al-Baqarah:ayat 36)

Merujuk firman Allah Azza wa Jalla di atas, sesungguhnya akan ada perpecahan dalam kalangan bangsa dan juga umat dan ia sedang berlaku di saat ini. Namun demikian, adakah wajar kita meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Tuhan yang Maha Mentadbir sekalian alam untuk kembali memulihkan keadaan?

Kelemahan ‘Bargain Power’

Selaku bangsa yang memiliki warganegara majoriti di Malaysia, adalah mustahil sekiranya kita memiliki kuasa tawar menawar yang lemah. Namun, itulah hakikat pada masa kini, Melayu Muslim kian dipijak dan ditindas, kebanyakan tindak tanduk dan dasar kerajaan dipersoal, belum lagi kita menyentuh pertikaian yang berlegar-legar disekeliling Perlembagaan Persekutuan. Boleh dikatakan nasib Melayu Muslim masa kini seperti telur dihujung tanduk, menanti pecah apabila menimpa tanah. Sedikit tekanan dan provokasi, Melayu Muslim bakal tumpas dimedan sendiri, belum pun perjuangan mencapai 50% objektif dan aspirasi, kita sudah pun digesa untuk menyerah dan mengundur diri. Adakah ini yang kita mahukan?

Semakin hari semakin lantang suara mempertikai kedudukan Melayu Muslim di Malaysia dilontarkan. Dalam situasi yang dihadapi masyarakat Melayu Muslim sendiri dengan perpecahan dan masalah dalaman, ada diantara ahli bangsa dan penganut agama lain yang cuba mengambil kesempatan menambah bara ke dalam api yang semakin marak. Dalam diam kita seolah-olah menjadi boneka di atas pentas kecil, ditonton dan ditertawa dari jauh oleh mereka yang tidak berhati perut. Mahukah kalian berada dalam situasi ini tanpa menghiraukan nasib bangsa Melayu dan agama Islam?

Sejarah membuktikan bagaimana bangsa Melayu tahun berganti tahun berkurang kependudukannya di Malaysia. Statistik oleh Abdullah Dahana (2002;38-39) yang memetik perangkaan penduduk Tanah Melayu menunjukan bahawa; tahun 1895: Melayu 63.9%; Cina dan India 29.4 %; 1921: Melayu 54%, Cina dan India 44.5%; 1931: Melayu 49.2%, Cina dan India 49%; 1947: Melayu 49.5%, Cina dan India 49.2%; 1957: Melayu 49.8%, Cina dan India 48.5%.

Walaupun hari ini Melayu Muslim masih lagi menguasai kewarganegaraan secara majoriti, tidak mustahil perihal ini tidak mampu bertahan lama melihatkan situasi sekarang. Seperti apa yang dicanang Tun Dr. Mahathir, Melayu Muslim akan menjadi minoriti sekiranya perpecahan dalaman berlaku dan Melayu Muslim berpecah mengikut kelompok siasah masing-masing, seperti apa yang berlaku sekarang. UMNO dan PAS kedua-duanya adalah parti atau kelompok bangsa Melayu Muslim, namun atas dasar perbezaan fikrah dan matlamat perjuangan, mereka terasing antara satu sama lain, menjadikan bangsa Melayu Muslim lemah dan mudah ditentang. Akibatnya, Islam akan rebah dan jatuh menimpa bumi, sedangkan umatnya terkial-kial mencari hala tuju dan semarak perjuangan yang semakin malap dipadam secara perlahan. Seperti apa yang diperkata Umar R.A.:

 “Sesungguhnya ikatan Islam akan pudar satu demi satu, manakala di dalam Islam terdapat orang yang tumbuh tanpa mengenal kejahilan.”

Dalam puluhan tahun berdepan dengan krisis perpecahan dalaman, Malaysia telah melihat bagaimana anak bangsa kita sendiri mencabar kedaulatan Islam dan Perlembagaan Persekutuan, melalui kes Lina Joy yang menuntut agar perkataan ‘Islam’ dipadamkan dari kad pengenalannya. Lihatlah, semakin hebat kita bertelagah sesama kita, semakin lemah bangsa dan kedaulatan agama, juga kedudukan perlembagaan sehinggakan boleh dipijak-pijak dan dipersenda begitu sahaja.

Tidakkah ini menyedarkan kita akan sesuatu? Ya, kekuatan kuasa tawar menawar dan alasan majoriti kependudukan Melayu Muslim semakin tidak relevan, dan mungkin hari ini kita tidak sedar bahawa Melayu Muslim sudah pun menjadi antara bangsa minoriti Negara, baik pada kuantitinya mahupun kualitinya.

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment