Peristiwa di Gua Hira’
Bicara Sang Pencipta mengingatkan umat manusia bahawa Allah S.W.T. sentiasa ada bersama hambaNya.
“Jangan bersedih, sesungguhnya Allah S.W.T. bersama kita.”
(Surah At-Taubah:40)
Bicara Sang Pencipta juga memberitakan tentang satu-satunya agama yang diterima dan diredhai Allah S.W.T.
FirmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.”
(Surah Ali-’Imraan:19)
Bicara Sang Pencipta turut mengingatkan umat manusia akan kepentingan ilmu sebagai penerang kehidupan.
Diperkuat dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan menuju Surga.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Fitnah Dari Ketampanan
Bicara Sang Pencipta menyedarkan umat manusia perihal kepentingan sabar dalam menempuh ujian dalam kehidupan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bicara Sang Pencipta juga mengingatkan umat manusia tentang neraca Allah S.W.T. sebagai penentu pengakhiran apabila tibanya hari akhirat kelak. Sesungguhnya kesudahan syurga atau neraka, bahagia atau celaka, semuanya terletak pada tangan Sang Pencipta.
“Siapakah yang dapat menghalangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu. Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Fath:11)
Tipu Daya Si Durjana
Bicara Sang Pencipta mengkhabarkan tentang penciptaan manusia dengan tujuan tertentu, yakni untuk menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan Islam sebagai Ad-Deen pembawa rahmat.
“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
(Surah Al-Mukminun:115)
Bicara Sang Pencipta mengingatkan tentang manusia yang diciptakan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan dan menjadi abdi yang berserah diri kepada Ilahi.
"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya."
(Surah At-Tin:5-6)
Bicara Sang Pencipta mengajar manusia tentang sunnatullah, adanya kebaikan maka akan adanya keburukan yang mendatang. Juga Dia mengajar manusia dengan sebarang bentuk ujian agar manusia bertambah iman dan taat kepadaNya.
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.”
(Surah Al-Insan:2)
Penutup

Entri ‘Bicara Sang Pencipta’ yang lalu berkisar tentang manusia-manusia yang terpilih. Bicara Sang Pencipta kelihatan ditujukan secara langsung kepada mereka.
Namun, adakah bicaraNya terhenti saat wafatnya Rasulullah S.A.W. sebagai utusan terakhir? Apakah sudah tidak ada lagi ikatan antara hamba dengan Tuhan? Adakah tiada lagi ruang untuk setiap hamba bergantung harap pada Tuhan? Mengapa kehidupan manusia hari ini seolah-olah tidak lagi dipandu bicara Sang Pencipta yang sentiasa ada, kekal sepanjang zaman?
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? …”
(Surah Ali-‘Imran: 144)
Tidak! Sesungguhnya Allah S.W.T. masih lagi berbicara kepada hambaNya, kerana itu kita diwariskan dengan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penunjuk dan tauladan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya."
(Hadis Riwayat Malik)
Al-Quran itu bukan hak milik Muhammad S.A.W., kerana itu ia disampaikan kepada umat yang kejauhan dari rahmat Tuhan. Al-Quran itu kekal, untuk manusia tetap berada pada jalan kebenaran. Al-Quran itu pembawa rahmat, kerana itu dunia akan makmur dengan khalifah yang taat.
Sedarlah bahawa Al-Quran itu kalam Allah S.W.T. yang dibicarakanNya untuk umat manusia. Tidak pernah terputus rahmat Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dari menaungi umat manusia terutama yang beriman dan beramal soleh.
“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang satu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi apa (penyakit-penyakit) yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”.
(Surah Yunus, 57)
Ahli hikmah juga ada mengatakan:
“Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang”.
(Ahli Hikmah, Ibn Atoillah)
Bagi mereka yang mantap keimanan terhadap Allah S.W.T., tidak akan terlintas dihati bahawa Tuhan tidak lagi mengendahkan keberadaan mereka di atas muka bumi tatkala bertubi-tubi ujian mendatangi. Yakinlah bahawa Allah S.W.T. itu pelindung dan tempat bergantung harap bagi mereka yang betul-betul mencari.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman”.
(Surah At-Taubah:51)
Tidak juga terputus rahmat Tuhan dari mereka yang melakukan dosa, kerana pintu taubat sentiasa terbuka sehingga ke hari pembalasan, sekiranya mereka benar-benar menginsafi kezaliman yang dilakukan.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri”.
(Surah Al-Baqarah:222)
Malah, masih lagi akan dikurniakan sebaik-baik nikmat di akhirat kelak.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”.
(Surah At-Tahrim:8)
Maka dengan itu, pujuklah mata hati kalian untuk mendengar bicara dari Tuhan. Sesungguhnya bicara itu terkandung cermat di dalam Al-Quran, As-Sunnah Nabi sentiasa menjadi tauladan dan ikutan bagi mereka yang cintakan utusan.
Jadikanlah Al-Quran sebagai kalam Allah S.W.T. yang berbicara kepada kalian, sewaktu susah atau senang usah dibiarkan tanpa renungan. As-Sunnah usah dikecualikan, kerana ia gambaran tentang kehidupan yang Tuhan inginkan pada setiap insan yang diciptakan.
Semoga akan sentiasa kehidupan manusia berteman, tidak lagi akan berasa keseorangan, kerana Bicara Sang Pencipta.
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment