Tipu Daya Si Durjana
Mari kita imbau sejarah penciptaan manusia yang pertama di atas muka bumi oleh Allah S.W.T., suatu ciptaan yang bukan sia-sia, bukan calang-calang. Dialah nenek moyang kepada rumpun manusia hari ini, Nabi Adam A.S.
Bagaimana kisahnya?
Mungkin ramai yang tahu perihal penciptaan Adam dari segumpal tanah lalu dibentuk dan ditiupkan roh, kemudian Adam diajar secara langsung oleh Allah S.W.T. dan penerokaan alam bermula dengan pengenalan kepada beberapa benda, kisah Adam menghuni syurga dan diciptakan seorang teman bernama Hawa dari tulang rusuk kirinya, dan akhirnya kedua-duanya terpedaya dengan pujukan syaitan untuk melanggar perintah tuhan agar tidak mendekati sebuah pohon, lantas diturunkan Adam dan Hawa yang kemudiannya bertaubat atas kesalahan besar mengingkari perintah Allah S.W.T.
Mungkin kisahnya ringkas, namun terdapat beberapa hikmah yang tercapai oleh fikiran penulis. InshaAllah.
Signifikasi 1:
Mengapa bukan sia-sia?
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
(Surah Al-Baqarah:30)
Ia bukan suatu penciptaan yang sia-sia kerana Allah S.W.T. mempunyai tujuan tertentu, yakni untuk menciptakan khalifah yang memakmurkan bumi.

Memakmurkan bumi? Adakah bumi hari ini aman dan makmur? Dengan pencabulan hak asasi manusia, maksiat merata-rata, sistem jahiliyah yang berleluasa, inikah yang dikatakan makmur?
Sesungguhnya bukan bidang kuasa kita untuk berbicara tentang mengapa manusia diciptakan dengan selanjutnya dan mendalam. Hanya Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui, padaNya tersimpan beribu hikmah yang tidak terjangkau pancaindera dan fikiran manusia yang lemah tanpa daya seumpama Yang Maha Kuasa.
Masih, manusia mempunyai pilihan untuk mengubahnya, terutamanya umat Islam hari ini. Kita sedar bahawa umat manusia hari ini sudah lari dari matlamat penciptaan manusia yang sebenar, yang pertama menjadi khalifah memakmurkan bumi.
Yang kedua? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.”
(Surah Adz –Dzariyat:56)
Signifikasi 2:
Mengapa pula bukan calang-calang?
Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud:
“Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan ?” Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”
(Surah Al-Baqarah:33-34)
Pertama, bukan calang-calang kerana manusia itu diciptakan oleh Allah S.W.T., suatu zat yang Maha Berkuasa dan Memiliki isi langit dan bumi keseluruhannya, dan sesungguhnya manusia itu adalah sebaik-baik penciptaan.
Firman Allah S.W.T. mafhumnya:
“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
(Surah AT-Tiin:4)

Lebih baik penciptaan manusia itu jika dia beriman dan beramal soleh, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”
(Surah Al-Bayyinah 7)
Kedua, kerana manusia pernah disujud oleh malaikat. Siapa itu malaikat? Sekiranya kita mengenal malaikat, sungguh kita akan sedar betapa mulianya manusia disisi tuhan.
Belum lagi kita berbicara mengenai manusia dengan tingkat keimanan dan sifat kehambaan yang tertinggi, yang diangkat Allah S.W.T. sebagai penghuni syurga di akhirat kelak.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka adalah surga Firdaus menjadi tempat tinggal.”
(Surah Al-Kahfi:107)

Signifikasi 3:
Adakah terdetik mengapa ditakdirkan Adam dan Hawa terpedaya oleh tipu daya iblis?
“Kemudian setan membisikkan pikiran jahat kepadanya, dengan berkata: “Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?” Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) surga, dan durhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia.”
(Surah Thaahaa:120-121)
Sekiranya Tuhan benar-benar cinta dan sayangkan ciptaanNya yakni Adam dan Hawa, sekiranya ciptaan Adam dan Hawa itu tidak ingin disia-sia, sekiranya Adam dan Hawa bukan calang-calang penciptaan, mengapa mereka dibiar terpedaya dan iblis yang angkuh dibiar sesuka hati mempengaruhi mereka?
Pertama, Tuhan ingin menunjukan bahawa dimana adanya kebaikan, akan adanya perkara yang memudharatkan. Itulah sunnatullah yang ingin diingatkan kepada Adam dan Hawa.

Kerana itu Allah S.W.T. berbicara:
“Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Baqarah:35)
Pada awal ayat diatas, terdapat suruhan Allah S.W.T. untuk makan makanan yang dibenarkanNya, kecuali makanan yang berasal dari sebatang pohon, yang berbentuk larangan.
Apa pengaruhnya kepada kita?
Matlamat penciptaan manusia adalah untuk mengabdikan kepada Allah S.W.T.
Dalam pengabdian kita dalam kehidupan seharian, bukan sekadar melaksanakan suruhan dan tuntutan Allah S.W.T., malah ia menuntut kita untuk menjauhi perkara-perkara mungkar, yang memudharatkan dan menjauhkan diri dari pintu syurga, malah yang akan menghumban kita ke dalam neraka.
Mengapa perlu ikut kesemuanya yang ditetapkan Allah S.W.T.? Apakah tidak boleh kita lakukan apa yang kita suka? Apakah tiada ruang untuk kita berdikari tanpa terikat dengan Ilahi?
Sesungguhnya Allah S.W.T. menjawab mafhumnya:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah:216)
Kedua, Iblis dibiarkan untuk memperdaya Adam dan Hawa sewenang-wenangnya kerana ia adalah satu bentuk ujian dari Allah S.W.T. sendiri kepada hambaNya yang datang dalam bentuk godaan dan pujukan melawan Allah S.W.T. dan memuaskan nafsu mereka berdua.

Apakah rasionalnya dengan manusia hari ini?
"Iblis menjawab : "Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."
(Surah Al-A'raf:16-17)
Sesungguhnya iblis masih lagi berleluasa menanam bibit kekufuran dan memperdaya manusia ke jalan yang tidak dianjurkan Tuhan.
Bagaimana untuk melawan iblis? Apakah daya manusia yang lemah untuk dibanding dengan iblis yang angkuh dengan kehebatannya?
“Tuhan bertanya kepada Iblis: "Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku? "Iblis menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur.”
Jadi, apakah senjata umat manusia untuk menangkis tipu daya iblis dan kekal pada jalanNya?
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah."
Kesimpulan
Allah S.W.T. berbicara kepada umat manusia bahawa mereka diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan menjadikan Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Allah S.W.T. juga berbicara kepada umat manusia tentang sebaik-baik penciptaanNya yang perlu untuk disyukuri dan dihayati dalam menjalani kehidupan seharian sebagai abdi.
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
like! peringatan untuk diri sendiri. jzkk.
ReplyDelete