Saturday, October 6, 2012

Lambaian Cinta (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam entri Lambaian Cinta (2) yang lalu, penulis berbicara mengenai lambaian yang menyentak hati insan yang berada dalam kenikmatan Islam, yang mengejar kehidupan setelah kehidupan di dunia, dan meyakini bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara, bermanfaat sekadar untuk memetik bekal-bekal amalan soleh untuk diganjari di akhirat kelak.

Itulah lambaian kealpaan manusia yang selainnya, yang hanyut dalam arus keduniaan yang deras, terjebak dalam kemaksiatan yang berleluasa, terlibat dalam kehinaan mempersendakan dan mengabaikan agama, juga terpedaya dengan godaan syaitan yang memenjarakan manusia dengan dunia. Itulah lambaian yang menyedihkan, lalu lambaian itu menyaksikan pemergian gerabak yang memartabatkan Islam di dalam diri penumpangnya.

Lambaian Pengharapan

Apabila nabi-nabi diutuskan oleh Allah, mereka menjadi manusia yang mengajak kepada keesaan Tuhan dan menundukan segala sistem kehidupan dibawah sistem yang diredhai Allah. Maka tidak hairanlah jika kita melihat bagaimana maklum balas atau serangan balas oleh umat manusia, sama ada menerima ataupun menolak, malah menentang dan berniat untuk mengkuburkan fikrah yang suci ini.

Dapat dilihat, Allah mengutuskan manusia yang akan membimbing manusia ke jalan yang benar, dalam erti kata lain menyambut lambaian kealpaan mereka dengan suatu tekad, suatu keyakinan, dan suatu usaha untuk menyedarkan mereka. Mereka membawa fikrah dan memperkenalkannya kepada seluruh umat manusia, agar mereka menyerahkan diri hanya untuk menghambakan diri kepada Allah dan dirahmati.




Maka lambaian kealpaan itu, bukanlah sekadar untuk ditinggalkan dan diabaikan, malah ia adalah lambaian yang menggalas tanggungjawab, lambaian yang menyentuh hati orang yang membawa fikrah Islam, dan lambaian yang penuh pengharapan agar erti kehidupan sebenar dapat mereka amati. Firman Allah yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Atas dasar ini, yakinlah bahawa diluar sana masih ada manusia yang tercari-cari jalan pulang, masih ada manusia yang ternanti-nanti sekumpulan manusia yang menjadi qudwah dan pembimbing kearah matlamat sebenar, masih ada manusia yang berteriak meminta pertolongan agar diselamatkan mereka dari kesengsaraan dan kekosongan dalam kehidupan. Itulah lambaian pengharapan.

(akan bersambung...)


aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment