Saturday, June 25, 2011

Ceritera Yang Lupa (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam entri yang lepas, kita telah lihat intipati asal-usul manusia, dari segi unsur penciptaan, tujuan dan hikmah yang dapat diungkap secara naqli dan aqli.

Namun, adakah ia wajar terhenti setakat itu?

Apakah yang terjadi pula dalam realiti hari ini?

Perjalanan Kehidupan Manusia

Pernah penulis berbicara dengan papan kekunci dengan entri ‘Setiap Orang itu Asing’. Kerana apa?

Perjalanan kehidupan penulis adalah berbeza dengan perjalanan kehidupan pembaca sekalian. Perjalanan kehidupan antara pembaca-pembaca pun berbeza antara satu sama lain. Tidak ada yang sama seratus peratus!

Dalam kehidupan manusia terdapat banyak perincian yang mungkin mustahil untuk kita senaraikan. Dari bangun tidur sehinggalah kembali ke katil, setiap saat yang dilalui dan dirasai amat berbeza bagi setiap orang.

Ada orang, bangun tidur sahaja terus mandi dan bersiap-siap untuk keluar. Ada orang lain, bangun tidur sahaja terus menghadap laptop untuk cek ‘inbox’. Ada pula orang lain, yang tidak bangun-bangun selagi matahari tidak terik atau tegak memancar.


Mungkin kita boleh menilai bahawa senario pertama menampakkan seolah-olah manusia itu seorang yang proaktif dan menghargai masa. Ada pula orang yang akan berkata bahawa manusia tersebut adalah seorang yang tergesa-gesa dan gelabah. Maklumlah, belum lagi mata celik sepenuhnya badan sudah pun basah.

Melihat senario kedua, mungkin ada yang akan berkata, “Haih, hadap laptop terus!”. Namun, mungkin pada ketika itu dia sedang menanti maklum balas dari keluarga untuk mengetahui keadaan ibu atau ayah yang sedang sakit.

Lihatlah bagaimana setiap orang mempunyai tafsiran tersendiri terhadap apa-apa yang dialami. Kehidupan manusia saban hari seolah-olah menjadi penilai atau hakim kepada apa yang berlaku, sehingga terlupa batasan dan berlaku zalim.

Ada sahaja tafsiran yang berbeza, namun hanya diri sendiri yang tahu apakah situasi sebenar. Tetapi, betulkah tiada orang lain yang tahu tentang diri seseorang itu?

Disini, apa yang ingin dilontarkan penulis, yang pertama, adalah hubungan manusia dengan Penciptanya, iaitu Allah S.W.T. Kerana apa? Hanya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu, hanya Dia yang tahu bagaimanakah ciri-ciri sebenar seseorang, yang tersimpan cermat didalam hatinya. Sampai satu tahap, boleh saja kata, “Janji aku dan Allah tahu apa yang sebenarnya berlaku!”.

Benar! Hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu apa-apa yang berlaku setiap inci kehidupan kita. Agak malang sekiranya kita dikerumuni manusia yang susah untuk percaya kebaikan kita. Agak malang juga sekiranya kejahatan manusia lain dinilai hebat oleh kita. Hakikatnya, manusia tidak boleh menjadi pengadil atau hakim dalam menentukan secara qat’I (pasti) apa yang baik, apa yang buruk, dan sebagainya, selagi kita berada di dunia milik mutlak Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, kesemuanya terpulang kepada diri sendiri bagaimana untuk menjalani kehidupan seharian. Bukan penulis ingin menyuruh pembaca sekalian untuk tidak mengendahkan pandangan manusia lain, namun apa yang penting adalah pandangan Allah S.W.T. dan hisabNya terhadap kita kelak.


Disini, terdapat lontaran kedua penulis, iaitu hubungan baik antara manusia dan Allah S.W.T. Sudah semestinya orang-orang yang beriman adalah orang yang mempunyai hubungan baik dengan Allah S.W.T. Namun, untuk menilai seseorang itu beriman pada firasat atau penilaian manusia, amatlah tidak wajar. Hal ini kerana, soal keimanan dan ibadah kepadaNya hanya boleh dihitung dan diterima atau ditolak olehNya, bukan kita yang menganugerahkan darjat keimanan dan mengkalungkannya pada sesiapa yang kita rasakan, atau kelihatan pada kita, beriman. Tidak.

Itulah hakikat perjalanan kehidupan manusia seharian. Dalam setiap langkah yang kita buka, dalam setiap kata yang dibicara, dalam setiap perbuatan yang dikerja, keseluruhannya hanya boleh dinilai oleh Dia, tiada yang lainnya. Oleh itu, kehidupan manusia semestinya mencerminkan langkah yang menuju kearah Islam, kata-kata yang menyampaikan dan mengagungkan Islam, dan perbuatan yang menyumbang kearah kemantapan Islam, tidak lain dan tidak bukan untuk diri sendiri dan umat secara amnya.

Jadi, apakah perjalanan kehidupan diri kita sebagai manusia?

Allah S.W.T. berfirman maksudnya:

“Dihiaskan(dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)”.

(Aali-Imran: 14)

“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapatkan hajatnya), berusahalah dia dibumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan”.

(al-Baqarah: 204 – 205)

(akan bersambung…)

aRifF.DaNiaL

Monday, May 30, 2011

Ceritera Yang Lupa (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tertanya-tanya apa perkaitan manusia dengan ‘Ceritera Yang Lupa’? Sesungguhnya entri ini bukan tentang Cerita yang lupa, namun ia berkenaan dengan cerita Yang Lupa. Siapakah Yang Lupa?

Perkataan ‘manusia’ seerti dengan perkataan ‘insan’ yang becambah dari perkataan Arab ‘nisian’ yang bermaksud ‘lupa’.

Jadi, apakah signifikasi penciptaan ‘Yang Lupa’?

Yang paling penting, persoalan itu hanya Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui segalanya.

Namun, terdapat beberapa hikmah yang boleh kita perolehi berdasarkan dalil naqli dan aqli yang akan dikongsikan inshaAllah.

Asal-Usul Manusia

Pernah dengar tentang teori Darwin bukan? Bahawa manusia berevolusi dari keturunan kera berjuta-juta tahun dahulu.

Sesungguhnya ia adalah teori yang palsu dan wajib ditolak manusia yang bergelar muslim. Mungkin sahaja manusia yang tidak beragama Islam pun tidak ingin mengakui bahawa mereka berasal dari keturunan kera. Na’uzubillah!

Seperti yang telah diceritakan dalam entri ‘Bicara Sang Pencipta 4’ yang lalu, manusia yang pertama diciptakan adalah Nabi Adam A.S. Bagaimana baginda diciptakan?


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan kedalamnya ruh (ciptaan)-ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud".
(Surah  Al-Hijr :28-29)

Inilah teori penciptaan manusia yang mesti dipercayai dan diimani.

"Kitab (Al Qur’an) in tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib....."
(Surah Al-Baqarah:2-3)

Apakah signifikasi penciptaan manusia dari tanah? Atau lumpur (menurut dalil dan hadis yang lain)? Bukankah manusia itu sebaik-baik penciptaan?

"Dan demi sesungguhnya kami ciptakan manusia di dalam sebaik-baik bentuk.”
(Surah At-Tin:4)


Sunday, May 22, 2011

Ceritera Yang Lupa (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pernah terfikir akan keistimewaan kita sebagai manusia? Terkadang terdetik pada fikiran penulis apakah kehebatan sebenar kita, jika dibandingkan dengan makhluk ciptaan tuhan yang lain, malaikat seperti contohnya. Apakah kamu merasakan diri kita hebat? Apa yang menjadikan kita manusia yang hebat?

Kadangkala kita mudah berasa puas dengan nikmat yang dikurnia, sehingga kadangkala terlepas pandang dan terlebih bangga dengan perkara positif yang berlaku sepanjang kehidupan.


Namun pernahkah kita terfikir, kehidupan itu ibarat roda? Semalam mungkin kita di tempat yang paling atas sekali, walhal dalam masa satu hari sahaja boleh menjunam ke bawah. Mengapa?

Pernah merasai nikmat kejayaan? Pernah atau sentiasa merasai nikmat kejayaan? Bagaimana pula dengan kegagalan? Atau kegagalan tiada langsung dalam kamus kehidupan?

Bahagiakah kehidupan? Apakah tidak pernah mata manusia berkaca? Apakah tidak pernah hati terguris, minda terkesima, lantas kehidupan terumbang-ambing tanpa cahaya?

Mungkin kita lupa, bahawa kehidupan tidak semudah yang kita sangka. Akan tetapi, ada suatu perkara yang memudahkan kita untuk menghadapi onak dan duri sepanjang manusia berkelana, lantas menjadikan diri kita hebat dan berjaya.


(akan bersambung...)


aRifF.DaNiaL

Monday, May 16, 2011

Bicara Sang Pencipta (5)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Peristiwa di Gua Hira’

Bicara Sang Pencipta mengingatkan umat manusia bahawa Allah S.W.T. sentiasa ada bersama hambaNya.

“Jangan bersedih, sesungguhnya Allah S.W.T. bersama kita.”
(Surah At-Taubah:40)

Bicara Sang Pencipta juga memberitakan tentang satu-satunya agama yang diterima dan diredhai Allah S.W.T.

FirmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Surah Ali-’Imraan:19)

Bicara Sang Pencipta turut mengingatkan umat manusia akan kepentingan ilmu sebagai penerang kehidupan.

Diperkuat dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan menuju Surga.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Fitnah Dari Ketampanan

Bicara Sang Pencipta menyedarkan umat manusia perihal kepentingan sabar dalam menempuh ujian dalam kehidupan.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bicara Sang Pencipta juga mengingatkan umat manusia tentang neraca Allah S.W.T. sebagai penentu pengakhiran apabila tibanya hari akhirat kelak. Sesungguhnya kesudahan syurga atau neraka, bahagia atau celaka, semuanya terletak pada tangan Sang Pencipta.

“Siapakah yang dapat menghalangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Fath:11)

Tipu Daya Si Durjana

Bicara Sang Pencipta mengkhabarkan tentang penciptaan manusia dengan tujuan tertentu, yakni untuk menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan Islam sebagai Ad-Deen pembawa rahmat.

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
(Surah Al-Mukminun:115)

Bicara Sang Pencipta mengingatkan tentang manusia yang diciptakan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan dan menjadi abdi yang berserah diri kepada Ilahi.

"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya."
(Surah At-Tin:5-6)

Bicara Sang Pencipta mengajar manusia tentang sunnatullah, adanya kebaikan maka akan adanya keburukan yang mendatang. Juga Dia mengajar manusia dengan sebarang bentuk ujian agar manusia bertambah iman dan taat kepadaNya.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.”
(Surah Al-Insan:2)

Saturday, May 14, 2011

Bicara Sang Pencipta (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tipu Daya Si Durjana

Mari kita imbau sejarah penciptaan manusia yang pertama di atas muka bumi oleh Allah S.W.T., suatu ciptaan yang bukan sia-sia, bukan calang-calang. Dialah nenek moyang kepada rumpun manusia hari ini, Nabi Adam A.S.


Bagaimana kisahnya?

Mungkin ramai yang tahu perihal penciptaan Adam dari segumpal tanah lalu dibentuk dan ditiupkan roh, kemudian Adam diajar secara langsung oleh Allah S.W.T. dan penerokaan alam bermula dengan pengenalan kepada beberapa benda, kisah Adam menghuni syurga dan diciptakan seorang teman bernama Hawa dari tulang rusuk kirinya, dan akhirnya kedua-duanya terpedaya dengan pujukan syaitan untuk melanggar perintah tuhan agar tidak mendekati sebuah pohon, lantas diturunkan Adam dan Hawa yang kemudiannya bertaubat atas kesalahan besar mengingkari perintah Allah S.W.T.

Mungkin kisahnya ringkas, namun terdapat beberapa hikmah yang tercapai oleh fikiran penulis. InshaAllah.

Thursday, May 12, 2011

Bicara Sang Pencipta (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Fitnah daripada Ketampanan

Pernah mendengar kisah Nabi Yusuf? Hati penulis betul-betul tersentuh apabila disalingkan dalam cerita ‘Ayat-Ayat Cinta’.


Berbalik kepada kisah Nabi Yusuf, baginda difitnah dengan cubaan untuk menggoda Isteri Gabenor, yang sebenarnya berminat pada baginda kerana ketampanannya. Lantas Nabi Yusuf dipenjara, namun masih berdoa kepada Allah S.W.T. untuk dipelihara dari segala dusta. Bicaranya yang bermaksud:

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih suka dipenjarakan berbanding aku berada di luar tetapi harus memperturutkan hawa nafsu para wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku dari pergaulan orang-orang yang hendak membawaku ke jalan yang sesat dan memaksaku melakukan perbuatan yang Engkau tidak redhai. Bila aku dipenjarakan akan ku bulatkan fikiranku serta ibadahku kepadamu wahai Tuhanku. Jauhkanlah daripadaku rayuan dan tipu daya wanita-wanita itu, supaya aku tidak termasuk dari orang-orang yang bodoh dan sesat.”

Monday, May 9, 2011

Bicara Sang Pencipta (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Peristiwa di Gua Hira’

Apabila berbincang tentang wahyu pertama, kebanyakan dari kita mudah sahaja dapat menekanya. Iqra’! Itulah seruan pertama yang diturunkan Sang Pencipta kepada umat manusia, melalui Nabi Muhammad S.A.W.


Namun apakah signifikasi wahyu tersebut sebagai wahyu yang pertama? Bukankah Islam itu tertegak atas lima rukun Islam dan enam rukun Iman? Mengapa tidak rukun-rukun ini dijadikan antara seruan yang pertama?

Mari kita baca dan berfikir sejenak wahyu yang pertama diturunkan, yang menjadi titik tolak kepada perjuangan menegakkan syiar Islam dalam kalangan umat manusia.

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
(Surah Al-Alaq:1-5)

Friday, May 6, 2011

Bicara Sang Pencipta (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kisah kehidupan penulis mungkin tidak sehebat tokoh-tokoh agung yang tersohor nama mereka, ada yang menjadi bualan di persada antarabanga.

Tidak juga kehidupan penulis mampat dengan kebahagiaan, adakalanya tertitis juga air mata kerana sesuatu kejadian yang berlaku, sama ada terguris hati, kehilangan insan yang dicintai, gagal dalam pelajaran di sekolah atau di universiti, diejek atau diketepi, macam-macam juga yang pernah penulis lalui.

Masih penulis berada di sini, terduduk bersendiri di ruangan peribadi, mencoret isi hati untuk dikongsi. InshaAllah.

Sepanjang perjalanan kehidupan penulis, ada sahaja yang membangkitkan semangat agar terus mara kehadapan dan berjuang, ada juga sokongan dari belakang yang menjadi titik tolak kepada kemajuan diri dan kehidupan.


Bagi insan yang tidak mengamati Islam sepenuhnya dalam kehidupan, pasti akan merasa keseorangan dan kebuntuan lebih-lebih lagi apabila tidak berteman dan hidup tanpa tauladan. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa ada Kuasa besar yang sentiasa berbicara, tidak secara langsung tetapi menyentuh perasaan dan jiwa? Menenangkan hati dan menemani walaupun dipelusuk manapun kita jejaki?

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL

Sunday, May 1, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (5)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kerana sistem kehidupan masyarakat hari ini adalah rutin yang merunsingkan, formula yang diciptakan khas untuk mengelirukan, dan gaya hidup hedonisme dan materialisme yang mengasyikkan dan melalaikan, umat Islam perlukan suatu perubahan, menjejaki semula matlamat asal penciptaan, mengejar semula darjat sebagai khalifah di atas muka bumi tuhan, bagi mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”  (Al-Baqarah:30)

Cukuplah dengan gejala sosial yang semakin menghanyutkan remaja-remaja Islam ke kancah kehinaan, sudah-sudahlah dengan ketidakstabilan politik Negara-negara Islam yang dipermainkan oleh anasir yang berniat menjatuhkan, menyebabkan pemimpin-pemimpin umat Islam menjadi lemah dan tidak berdaya tahan menangkis pengaruh yang melumpuhkan kekuatan, lantas menjadikan mereka boneka-boneka hidup bagi merealisasikan matlamat menumpaskan Islam di setiap tempat sepanjang zaman.

Tidak mahu lagi umat Islam mengalami penindasan oleh mereka yang mencabul hak asasi kemanusiaan, melihat warga tua, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keadaan yang semakin ketara menambah sakit penderitaan, tanpa ada walau sekelompok umat yang bangkit untuk melancar penentangan bagi menegakkan syiar Islam yang pernah terkenal dengan kehebatan dan ketamadunan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.”  (As-Saba’:28)
______________________________

Senario 1:

Tidak semestinya dengan melanjutkan pelajaran ke universiti dan cemerlang dalam bidang akademik boleh menjamin kejayaan selanjutnya dan kebahagiaan sepanjang hidup, kerana akhirnya Allah S.W.T. jua yang akan menentukan segala. Namun, usah dibiar diri tanpa kejayaan sebegitu, malah jadikanlah kecemerlangan yang diperolehi sebagai suatu kredit dan nilai tambah untuk menjadi umat Islam yang berjaya, bukan sekadar dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat, bahkan dengan kejayaan di dunia. Pernahkah terfikir dengan kejayaan tersebut, akan menjamin keutuhan kedudukan Islam dari aspek ilmu duniawi yang kian dimonopoli masyarakat bukan beragama Islam?

Senario 2:

Berbudi bahasa bukan sekadar budaya kita, malahan ia adalah suatu amalan yang dijaminkan ganjaran oleh Allah S.W.T. sekiranya kita mengakui setiap perkara baik yang kita lakukan, hanyalah kerana Dia. Bukan kita berbudi bahasa untuk menjadi tatapan orang awam, menjadi buah mulut pada setiap pandangan, dan diangkat sebagai orang yang paling berbudi bahasa disisi insan. Padahal, lebih besar ganjaran bagi mereka yang berkelakuan baik, membuat perkara yang baik terhadap orang lain, dan menyeru kepada kebaikan, kesemuanya berbalik kepada keperibadian dan akhlak kita selaku umat Islam. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (Riwayat At - Tirmidzi)

Senario 3:

Tidak salah sekiranya kita mengejar kejayaan duniawi, asalkan tidak berlaku zalim terhadap tuntutan utama yang diseru Allah S.W.T. kepada hambaNya. Bagaimana berlaku zalim? Apabila kita mengutamakan kehidupan dunia dan isinya lebih berbanding kehidupan akhirat dan bekalan menuju ke sana. Tidak juga Allah S.W.T. melarang hambanya untuk memakmurkan dan mentadbir dunia dengan aspek-aspek duniawi, asalkan tidak mencapai tahap mengabaikan tanggungjawab utama sebagai abdi dan khalifah di muka bumi.
______________________________

Marilah sama-sama kita jadikan rutin yang disemai dalam kehidupan sebagai alat memenuhi tuntutan Ilahi, kejarlah ilmu fardu ain dan kifayah bagi melahirkan umat yang gemilang dan terjamin kejayaan duniawi dan ukhrawi, sudah tiba masa untuk menanam subur benih-benih aqidah agar bercambah keimanan dan membuahkan gaya hidup islami. Allah berfirman mafhumnya:

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.”  (Ali-Imran:85)


aRifF.DaNiaL

Thursday, April 28, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Itulah hakikat manusia hari ini. Dalam menjalani kehidupan seharian, yang dianggap sebagai rutin yang berulang kali dan sudah menjadi kebiasaan, tidak kita terfikir akan nilai dan tempat setiap perkara yang dilaksanakan disisi ilahi. Sungguh sekiranya kita mendasari setiap inci perjalanan kehidupan atas dasar untuk mendapat keredhaan Ilahi, sudah cukup untuk menerapkan nilai ibadah atau pengabdian kepada Allah S.W.T. pada pekerjaan dan amalan yang kita lakukan hari demi hari.

Beberapa hari yang lalu, penulis menghadiri suatu program, yang dinamakan Jalinan Musim Luruh atau dalam bahasa Inggerisnya, Autumn Gathering bagi sesi 2011. Tersentak pada sesuatu detik semasa program tersebut berjalan, apabila penceramah pada ketika itu menyatakan bahawa, kehidupan masyarakat hari ini adalah sebuah bentuk kehidupan yang direka-reka, semata-mata untuk menjatuhkan umat Islam sendiri, oleh musuh-musuh Islam yang nyata, yakni barisan kapitalis Barat. Bagaimana umat Islam masa kini dikijangkan daripada menjadi seekor singa yang hebat, atau dalam erti kata mudah, dijatuhkan dan ditindas?

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al-A’araf:27 (sebahagian))

Itulah punca utama kejatuhan umat Islam hari ini, syaitan durjana telah mempergunakan orang-orang yang tidak beriman, terutamanya anasir-anasir Barat atau sesiapa sahaja yang berniat untuk menghancurkan Islam, bagi memastikan bahawa kekuatan aqidah umat Islam akan kian terhakis, dan akhirnya terputus dari landasan mencari keredhaan Ilahi.

Sungguh dinamik gaya hidup masa kini, rekayasa semata-mata, namun mudah memperdaya dan memuaskan mereka yang terpencil dari rahmah dan makrifah tentang tuhan. Sungguh cantik arus kehidupan yang bersifat materialisme dan hedonisme yang mengasyikkan umat manusia untuk tamakkan harta dan kedudukan, berhibur berlebihan dan memuaskan nafsu cernaan syaitan. Inilah hakikat kehidupan umat Islam hari ini yang perlu kita terima, dan perlu untuk diperbetulkan semula. Kerana ini adalah rutin yang merunsingkan!

(akan bersambung)

aRifF.DaNiaL

Monday, April 25, 2011

Jejak Kasih

Penjuru mana harus aku jejaki, untuk bertemu kasih dambaan hati...
Dalam setiap langkah aku berharap, akan ada kasih yang menanti di penghujung titi...
Namun jauh sudah kaki ini mengorak langkah, masih kasih itu tidak kelihatan pada wajah...
Lantas diri terasa kesesatan, terbiar tanpa kasih yang menjadi teman...
Penguat diri dikala keresahan, penerang hati dikala malap tanpa sinaran...

Sedikit demi sedikit perjalananku diteruskan...
Masih terngiang difikiran akan kasih agung yang kian luput dari ingatan dan pedoman...
Memanggil-manggil untuk dikejar, menjadi sasaran orang-orang yang beriman...
Sungguh diri ini berasa hairan...
Mengapa kasih yang tidak terjangkau oleh pancaindera insan, berterusan menjadi pengakhiran?...
Oleh segolongan yang berpegang pada aqidah yang disebarkan, kasih itu menjadi rahmat sehingga ke akhir zaman...

Benar diri ini pernah jahil dari makrifah tentang tuhan...
Hati tidak terpalu untuk menyahut seruan  kearah syurga idaman...
Kerana masih terbelenggu dengan ikatan dosa yang membelit menyakitkan jiwa...
Diri ini menagih simpati pada taghut durjana yang sering memperdaya...
Lantas menjauh sejauhnya dari mendekati
Kian memecut berlari dari tunduk menyembah tuhan yang hakiki...
Itulah duri yang memarut luka...
Selama diri ini asing dari jalan sebenarNya...

Kini diri ini sekali lagi diketuk, malah dihentam dugaan yang membuka mata...
Tatkala diri menderita, taghut semakin rancak membinasa...
Lantas keyakinan terbina pada lemah sanubari yang kontang dari iman yang rintik menghujani...
Terpaling dari landas kehancuran dan kehinaan, langkah dikorak mencari ciciran kasih Ilahi...

Lantas suasana berubah, rahmat melimpah ruah ...
Susah dan senang sentiasa berteman redha dan pertolongan...
Tatkala diri tersungkur merebah bumi, Dia menghulurkan tangan mempermudah perjalanan...
Setiap inci kehidupan hanya berpandukan iman, penunjuk kearah hakikat kebahagiaan...
Sungguh inilah Kasih yang perlu untuk dimiliki, bagi mereka yang bergelar abdi...


aRifF.DaNiaL

Saturday, April 16, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semalam penulis bersyukur kerana berkesempatan untuk menghadiri program pengisian oleh Sister Khadeejah, seorang warganegara Australia yang sudah memeluk Islam selama lebih kurang 16 tahun.

Menurutnya, kedatangan Islam ke dalam hidupnya tidak pernah terjangka, kerana perkara yang hanya dilakukan beliau adalah, membaca al-Quran untuk mencari kebenaran apa yang dibawa oleh Islam, berkaitan penciptaan manusia. Oleh kerana al-Quran tidak mempunyai indeks seperti buku-buku ilmiah yang lain, beliau terpaksa membacanya bermula dengan muka surat hadapan al-Quran untuk mencari ayat yang berbicara tentang kejadian manusia.

Namun, setelah terjumpa ayat di dalam al-Quran yang menceritakan secara terang dan terperinci perihal yang dicari, bagi beliau, sesuatu yang sudah pun diperkatakan sejak 1400 tahun yang lalu, hanya terbukti pada zaman teknologi hari ini, adalah sesuatu yang tidak dapat dipersoalkan. Maka dengan itu, keyakinannya terhadap Islam mulai bercambah.

Apa yang penulis ingin sampaikan bukan semata-mata sejarah kehidupan Sister Khadeejah, bukan untuk mengangkat martabat seorang muallaf, bukan juga untuk merendahkan darjat orang yang sudah pun bergelar Muslim untuk perbandingan. Namun apa yang ingin penulis berkongsi kali ini, adalah berkisar tentang apa yang beliau sampaikan, iaitu perihal beribadah dan berserah diri kepada Allah s.W.T., suatu topik yang kadangkala dipandang remeh perihal maksud sebenarnya dan praktikaliti dalam kehidupan seharian sebagai seorang abdi, lebih-lebih lagi di dalam abad ke-21 ini.

Salah satu maksud mengabdikan diri kepada Allah yang diperkatakan beliau adalah tentang hakikat pelaksanaan kehidupan seharian yang dikerjakan dengan niat kerana Allah, pada masa yang sesuai dan tempat yang sesuai, serta tidak mengabaikan ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji.

Secara teori, seolah-olah kebanyakan perkara yang kita lakukan pada hari ini, pada saat ini, di mana sahaja kita berada (bagi penulis, mengarang entri blog di dalam ruangan peribadi), tidak sedikit pun berkisar tentang atau mencerminkan ibadah atau pengabdian kita kepada Allah S.W.T. Kerana hakikat umat Islam hari ini, apabila berbicara mengenai ibadah, mereka akan menjawab perihal-perihal ibadah khusus, yang menjadi rutin harian masyarakat Islam tidak kira dipenjuru mana mereka kerjakan, tanpa menyedari sebahagian lagi cabang pengabdian kepada Allah S.W.T. selain apa yang mereka ketahui.

Walhal, sekiranya kita mendalam konsep sebenar pengabdian kepada Allah S.W.T., seperti apa yang diperjelas Sister Khadeejah kelmarin, pengabdian kepada Allah S.W.T. boleh sahaja dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, pada setiap masa dan dimana sahaja kita berada. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyeru): Beribadahlah kepada Allah (sahaja) dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahl : 36)

Rasulullah S.A.W. diutuskan Tuhan untuk menunjuk jalan yang benar, yakni Islam, mengajar perihal pengabdian kepada Allah, tidak boleh menyekutukan, dan memperjelas perihal Islam yang syumul. Dalam kehidupan seharian Nabi S.A.W., bagi seseorang yang menyeru kepada pengabdian, sudah semestinya melaksanakan apa yang ingin diserukan. Sekiranya kita telusuri sirah Rasul S.A.W., kita dapat lihat bagaimana corak kehidupan Nabi yang tidak stereotaip, bukan sesuatu yang biasa, bukan juga rutin yang sekadar dilaksanakan dan diulang beberapa kali. Dalam usaha berdakwah, baginda bertungkus lumus kerana itulah tanggungjawab yang digalas Allah S.W.T. ke atas pesuruhNya.

Namun, sedar atau tidak, adakah Nabi sepanjang hari, selama 24 jam, 7 hari dalam seminggu, berkerja keras dengan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji? Apakah kita tidak sedar bahawa terdapat sedikit sebanyak persamaan antara kita dengan baginda yang kita cintai dan sanjungi? Adakah setiap amalan yang kita laksanakan sekadar rutin yang berulang kali, tanpa ada nilai di sisi Ilahi?

(akan bersambung)

aRifF.DaNiaL

Tuesday, April 12, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Apakah kita pernah terfikir akan matlamat penciptaan manusia, penciptaan kita, penciptaan diri kamu yang bernama ______? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKu". (Adz-Dzaariyat:56)

Lihat bagaimana tanggungjawab yang digalas Allah S.W.T., untuk beribadah kepadaNya bukan sesuatu yang mudah, biasa dan boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Bukan seperti arahan oleh ibu untuk ke kedai membeli barang dapur, bukan kerja rumah yang dilambak pensyarah untuk mendapat markah, dan bukan juga perintah pemerintah yang memegang tampuk pemerintahan negara.

Kerana tugasan yang diberikan di atas ini, terangkat martabat manusia kerana pengabdian dan penyerahan diri kita, bukan sekadar kepada tuan rumah, majikan, guru besar, juga Perdana Menteri. Kuasa yang berbicara diataslah yang merealisasi pembinaan menara atau bangunan tertinggi oleh manusia yang sekadar menumpang menanti tumbang di atas muka bumi, dan tidak pun tercapai langit yang indah berseri.

Kerana kuasa itu adalah milik Allah S.W.T., suatu zat yang amat berkuasa, lantas menggalas amanah yang diberi adalah suatu kemuliaan sebagai umat manusia. Memandang tinggi tanggungjawab yang diletakkan pada bahu umat manusia, itulah kunci melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya dengan jaya.

Dalam setiap perjalanan kehidupan seharian, seolah-olah kita sudah diprogram untuk mengerjakan sesuatu perkara, atau setiap perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, berbalik kepada senario pertama. Mengapa kita ke universiti? Semua orang akan menjawab, “Kalau ingin berjaya, kenalah masuk universiti. Kalau tak masuk, macam mana nak dapat kerja, nak hidup?”.

Tersentak hati yang mendengar pertanyaan yang begitu mendalam maknanya namun dijawab sewenang-wenang oleh majoriti dari kita umat manusia (termasuk penulis sendiri). Asal nak berjaya, perlu masuk universiti. Asal masuk universiti, mesti akan berjaya. Bukankah ini sesuatu formula yang sudah diperkukuh dan diamal seantero dunia? Sehinggakan sunatullah tidak lagi menjadi garis panduan menjalani kehidupan, takdir tuhan tiada lagi dalam usaha dan tawakal insan. Inilah hakikat kehidupan manusia yang semakin asing dari rahmat tuhan, segala amalan dan perancangan hanya mengikut formula ciptaan manusia yang lemah tanpa kudrat seperti Tuhan.

Bagi penulis, sudah tentu kita tidak mampu berbuat apa kerana formula itu sudah pun menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat. Apatah lagi dengan gelombang globalisasi yang semakin menyengat, ramai kalangan umat yang berserah bukan pada takdir Allah S.W.T., namun perancangan Barat yang semakin menjadi diktator dunia. Namun apa yang penulis ingin ketengahkan adalah, formula itu bukan jalan penyelesaian, bukan destinasi yang menjadi tempat letak pengharapan. Akan tetapi, formula itulah alat yang akan menambah kualiti umat manusia, untuk berhadapan dengan Tuhan di akhirat yang pasti akan menerpa. 

(akan bersambung)


aRifF.DaNiaL

Sunday, April 10, 2011

Misteri Hikmah

Sungguh perancangan Tuhan itu tidak diketahui hikmahnya oleh sesiapa sahaja...
Terkadang diri tertanya-tanya, mengapa sesuatu kejadian berlaku sedemikian rupa?...
Padahal hati dan jiwa bertegas menginginkan situasi yang berbeza...
Sudah tentu kerana pada pengamatan hamba yang lemah tidak berdaya
Apa yang jelas diingini adalah yang terbaik buatnya...

Namun perancangan Tuhan itu, tidak dapat dijangka oleh sesiapa yang cuba meneka...
Hikmah tersembunyi cermat, tanpa dapat dibocorkan sewenang-wenangnya...
Merentas jalan ketentuan Dia, itu sahaja kunci membuka segala misteri ...
Dalam menjejaki erti sebenar apa yang terbaik untuk hamba yang kerdil ini...


Walau dimulakan dengan kesedihan
mungkinkah ada sinar kebahagiaan, bak mentari terbit dikala fajar di pengakhiran jalan?...
Atau kesedihan bakal berlanjutan
sehingga muram hati tanpa kegembiraan, untuk menambah seri potret kehidupan?...


Ya Tuhan, berilah petunjuk kepada hambamu yang tidak serba tahu...
Ke arah tujuan segala apa yang berlaku di dalam setiap liku...
Atas keyakinan bahawa pasti ada hikmah yang Engkau titipkan buatku...
Maka akan ku teruskan perjalanan, tanpa gusar dan ragu-ragu...

Masih aku dambakan kekuatan dariMu wahai Tuhan...
Kerana sukar untuk menerima keadaan sekarang, tidak terdaya menahan perasaan...
Apakah salah aku mendambakan sesuatu yang berlainan dari apa yang Engkau kurniakan?...
Atau doa menjadi indikator merealisasi situasi yang diimpikan?...

Kini perlahan-lahan aku membuka langkah, mencari jalan bertemu pengharapan...
Agar terjawab semua persoalan, tidak lagi akan keraguan dengan ketentuan...
Kerana sungguh benar apa yang difirmankan, Tuhan Maha Mengetahui apa yang terbaik sebagai kurniaan...


aRifF.DaNiaL

Saturday, April 9, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahaja penulis ingin berbicara, bukan kerana penanya patah untuk mencoret madah, namun kerana hati masih ingin meluah fikrah yang terdetik selepas bertemu dengan 'keluarga' baru untuk tahun ini. Semoga menjadi peringatan dan pedoman, bagi kita umat manusia yang mudah terlepas pandangan dari menjejak landasan kehidupan menuju syurga idaman.
_______________________________________________________


Senario 1:

Pernah terfikir kenapa kita pergi ke universiti? Kebanyakan orang akan menjawab dengan bangga, "Saya ingin memperoleh segulung ijazah, dan menggapai setinggi-tinggi kejayaan dalam bidang akademik!". Tatkala kita mendengar sahaja, boleh menggegar jiwa, namun timbul persoalan selanjutnya, "Untuk apakah kejayaan-kejayaan tersebut?", dan "Andai sahaja kegagalan yang bertandang menjemput kamu, apakah pula reaksi kamu?".

Senario 2:

Tatkala kamu menaiki bas dan mengambil tempat duduk, iaitu tempat duduk kosong yang terakhir pada ketika itu. Dengan nafas lega, kamu duduk dan menanti untuk tiba ke destinasi. Sampai di suatu perhentian, naik pula seorang warga tua, bertongkat dan tidak stabil keadaannya. Lantas kamu bangun dan menyapa, "Mak cik, silalah duduk", sambil tersenyum. Kebetulan rakan kamu turut berada dalam bas yang sama, dekat dengan tempat kamu berdiri. Lalu beralun suaranya bertanya, "Wah, berbudi bahasa budaya kita kau ni". Lalu apakah yang bakal kamu perkatakan? Atau sekadar senyum kepuasan?

Senario 3:

Ada jemputan tazkirah di surau, secara peribadi dibuat oleh rakan yang secara langsung terlibat dengan program tersebut. Dengan lembut dia berkata, "Jom hadiri tazkirah oleh Ustaz sekian-sekian, inshaAllah banyak santapan rohani yang bukan sekadar mengenyangkan, malah memuaskan bagi mereka yang mendambakan kemanisan iman". Lantas dia pun berlalu. Datang pula rakan yang sudah pun diletakkan janji padanya untuk berlatih badminton bagi perlawanan yang bakal menjelang 2-3 hari lagi. Maka apakah yang menjadi pilihan? Sejauh mana komitmen kamu terhadap apa yang diputuskan? Apa yang sebenarnya kamu kejarkan?
_______________________________________________________

Bagi penulis sendiri, tersentak minda diri yang mengarang entri kali ini. Bukan kerana susah untuk memikirkan isi-isi, bukan kerana tiba-tiba rajin selepas kemalasan menguasai diri, bukan juga kerana terhenti dek isi yang terputus untuk diceritakan lebih lagi. Namun, hakikat kehidupan manusia masa kini, menggambarkan betapa asyiknya kita mengejar kejayaan duniawi, sehingga melupakan matlamat asasi sebagai insan yang diciptakan Ilahi di atas muka bumi.

Setiap orang bercita-cita tinggi, ada yang ingin menjadi pensyarah, jurutera, doktor dan peguam yang berjaya, terunggul dan terkenal. Setiap orang ingin menjadi baik, dihormati, dihargai dan dipandang tinggi. Setiap orang juga menginginkan kebahagiaan setelah berpenat lelah menempuh onak dan duri. Walaubagaimanapun, dalam setiap apa yang kita impikan, seolah-olah jalan menuju destinasi yang sepatutnya diidamkan kita selaku umat manusia hampir dikaburkan, terhalang dan mustahil untuk dijejaki. Kerana apa?

(akan bersambung)

aRifF.DaNiaL