Fitnah daripada Ketampanan
Pernah mendengar kisah Nabi Yusuf? Hati penulis betul-betul tersentuh apabila disalingkan dalam cerita ‘Ayat-Ayat Cinta’.

Berbalik kepada kisah Nabi Yusuf, baginda difitnah dengan cubaan untuk menggoda Isteri Gabenor, yang sebenarnya berminat pada baginda kerana ketampanannya. Lantas Nabi Yusuf dipenjara, namun masih berdoa kepada Allah S.W.T. untuk dipelihara dari segala dusta. Bicaranya yang bermaksud:
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih suka dipenjarakan berbanding aku berada di luar tetapi harus memperturutkan hawa nafsu para wanita itu. Lindungilah aku wahai Tuhanku dari pergaulan orang-orang yang hendak membawaku ke jalan yang sesat dan memaksaku melakukan perbuatan yang Engkau tidak redhai. Bila aku dipenjarakan akan ku bulatkan fikiranku serta ibadahku kepadamu wahai Tuhanku. Jauhkanlah daripadaku rayuan dan tipu daya wanita-wanita itu, supaya aku tidak termasuk dari orang-orang yang bodoh dan sesat.”
Signifikasi 1:
Allah S.W.T. sedang berbicara kepada Nabi Yusuf agar bersikap sabar dan berhati-hati terhadap godaan dan dugaan yang mendatangi baginda.
Lalu diperkenankan doa Nabi Yusuf dan dipenjarakan agar terpelihara kesucian dan darjat Nabi Yusuf daripada termakan nafsu dan godaan Zulaikha dan manusia yang memandang hina baginda atas kesalahan yang tidak diniatkan apatah lagi dilakukannya.
Tiadakah impak dalam kehidupan kita?
Kadangkala kita terlalu mudah mencapai kejayaan.
Penulis akui bahawa perjalanan dalam bidang akademik sedari kecil seolah-olah dipermudah, sehingga tidak terasa susah untuk mencapai kejayaan. Tiada gred ‘B’ dalam UPSR, PMR dan SPM, malah ditawarkan untuk belajar di luar Negara, sekali lagi keputusan ujian melayakkan penulis untuk merealisasikan cita-cita di Australia. Syukur tidak terkira, namun apakan jadi sekiranya tiada bicara ‘Alhamdulillah’ atas segala kurnia?
Ada orang kata, ujian tidak mengira susah atau senang, sihat atau sakit, kaya atau miskin, dan berbagai lagi bentuk. Semua itu ujian, malah kehidupan yang dianugerahkan ini juga adalah satu bentuk ujian, terletak pada manusia bagaimana untuk memanfaatkannya mencari bekalan akhirat.
Firman Allah S.W.T. mafhumnya:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(Surah Al-Mulk:2)
Tidak salah kalau sentiasa menempa kejayaan, jadi orang paling kaya pun tidak mengapa. Asalkan? Masih mengakui diri sebagai abdi, mengakui bahawa setiap kejayaan yang dicapai bukan semata-mata atas usaha sendiri, dan mengakui bahawa Allah itu lebih dalam segala segi.

Lebih afdhal sekiranya kejayaan dan kekayaan yang dikurnia dimanfaat ke jalan Ilahi.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya.”
(Hadis riwayat Tabrani)
Namun, tidak semestinya yang susah dan miskin tidak boleh dan tidak perlu berbakti, apa sahaja yang terdaya inshaAllah akan mempunyai nilai disisi Tuhan Yang Maha Pengasih, tidak kira sekecil manapun kesan yang diberi.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya.”
(Surah Al-Zalzalah: 7-8)
Signifikasi 2:
Sesungguhnya Allah S.W.T. melalui kisah Nabi Yusuf sedang berbicara tentang neraca langit yang berada dalam tangan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Siapa kata kehidupan Nabi senang dan bahagia sentiasa?
Walau terpilih daripada sesuatu kaum, tetap tidak terlepas dari menghadapi ujian dari Tuhan, cuma ujian mereka didatangkan dalam bentuk yang berbeza. Bukankah seluruh kehidupan itu adalah ujian?
Apakah perkaitannya dengan kita?
Sememangnya ada diantara kita yang mengakui bahawa kehidupan itu adalah ujian, sehinggakan ada yang berbangga kerana sepanjang kehidupan yang dilalui itu dapat dihadapi dengan jaya walau sukar pada permulaannya.
Namun bolehkah kita berasa puas dan lega selagi nyawa dikandung badan, selagi ajal tidak bertandang?

Nabi Yusuf adalah orang yang mulia, dipilih dan diangkat Allah S.W.T. untuk menjadi Rasul menunjuk kepada jalan yang benar, dan menutup jalan yang dianjurkan taghut. Masih juga dihumban kedalam penjara, masih lagi dihujani fitnah manusia. Mengapa?
Allah itu Berkuasa ke atas segalanya, malah neraca Tuhan itulah neraca yang seadilnya.
Mulia pada pandangan manusia tidak bererti mulia disisiNya. Seorang hamba abdi, sehina manapun ia dicaci dan dilayan belum tentu tidak mampu tampil mulia di sisi Ilahi.
Kerana akhirnya Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui isi hati manusia, Dialah penentu segala.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yg dusta."
(Surah Al-Ankabut:2-3)
Kesimpulan
Sekali lagi Allah S.W.T. berbicara, mengingatkan kepada kita bahawa kehidupan ini adalah satu bentuk ujian, setiap yang berlaku adalah ujian, bukan untuk menjatuhkan, namun untuk meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Pernah terfikir mengapa ujian didatangkan bertalu-talu?
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Pergilah kepada hamba-Ku. lalu timpakanlah bermacam-macam ujian kepadanya karena Aku mahu mendengar suaranya.”
(Hadis Riwayat Thabarani yang bersumber dr Umamah r.a)
Kemudiannya, Dia berbicara tentang neraca langit yang menjadi penentu segalanya, neraca Allah S.W.T., bukan neraca dunia dengan manusia yang menjadi pengadil dan hakim.
Hal ini mengingatkan kita agar sentiasa berbuat baik tidak kira bila, dimana dan tidak perlu dipersoalkan mengapa. Kerana akhirnya, Allah yang akan menilai di hari akhirat kelak sebagai Sang Pencipta.
(akan bersambung)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment