Sunday, September 30, 2012

Ceritera Yang Lupa (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam entri Ceritera Yang Lupa (3), penulis bercerita tentang perjalanan kehidupan manusia. Setelah manusia mengetahui matlamat penciptaan mereka, yakni untuk beribadah kepada Allah, maka sudah tiba masa untuk menjalani kehidupan yang berkisar tentang usaha atau perjalanan mencapai matlamat tersebut, yang akhirnya akan membawa manusia pulang ke sisi Penciptanya. 

Dalam entri tersebut, penulis juga berbicara berkenaan dua jenis hubungan manusia dengan Pencipta, iaitu hubungan yang biasa dan hubungan yang terikat atas dasar keimanan dan ketakwaan. Dan sesungguhnya, adalah tanggungjawab orang-orang beriman untuk menjaga hubungan yang baik dengan Allah S.W.T. agar memperoleh kesudahan yang dijanjikan, kebahagiaan kekal abadi di syurga nanti, in shaa Allah.

Hubungan Teristimewa

Apabila manusia disuruh untuk menjaga hubungan dengan Allah S.W.T., ia adalah dalam erti kata yang mudah untuk difahami, namun secara praktikal ia adalah suatu pengabdian yang luas skop dan ruang lingkupnya. Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T. bukanlah bererti menunaikan tuntutan fardhu dan kifayah yang melibatkan interaksi antara hamba dengan Yang Maha Esa sahaja, akan tetapi ia berkisar tentang ketundukan atau kepatuhan kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan apa yang disuruh, juga mengelak dari melakukan perkara yang dilarang. 

Selalu dikatakan, Islam bukan pada ibadah sahaja, padanya terdapat cabang akhlak, munakahat, jinayat, muamalat dan sebagainya. Lantas kita dapat fahami, bahawa bukan sekadar menjaga hubungan baik dengan Allah S.W.T., malah menjaga hubungan dan interaksi yang baik sesama makhluknya, terutama manusia atau hamba yang lain. Dan boleh juga sekiranya kita menggarap suatu fahaman bahawa, menjaga hubungan baik sesama manusia juga bermaksud menjaga hubungan yang baik dengan Allah S.W.T. Kerana apa? Ia adalah sesuatu yang dituntut dan disuruh olehNya. Itulah yang selalu kita martabatkan sebagai kecintaan atas dasar aqidah kerana Allah S.W.T., yakni ukhuwah fillah. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Al-Hujuraat : 10]

Ukhuwah dan Dakwah

Apabila berbicara mengenai ukhuwah, manusia berkasih sayang dan tampak bersatu kerana ukhuwah yang dibina atas dasar aqidah yang satu, tanpa mengenal erti keturunan, latar belakang, warna kulit dan apa sahaja bentuk yang membezakan antara manusia yang beriman. Kerana dihadapan Allah S.W.T., segala perkara yang membezakan tersebut akan diketepikan, melainkan amal dan ketakwaan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orangyang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Al Hujuraat  : 13)



Dalam mengharungi perjalanan sebagai khalifah di muka bumi, Allah S.W.T. telah menjanjikan kepada orang beriman bahawa mereka akan diuji. Tidak cukup dengan mengakui keimanan sekiranya keimanan itu tidak dicabar dalam apa sahaja bentuk yang Allah S.W.T. turunkan, tidak kisahlah kesakitan, kesedihan, kegagalan, kesempitan, kemiskinan dan lain-lain. Tetapi harus juga sedar bahawa, bukan perkara yang buruk atau tidak baik sahaja yang Allah S.W.T. timpakan, malahan kesenangan, kegembiraan, kejayaan, kelapangan dan lain-lain juga merupakan bentuk ujian yang Dia datangkan kepada hambaNya. 

Dalam masa inilah, manusia memerlukan ukhuwah sebagai sumber kekuatan, keazaman dan pedoman agar diri mereka sentiasa berada pada jalan yang benar dan tidak tergelincir kepada kancah kehinaan. Peranan manusia adalah untuk saling mengingatkan atas dasar kecintaan kepada saudaranya. Tidak wajar bagi mereka untuk berlepas tangan dari menggalas tanggungjawab membawa manusia yang alpa dan keciciran kepada jalan yang selamat dan diredhai, menuju syurga yang hakiki di akhirat nanti. Inilah gerak kerja dakwah. Perjalanan manusia di dunia bukan hanya untuk melepaskan hanya diri sendiri daripada seksa api neraka, bahkan memerlukan umat manusia untuk menyelamatkan mereka dan memimpin mereka kepada Allah S.W.T.

Buih-Buih di Lautan atau Unta Merah


Akhirnya, ia terpulang kepada individu muslim sama ada ingin meneruskan tabiat jahiliyyah, atau kembali semula kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tidak wajar jika kita hanya berpeluk tubuh kerana di akhirat kelak Allah S.W.T. akan menghisab segala amalan baik dan buruk kita. Dunia seharusnya menjadi tempat persinggahan sementara, untuk mengutip seberapa banyak bekal amalan soleh, dengan motivasi dan kekuatan dari kecintaan dan sikap nasihat menasihati sesama saudara. 

Maka, ayuh tanya kepada diri kita, adakah kita ingin menjadi seperti buih-buih dilautan yang tidak ada nilainya, ataupun menjadi seperti unta merah disisi Allah S.W.T. dalam perjuangan dan kehidupan kita. Kuasa ada di tangan kita untuk mencorak masa depan dan menentu arah destinasi kita kelak. Ingatlah bahawa, ini ceritera kita, Ceritera Yang Lupa.

"Seluruh umat manusia hampir mengelilingi kamu seperti mereka (yang kebuluran) mengelilingi hidangan makanan, lalu seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan kamu amat ramai tetapi kamu adalah laksana buih di lautan. Allah akan mencabut daripada hati seteru atau musuh kehebatan kamu dan menyematkan dalam hati kamu perasaan al-wahn. Lantas sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al wahn itu? Ujar Baginda: Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sekian, wAllahu a'alam.

aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment