Tuesday, April 12, 2011

Rutin Yang Merunsingkan (2)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Apakah kita pernah terfikir akan matlamat penciptaan manusia, penciptaan kita, penciptaan diri kamu yang bernama ______? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKu". (Adz-Dzaariyat:56)

Lihat bagaimana tanggungjawab yang digalas Allah S.W.T., untuk beribadah kepadaNya bukan sesuatu yang mudah, biasa dan boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Bukan seperti arahan oleh ibu untuk ke kedai membeli barang dapur, bukan kerja rumah yang dilambak pensyarah untuk mendapat markah, dan bukan juga perintah pemerintah yang memegang tampuk pemerintahan negara.

Kerana tugasan yang diberikan di atas ini, terangkat martabat manusia kerana pengabdian dan penyerahan diri kita, bukan sekadar kepada tuan rumah, majikan, guru besar, juga Perdana Menteri. Kuasa yang berbicara diataslah yang merealisasi pembinaan menara atau bangunan tertinggi oleh manusia yang sekadar menumpang menanti tumbang di atas muka bumi, dan tidak pun tercapai langit yang indah berseri.

Kerana kuasa itu adalah milik Allah S.W.T., suatu zat yang amat berkuasa, lantas menggalas amanah yang diberi adalah suatu kemuliaan sebagai umat manusia. Memandang tinggi tanggungjawab yang diletakkan pada bahu umat manusia, itulah kunci melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya dengan jaya.

Dalam setiap perjalanan kehidupan seharian, seolah-olah kita sudah diprogram untuk mengerjakan sesuatu perkara, atau setiap perkara yang kita lakukan. Sebagai contoh, berbalik kepada senario pertama. Mengapa kita ke universiti? Semua orang akan menjawab, “Kalau ingin berjaya, kenalah masuk universiti. Kalau tak masuk, macam mana nak dapat kerja, nak hidup?”.

Tersentak hati yang mendengar pertanyaan yang begitu mendalam maknanya namun dijawab sewenang-wenang oleh majoriti dari kita umat manusia (termasuk penulis sendiri). Asal nak berjaya, perlu masuk universiti. Asal masuk universiti, mesti akan berjaya. Bukankah ini sesuatu formula yang sudah diperkukuh dan diamal seantero dunia? Sehinggakan sunatullah tidak lagi menjadi garis panduan menjalani kehidupan, takdir tuhan tiada lagi dalam usaha dan tawakal insan. Inilah hakikat kehidupan manusia yang semakin asing dari rahmat tuhan, segala amalan dan perancangan hanya mengikut formula ciptaan manusia yang lemah tanpa kudrat seperti Tuhan.

Bagi penulis, sudah tentu kita tidak mampu berbuat apa kerana formula itu sudah pun menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat. Apatah lagi dengan gelombang globalisasi yang semakin menyengat, ramai kalangan umat yang berserah bukan pada takdir Allah S.W.T., namun perancangan Barat yang semakin menjadi diktator dunia. Namun apa yang penulis ingin ketengahkan adalah, formula itu bukan jalan penyelesaian, bukan destinasi yang menjadi tempat letak pengharapan. Akan tetapi, formula itulah alat yang akan menambah kualiti umat manusia, untuk berhadapan dengan Tuhan di akhirat yang pasti akan menerpa. 

(akan bersambung)


aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment