Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kerana sistem kehidupan masyarakat hari ini adalah rutin yang merunsingkan, formula yang diciptakan khas untuk mengelirukan, dan gaya hidup hedonisme dan materialisme yang mengasyikkan dan melalaikan, umat Islam perlukan suatu perubahan, menjejaki semula matlamat asal penciptaan, mengejar semula darjat sebagai khalifah di atas muka bumi tuhan, bagi mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Al-Baqarah:30)
Cukuplah dengan gejala sosial yang semakin menghanyutkan remaja-remaja Islam ke kancah kehinaan, sudah-sudahlah dengan ketidakstabilan politik Negara-negara Islam yang dipermainkan oleh anasir yang berniat menjatuhkan, menyebabkan pemimpin-pemimpin umat Islam menjadi lemah dan tidak berdaya tahan menangkis pengaruh yang melumpuhkan kekuatan, lantas menjadikan mereka boneka-boneka hidup bagi merealisasikan matlamat menumpaskan Islam di setiap tempat sepanjang zaman.
Tidak mahu lagi umat Islam mengalami penindasan oleh mereka yang mencabul hak asasi kemanusiaan, melihat warga tua, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keadaan yang semakin ketara menambah sakit penderitaan, tanpa ada walau sekelompok umat yang bangkit untuk melancar penentangan bagi menegakkan syiar Islam yang pernah terkenal dengan kehebatan dan ketamadunan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” (As-Saba’:28)
______________________________
Senario 1:
Tidak semestinya dengan melanjutkan pelajaran ke universiti dan cemerlang dalam bidang akademik boleh menjamin kejayaan selanjutnya dan kebahagiaan sepanjang hidup, kerana akhirnya Allah S.W.T. jua yang akan menentukan segala. Namun, usah dibiar diri tanpa kejayaan sebegitu, malah jadikanlah kecemerlangan yang diperolehi sebagai suatu kredit dan nilai tambah untuk menjadi umat Islam yang berjaya, bukan sekadar dalam mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat, bahkan dengan kejayaan di dunia. Pernahkah terfikir dengan kejayaan tersebut, akan menjamin keutuhan kedudukan Islam dari aspek ilmu duniawi yang kian dimonopoli masyarakat bukan beragama Islam?
Senario 2:
Berbudi bahasa bukan sekadar budaya kita, malahan ia adalah suatu amalan yang dijaminkan ganjaran oleh Allah S.W.T. sekiranya kita mengakui setiap perkara baik yang kita lakukan, hanyalah kerana Dia. Bukan kita berbudi bahasa untuk menjadi tatapan orang awam, menjadi buah mulut pada setiap pandangan, dan diangkat sebagai orang yang paling berbudi bahasa disisi insan. Padahal, lebih besar ganjaran bagi mereka yang berkelakuan baik, membuat perkara yang baik terhadap orang lain, dan menyeru kepada kebaikan, kesemuanya berbalik kepada keperibadian dan akhlak kita selaku umat Islam. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (Riwayat At - Tirmidzi)
Senario 3:
Tidak salah sekiranya kita mengejar kejayaan duniawi, asalkan tidak berlaku zalim terhadap tuntutan utama yang diseru Allah S.W.T. kepada hambaNya. Bagaimana berlaku zalim? Apabila kita mengutamakan kehidupan dunia dan isinya lebih berbanding kehidupan akhirat dan bekalan menuju ke sana. Tidak juga Allah S.W.T. melarang hambanya untuk memakmurkan dan mentadbir dunia dengan aspek-aspek duniawi, asalkan tidak mencapai tahap mengabaikan tanggungjawab utama sebagai abdi dan khalifah di muka bumi.
______________________________
Marilah sama-sama kita jadikan rutin yang disemai dalam kehidupan sebagai alat memenuhi tuntutan Ilahi, kejarlah ilmu fardu ain dan kifayah bagi melahirkan umat yang gemilang dan terjamin kejayaan duniawi dan ukhrawi, sudah tiba masa untuk menanam subur benih-benih aqidah agar bercambah keimanan dan membuahkan gaya hidup islami. Allah berfirman mafhumnya:
“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” (Ali-Imran:85)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment