Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam entri Lambaian Cinta (3), penulis mencoretkan perihal manusia yang terkapai-kapai, leka dengan komitmen di dunia, sehingga melupakan tanggungjawab yang lebih besar. Penulis menggarap suatu hakikat, bahawa keadaan mereka sedemikian rupa menyeru manusia yang masih mendakap erat fikrah Islam agar menarik mereka dari terlepas dari kenikmatan ukhrawi, itulah lambaian pengharapan.
Dalam usaha untuk mengajak mereka, lambaian pengharapan itu wajar disahut. Allah berfirman yang maksudnya:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (ali Imran : 110)
Walaupun kita dengan kesudian, kebanggaan dan kesungguhan menggalas tanggungjawab tersebut, adakala kita terlupa suatu lagi hakikat yang datang seiring dengan usaha dan tekad kita.
Lambaian Perjuangan
Ada yang berkata amat mudah mengajak orang melakukan kebaikan, bahkan amat mudah bagi diri mereka untuk menambah amal kebaikan. Namun, manusia yang bergelar pendakwah ada juga yang terkulai layu, gugur dalam perjuangan dan berputus asa kerana hakikat ini tidak sentiasa dimuhasabah dan dipegang. Itulah hakikat perjuangan.
Lambaian yang penuh pengharapan itu, menggalas tanggungjawab ke atas manusia yang membawa fikrah Islam sepanjang kehidupan mereka. Akan tetapi, lambaian itu juga memerlukan pendakwah atau sesiapa sahaja yang mengajak kepada yang baik dan meninggalkan yang buruk, untuk merencana dan menggerakkan satu perjuangan.
Ia adalah perjuangan, kerana nilai pekerjaan ini amat besar, malah ia adalah sunnah teragung yang ditinggalkan Rasulullah untuk umatnya. Seruan dakwah bukanlah seruan yang kecil, ia adalah satu seruan yang bergema diserata dunia, seluruh dunia harus mendengar dan menyahut seruan ini agar mereka selamat dan diredhai. Juga kerana, ia adalah amanah yang perlu dilaksanakan.
Ia adalah perjuangan, kerana kita bukan sahaja berdepan dengan manusia yang alpa, tetapi juga musuh yang sentiasa merencana dan memerhati gerak geri dan perjuangan kita. Mereka akan cuba mematahkan semangat pendakwah, mereka akan cuba menghentikan kerja-kerja dakwah.

Hari ini dunia menyaksikan keagungan Barat dan ideologi mereka yang memenuhi cita rasa manusia. Ia adalah ideologi yang memperdaya manusia, mengaburi manusia dari nikmat yang terutama. Mereka mengubah persepsi terhadap kehidupan berdasarkan material dan kepuasan diri, mereka menyeru kepada hak asasi manusia, mereka menyerap masuk unsur-unsur jahiliyyah yang melalaikan, lalu bagaimana keadaan mereka? Nilai Islami terhakis, Islam dikompromi, Islam tergadai, Islam dipermain, Islam diburukkan, Islam diperangi, dan banyak lagi yang berlaku. Maka siapa yang akan dipersoal kelak kalau bukan kita?
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment