Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam entri Ceritera
Yang Lupa (3), penulis bercerita tentang perjalanan kehidupan manusia. Setelah
manusia mengetahui matlamat penciptaan mereka, yakni untuk beribadah kepada
Allah, maka sudah tiba masa untuk menjalani kehidupan yang berkisar tentang usaha
atau perjalanan mencapai matlamat tersebut, yang akhirnya akan membawa manusia
pulang ke sisi Penciptanya.
Dalam entri tersebut,
penulis juga berbicara berkenaan dua jenis hubungan manusia dengan Pencipta,
iaitu hubungan yang biasa dan hubungan yang terikat atas dasar keimanan dan
ketakwaan. Dan sesungguhnya, adalah tanggungjawab orang-orang beriman untuk
menjaga hubungan yang baik dengan Allah S.W.T. agar memperoleh kesudahan yang
dijanjikan, kebahagiaan kekal abadi di syurga nanti, in shaa Allah.
Hubungan Teristimewa
Apabila manusia disuruh
untuk menjaga hubungan dengan Allah S.W.T., ia adalah dalam erti kata yang
mudah untuk difahami, namun secara praktikal ia adalah suatu pengabdian yang
luas skop dan ruang lingkupnya. Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T. bukanlah
bererti menunaikan tuntutan fardhu dan kifayah yang melibatkan interaksi antara
hamba dengan Yang Maha Esa sahaja, akan tetapi ia berkisar tentang ketundukan
atau kepatuhan kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan apa yang disuruh, juga mengelak
dari melakukan perkara yang dilarang.
Selalu dikatakan, Islam
bukan pada ibadah sahaja, padanya terdapat cabang akhlak, munakahat, jinayat,
muamalat dan sebagainya. Lantas kita dapat fahami, bahawa bukan sekadar menjaga
hubungan baik dengan Allah S.W.T., malah menjaga hubungan dan interaksi yang
baik sesama makhluknya, terutama manusia atau hamba yang lain. Dan boleh juga
sekiranya kita menggarap suatu fahaman bahawa, menjaga hubungan baik sesama
manusia juga bermaksud menjaga hubungan yang baik dengan Allah S.W.T. Kerana
apa? Ia adalah sesuatu yang dituntut dan disuruh olehNya. Itulah yang selalu
kita martabatkan sebagai kecintaan atas dasar aqidah kerana Allah S.W.T., yakni
ukhuwah fillah. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat :
10]
Ukhuwah dan Dakwah
Apabila berbicara
mengenai ukhuwah, manusia berkasih sayang dan tampak bersatu kerana ukhuwah
yang dibina atas dasar aqidah yang satu, tanpa mengenal erti keturunan, latar
belakang, warna kulit dan apa sahaja bentuk yang membezakan antara manusia yang
beriman. Kerana dihadapan Allah S.W.T., segala perkara yang membezakan tersebut
akan diketepikan, melainkan amal dan ketakwaan. Firman Allah S.W.T. yang
bermaksud:
"Hai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa –
bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling
mulia diantara kamu disisi Allah ialah orangyang paling
taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal." (Al
Hujuraat : 13)

Dalam mengharungi perjalanan sebagai khalifah di muka bumi, Allah S.W.T. telah
menjanjikan kepada orang beriman bahawa mereka akan diuji. Tidak cukup dengan
mengakui keimanan sekiranya keimanan itu tidak dicabar dalam apa sahaja bentuk
yang Allah S.W.T. turunkan, tidak kisahlah kesakitan, kesedihan, kegagalan,
kesempitan, kemiskinan dan lain-lain. Tetapi harus juga sedar bahawa, bukan
perkara yang buruk atau tidak baik sahaja yang Allah S.W.T. timpakan, malahan
kesenangan, kegembiraan, kejayaan, kelapangan dan lain-lain juga merupakan
bentuk ujian yang Dia datangkan kepada hambaNya.
Dalam masa inilah, manusia memerlukan ukhuwah sebagai sumber kekuatan, keazaman dan pedoman agar diri mereka sentiasa berada pada jalan yang benar dan tidak tergelincir kepada kancah kehinaan. Peranan manusia adalah untuk saling mengingatkan atas dasar kecintaan kepada saudaranya. Tidak wajar bagi mereka untuk berlepas tangan dari menggalas tanggungjawab membawa manusia yang alpa dan keciciran kepada jalan yang selamat dan diredhai, menuju syurga yang hakiki di akhirat nanti. Inilah gerak kerja dakwah. Perjalanan manusia di dunia bukan hanya untuk melepaskan hanya diri sendiri daripada seksa api neraka, bahkan memerlukan umat manusia untuk menyelamatkan mereka dan memimpin mereka kepada Allah S.W.T.
Buih-Buih di Lautan atau Unta Merah
Akhirnya, ia terpulang kepada individu muslim sama ada ingin meneruskan tabiat
jahiliyyah, atau kembali semula kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tidak wajar jika
kita hanya berpeluk tubuh kerana di akhirat kelak Allah S.W.T. akan menghisab
segala amalan baik dan buruk kita. Dunia seharusnya menjadi tempat persinggahan
sementara, untuk mengutip seberapa banyak bekal amalan soleh, dengan motivasi
dan kekuatan dari kecintaan dan sikap nasihat menasihati sesama saudara.
Maka, ayuh tanya kepada
diri kita, adakah kita ingin menjadi seperti buih-buih dilautan yang tidak ada
nilainya, ataupun menjadi seperti unta merah disisi Allah S.W.T. dalam
perjuangan dan kehidupan kita. Kuasa ada di tangan kita untuk mencorak masa
depan dan menentu arah destinasi kita kelak. Ingatlah bahawa, ini ceritera kita,
Ceritera Yang Lupa.
"Seluruh umat
manusia hampir mengelilingi kamu seperti mereka (yang kebuluran) mengelilingi
hidangan makanan, lalu seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami
pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan
kamu amat ramai tetapi kamu adalah laksana buih di lautan. Allah akan mencabut
daripada hati seteru atau musuh kehebatan kamu dan menyematkan dalam hati kamu
perasaan al-wahn. Lantas sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah! Apakah yang
dimaksudkan dengan al wahn itu? Ujar Baginda: Iaitu cintakan dunia dan takutkan
mati." (Hadis riwayat
Abu Daud dan Ahmad)
Sekian, wAllahu a'alam.
aRifF.DaNiaL


