Sunday, October 28, 2012

Diari Dai'e (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Dalam Diari Dai’e (1), penulis menukilkan perihal seorang dai’e yang menjalankan tanggungjawab yang telah digalas oleh Allah dan yang meneruskan perjuangan nabi Muhammad S.A.W. Berkisar tentang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka menjadi seorang khalifah yang mengembara mencari manusia atau sekumpulan manusia untuk memberi peringatan akan hari pembalasan dan hakikat penciptaan manusia. 

Namun dalam melalui perjalanan dakwah, dai’e tidak sentiasa mengalami kemudahan atau kesenangan. Bahkan, ada yang gugur dan keciciran dari jalan perjuangan. Lebih teruk, ada yang menyimpang dari perjalanan dakwah sebenar. Maka manusia menjadi hairan, sedangkan mereka adalah manusia yang telah didatangi kesedaran dan kekuatan untuk mendepani masyarakat, namun tertewas sebelum mengecapi kemenangan. 

Usah Pergi Jauh 

Cabaran kepada dai’e boleh datang dalam pelbagai bentuk, ada yang jelas boleh dinampak dan ada yang tidak, hanya bermain di minda, hati dan perasaan. Kadangkala dai’e tidak boleh pergi jauh dan menyumbang sebanyak mungkin dalam kerja dakwah. Mereka berasa terbeban, dan kadang-kadang berfikir dua kali sebelum memulakan kerja dakwah. Mereka seolah-olah layang-layang yang terikat, dan tidak boleh terbang tinggi dan menjadi hebat. 

Seruan dakwah boleh datang dalam dua perspektif; sama ada kita menjadi baik untuk mengajak orang lain menjadi baik atas kesedaran dakwah, atau kita mengajak orang lain menjadi baik atas kesedaran melalui tarbiyyah. Melihat kedua-dua perspektif, hanya ada satu kesimpulan bahawa kedua-duanya bermula dengan tarbiyyah. Ada orang yang ingin masyarakatnya maju, maka dia memulakan perjalanan memperbaiki diri sebelum memperbaiki orang lain. Ada orang yang memulakan tarbiyyah hanya untuk memperbaiki diri sendiri, namun akhirnya mencerna semangat dan kefahaman tentang perlunya dakwah iaitu mengajak orang lain memahami dan melalui jalan tarbiyyah. 

Dai'e itu ibarat kepompong. Ia bersusah payah menjalani tarbiyyah dan akhirnya terhasil menjadi seekor rama-rama yang indah dan menyedapkan mata yang memandang. Jika dai'e tidak mendidik diri dan membina kekuatan, mustahil untuk menjalani kehidupan sebenar dan kekal dalam perjuangan. Malah, kepompong itu tidak akan pun bertukar menjadi seekor rama-rama yang bebas, hanya hidup dalam kesempitan dan kegelapan.


Oleh itu, usah pergi jauh terlebih dahulu untuk mencari mad’u. Kerana dalam diri dai’e itu sendiri, ada mad’u yang perlu dididik dan dijaga agar segala pekerjaan yang dilakukan akan menjurus kearah kebaikan dan menyumbang kerja dakwah. Sebelum dai’e mengingatkan orang lain, mereka haruslah mengingatkan diri mereka tentang tujuan sebenar manusia diciptakan, dan ke mana hala tuju akhir umat manusia. Dengan itu, barulah segala amalan terjaga, bahkan bersedia untuk memulakan perjalanan dakwah. Walaupun hanya dengan satu ayat al-Quran atau sepotong hadis ringkas, ada di antara dai’e yang boleh menggegar dunia dan menambat hati mad’unya. Sabda Rasulullah S.A.W.; 

Dari Abdullah bin 'Amr ra: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.” (Bukhari dan Tirmizi) 

Namun, apa yang lebih penting adalah diri dai’e memerlukan dzatiyah yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang, tidak kira dalam pembinaan diri atau orang lain. Oleh kerana itu, motivasi dan sumber kekuatan dai’e harus diperjelas dan diyakini, yakni semata-mata kerana membantu agama Allah dan RasulNya, dan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat sana. Tidak ada kekuatan lain melainkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, juga tawakal atas pertolongan Allah. 

“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad : 7) 

Tidak akan tercapai kemenangan dan objektif dakwah oleh dai’e yang berkepentingan diri, mengajak manusia ke arah Ilahi dengan niat menampakkan kehebatan dan mengejar kemasyhuran. Sungguh hina para dai’e yang berpayung dibawah naungan Allah dan ajaran RasulNya namun hanya memikirkan keuntungan duniawi. Tidak akan Islam memerintah dunia jika dai’e tidak memerintah diri dan hawa nafsu sendiri. 

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL

Friday, October 26, 2012

Diari Dai'e (1)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bukan senang nak jadi dai’e. Perkara ini sentiasa bermain difikiran penulis, siang dan malam, pagi sampailah ke petang. Tidak mengenal cuaca, perkara ini tidak akan berubah apa-apa. Malah, perjalanan ini terasa semakin sukar. Mungkin penulis boleh digelar sebagai seorang dai’e yang suka mengeluh. Buat kerja amal sedikit, namun masih mendambakan hasil yang luar biasa. Aduh! 

Penulis terdetik untuk menukilkan apa yang berada dibenak minda dan perasaan. Apabila penulis sudah memulakan langkah bergerak dalam salah satu jemaah Islam sebagai wasilah menyampaikan dakwah, maka penulis sendiri sudah bergelar dai’e. Namun adakah maksud dan definisi itu memainkan peranan? Adakah maksud dan definisi itu meniup satu ruh dan kesungguhan? Maka jika dinilai semula, mungkin penulis masih jauh untuk menggelarkan diri sebagai dai’e, kerana masih banyak yang perlu diperbaiki. Sekalipun gelaran dai’e itu ditangkalkan kepada penulis, mungkin penulis hanyalah dai’e yang lesu.

Hakikat dai’e bukanlah suatu pangkat yang boleh disandang dan diberikan kepada sesiapa. Gelaran dai’e itu bukanlah suatu darjat yang boleh diketepikan setelah diri sudah digelar sedemikan. Kerana hakikat dai’e adalah orang yang melaksanakan dakwah, bukan kerana kemahuan dan semangat, bukan kerana kelapangan masa dan kelebihan diri, akan tetapi ia lahir atas kesedaran sejak dari saat diri meyakini kebenaran fikrah Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. 


Maka dai’e bukan suatu terma yang direka, bukan terma untuk dipersenda, bukan terma untuk dibangga dan dijaja, kerana dengannya manusia bukan mengejar pangkat dan menjadi terkemuka, bahkan kerananya manusia bergerak menyampaikan dakwah, kerana dengannya manusia akan menempa kebahagiaan di syurga, dan kerana ia adalah tugas yang digalas Allah kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: 

“Kamulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia.” (Ali ‘Imran 3: 110) 

Teringat tentang keperibadian abah. Dia hanya bekerja sendiri, bertukar-tukar kerja dan tanggungjawab, namun rakan-rakan dan masyarakat sekeliling memanggil dia dengan panggilan Cikgu Shaari, walaupun tidak bekerja sebagai cikgu, atau berkelayakan dalam bidang pendidikan untuk menjadi cikgu. Sungguh, orang tidak melihat jawatan apa yang kamu sandang, gelaran apa yang kamu pakai, akan tetapi orang melihat apa yang kamu kerjakan. Begitu juga dai’e. Sungguh malu manusia yang digelar dai’e namun tidak melakukan apa yang diperkatakannya. Sungguh malu juga manusia yang bekerja menggerak dakwah namun tidak mengejar objektif dan matlamat dakwah itu sendiri. 

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL

Monday, October 22, 2012

Bingkisan Semalam (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Dalam Bingkasan Semalam (3), penulis berkongsi tentang kehidupan yang menanam erti memberi dan menerima. Adakala kita memberi kepada orang yang memerlukan, ada juga ketika kita menerima kerana kita memerlukan. Sementara sebahagiannya kita memberi dalam bentuk kewangan dan harta, sebahagiannya kita menerima dalam bentuk masa dan tenaga. Sungguh indah erti kehidupan pada memberi dan menerima! 

Dalam kehidupan, manusia bersama-sama menjalani aktiviti harian. Adakala kita terlepas pandang akan perkara atau kejadian yang berlaku, sehinggakan memandang rendah kepada hikmah yang ada, sekiranya kita berfikir dan beringat sejenak. Alhamdulillah, dalam setiap perkara ada baiknya yang perlu kita ambil, dan ada yang buruk yang perlu kita ketepikan dan ambil iktibar. 

Muhasabah 

Sepanjang bekerja sebagai penghantar pizza, sememangnya penulis bersua dengan ramai pelanggan. Apabila ramai pelanggan, maka berbagailah kerenah dan ragam. Namun, terkadang ketika penulis memandang mereka dengan perspektif yang menyeluruh, akan timbul kesedaran yang menyentak perasaan. 

Ada pelanggan yang menikmati pizza yang dihantar, namun mereka hanya keseorangan tanpa ahli keluarga dan teman di rumah, hanya bertemankan anjing peliharaan, adapun pelanggan yang lain bergembira mengadakan jamuan beramai-ramai. Ada juga pelanggan yang menyapa penulis dengan kemarahan, tidak kurang juga yang mesra dan melontarkan senyuman. Sehinggakan, penulis terdetik dihati untuk memberi pizza yang dibeli tanpa mengharapkan bayaran, kerana bersimpati dengan kehidupan pelanggan yang keseorangan dan serba kekurangan. 

Walaupun hanya bersua hanya untuk 2-3 minit, terlalu banyak pengajaran yang penulis peroleh, bahkan perasaan penulis berbaur dan bercampur apabila berjumpa dengan pelbagai jenis pelanggan. Apabila melihat wajah si ibu yang tua, terkadang membuat penulis terkenang Mama di Malaysia, tidak kurang juga melihat wajah seorang lelaki tua, membuat penulis merindui Abah di Malaysia. Terkadang melihat aksi anak-anak yang riang dan ceria, membuatkan hati berasa senang dan gembira. 


Sungguh inilah kehidupan manusia dengan pelbagai ragam, pelbagai pedoman dan peringatan! Adakala kita merasa selesa dengan kehidupan kita, ada kerja dengan gaji yang berbaloi, menjadi pelajar tajaan, hidup di negara orang seolah-olah di negara sendiri. Namun apabila melihat dengan kaca mata kehidupan manusia lain yang serba kekurangan, keseorangan tanpa ahli keluarga mahupun teman, ketika itulah kita berkata, “Alhamdulillah!”. Berkata Saidina Umar Al-Khattab; 

“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang.” (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin). 

Maka sedarlah bahawa kehidupan kita boleh menjadi teladan dan pengajaran kepada orang lain. Yang buruk boleh disempadani, yang baik boleh dicontohi, bahkan kehidupan kita mungkin menjadi kisah agung yang membakar semangat anak-anak muda apabila kita dewasa nanti, mungkin ada juga kisah keperitan kita yang menjadi sumber motivasi dan kekuatan kepada mereka. Hal ini kerana, kehidupan kita adalah muhasabah untuk orang lain, kehidupan orang lain pula adalah muhasabah untuk kita. 

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL

Saturday, October 20, 2012

Lambaian Cinta (5)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Dalam entri Lambaian Cinta (4), penulis menukilkan perihal lambaian yang menggarap erti perjuangan untuk mengajak manusia kembali kepada pengabdian dan kehidupan bersama Islam. Ia memerlukan pendakwah untuk bergerak tangkas bukan sahaja untuk menarik mad’u-mad’u, tetapi juga untuk merintang serangan dan perancangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang bertekad ingin mengkuburkan fikrah yang suci ini. 

Lambaian Cinta 

Kerana itu Allah berbicara melalui perutusanNya, Muhammad S.A.W. agar ditanam Islam didalam jiwa mereka, agar jahiliyyah tertewas dengan kemantapan iman dan keyakinan bahawa di sana ada ganjaran dan hala tuju yang akhir yang berlipat ganda maknanya, agar manusia bersama-sama hidup dalam kasih sayang dan saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran, agar manusia tidak lagi dipimpin hawa nafsu dan syaitan, agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu dan Aku cukupkan keatas kamu rezeki, kenikmatanKu dan Aku redha Islam itu agama anutanmu...". (Surah Al-Maidah:3) 


Kealpaan umat manusia tidak harus diketepikan dan tidak dilayan. Hak mereka adalah untuk disampaikan dan mendengar hakikat dan seruan Islam agar mereka tidak ketinggalan dalam perjalanan mengejar kejayaan dan syurga. Mereka sebenarnya ternanti-nanti akan suatu kumpulan yang memandu arah perjalanan agar tidak terpesong ke arah kemaksiatan dan dosa. Tetapi pendakwah harus ingat, setinggi mana pun semangat dan sebanyak mana pun usaha mereka, pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran luaran dan dalaman, kerana dakwah adalah perjuangan. 

Atas hakikat ini, sahutlah lambaian mereka. Tidak ada manusia lain yang akan bersama-sama mereka kecuali yang menambah kesesatan dan kealpaan mereka, tidak ada jalan lain melainkan jalan yang kita yakini bersama-sama, tidak ada tanggungjawab lain melainkan menyelamatkan mereka dari seksa api neraka. Kerana sesungguhnya, lambaian cinta agung bukan hanya milik kita, bahkan juga mereka. 

Sekian, wAllahu a'alam.

aRifF.DaNiaL

Monday, October 15, 2012

Bingkisan Semalam (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Dalam Bingkisan Semalam (2), penulis menukilkan perihal jatuh bangun manusia dalam kehidupan, atau apa sahaja yang kita lakukan. Adakalanya kita cemerlang, gembira dan sentiasa positif, namun adakalanya kita gagal, sedih dan rasa ingin berputus asa. Tidak ada yang boleh diubah kerana itulah hakikat kehidupan, malah tidak salah sekiranya kita menjadi orang yang pernah gagal dan berasa kecewa. 

Kerana apa yang penting bukanlah hasil setiap pekerjaan yang kita lakukan, apa yang penting bukanlah selama mana kita merasakan kebahagiaan. Namun apa yang perlu diambil kira adalah bagaimana kita bangkit dan terus berjalan, dan sejauh mana kegagalan dan kekecewaan itu membawa diri untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh. 

Memberi dan Menerima 

Antara pengalaman yang mengajar penulis secara lembut dan tidak terlalu menekan jiwa, adalah bagaimana penulis melihat keperibadian manusia yang dijumpai, iaitu pelanggan-pelanggan dan bos. Ada beberapa ketika penulis rasa berpuas hati dan seronok menerima tips atau bayaran tambahan oleh pelanggan. Kadang-kadang satu hantaran boleh mencecah 5 dollar tips, kadang-kadang serendah 50 sen. 

Ada juga ketika dimana penulis berhadapan dengan pelanggan yang membayar kurang, atas alasan mereka akan membayar lebih untuk tempahan yang lain. Apabila penulis pulang ke kedai memberitahu perkara tersebut, bos pun berkata, “ Well, sometimes we give, sometimes we take”. 

Begitulah juga dengan kehidupan. Hari ini mungkin kita menerima, namun esok lusa kita pula yang akan memberi. Hakikat kehidupan bukanlah untuk sekadar memuaskan diri sendiri, mengenyangkan perut sendiri, menggembirakan hati sendiri, dan sebagainya. Kehidupan memberi peluang kepada kita untuk menerima dan memberi, kehidupan mengajar kita untuk bertolak ansur dan tolong menolong, kehidupan juga mengajar kita erti menghargai pemberian orang lain. Seperti pepatah Arab yang diterjemahkan, tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. 


Hakikatnya, jika dilihat dari perspektif yang betul, ia adalah suatu kebaikan yang dianjurkan Islam kepada umatnya. Bahkan, pemberian itu tidak semestinya dalam bentuk material, kewangan mahupun harta. Ia boleh juga dinisbahkan kepada menyumbang tenaga, masa dan mengorbankan kepentingan sendiri untuk orang lain yang memerlukan. Kerana kehidupan menurut Islam tidak mahu manusia hidup hanya dengan kepentingan dan kepuasan diri, tetapi Islam mahu manusia hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi, saling membantu, dan sentiasa bersama susah atau senang, atas dasar kecintaan kepada saudara seagama. 

Ayuh kita muhasabah bersama, sebanyak mana yang kita telah beri dan terima? Sebanyak mana yang telah kita sumbangkan untuk agama, dan sebanyak mana yang telah kita syukuri atas segala nikmat dan kurnia?

(akan bersambung...)

aRifF.DaNiaL