Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam entri “Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (3)”, penulis telah mengolah sedikit sebanyak berkaitan keraguan, ketidakpastian dan salah faham yang berlaku gara-gara Perlembagaan Persekutuan yang kurang difahami masyarakat secara amnya. Masih ada yang berpendapat bahawa dokumen tertinggi itu seolah-olah tidak berfungsi untuk memastikan kelancaran dan keamanan dalam pelaksanaan undang-undang Negara, tidak kira undang-undang Sivil atau undang-undang Syariah. Namun, persoalan mengenai hala tuju Negara, mengambil perhatian terhadap isi kandungan perlembagaan yang acap kali disalah ertikan, kian meruncing dan hampir tiada jawapan dan jalan penyelesaian. Jadi, kemanakah hala tuju Malaysia dan apakah dasar perjuangan kita Melayu Muslim di Malaysia sebenarnya?
Perjuangan Sebenar


Juga dalam entri yang lepas, telah dinyatakan melalui hadis Rasulullah S.A.W. yang menggariskan bahawa ketakwaan dan ketaatan dalam melaksanakan syariat Allah S.WT., mengaplikasi cara hidup Islam sepenuhnya dalam kehidupan seharian dan memperkasakan Islam dalam kalangan bangsa adalah kunci untuk menjadi umat yang tertinggi nilainya disisi Allah S.W.T. Tiada pemerintah sekalian alam yang lain yang wajar disembah dan dituruti melainkan Dia Maha Mencipta dan Mentadbir. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Allah menerangkan, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia,Yang sentiasa mentadbirkan dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu; tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Ali-Imran:18)
Maka dengan itu, perjuangan sebenar bagi kita Melayu Muslim adalah untuk memperkasakan dan memartabatkan bangsa dengan menanam nilai-nilai keIslaman ke dalam diri setiap jiwa anak Melayu Muslim yang kini kian hilang arah tujuan dan matlamat hidup, terlena dalam keselesaan dibawah naungan Perlembagaan Persekutuan yang kian dipersoalkan dan mengalami kegoyahan. Namun bukan sekadar cara hidup Islam dari aspek sosial yang kita impikan, kerana seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan”. (Surah Ar-Rahman:7)
Kerana Islam itu syumul, ia bukan sekadar merangkumi cara hidup, sosiobudaya, dan kemasyarakatan malah ia menjangkau kepada aspek pemerintahan, perundangan dan pentadbiran Negara. Sekiranya pada hari ini kita tidak menegakkan undang-undang langit dan mencampur aduk hukum-hakam Islam dengan undang-undang buatan manusia, maka sesungguhnya kita telah menganiaya, berlaku zalim dan mengabaikan kedaulatan Islam di bumi kita sendiri yakni Malaysia, kerana Allah S.W.T. berfirman yang membawa maksud:
“..Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya..”. (Surah Al-Furqan:2)
Maka dengan itu, kita tidak sewajar dan sewenang-wenangnya memperkecil hukum Allah S.W.T., yang sudah termaktub sekian lama di dalam Al-Quran, sumber perundangan Islam yang telah mengagungkan kerajaan Islam pimpinan Rasulullah S.A.W. melalui Piagam Madinah, dan autoriti yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi atau dengan jelas disebut sebagai agama Persekutuan. Sekiranya kita tidak mengambil endah tentang perkara sebegini, kekal hidup dan bergelumang dengan kemajuan fizikal namun tidak dari segi rohaninya, kita bakal mendekati zaman kehancuran umat Islam terutamanya Melayu Muslim dalam konteks Negara Malaysia. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“…sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir…”. (Surah al-Maa’idah:44)
Oleh itu, perlu diperingatkan sekali lagi bahawa perjuangan bangsa juga adalah merupakan perjuangan agama, kerana ia adalah seiring dan sejalan. Tanpa perjuangan bangsa yang menjadikan Islam sebagai agenda utama, Melayu Muslim tidak wajar digelar Muslim merujuk kepada kalam Allah S.W.T. diatas. Namun, dalam usaha menegakkan syiar Islam melalui perjuangan bangsa, tidak bermakna kita mengetepikan hak-hak dan kuasa bangsa lain yang beragama Islam dan bukan beragama Islam. Melihatkan Islam sebagai agama dan ad-Deen yang membawa rahmat kepada sekalian alam, kita yakin dan percaya perubahan dalam semua aspek kehidupan masyarakat Melayu Muslim selaku pemegang majoriti tampuk pemerintahan Negara akan membawa kepada keadilan, keamanan, dan kemajuan sejagat, inshaAllah.
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar”. (Surah Al-Hadiid:21)
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment