Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
“Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (1)” yang lalu telah merungkai bagaimana kita sebagai ahli sesuatu bangsa dan agama, seharusnya berbangga dan berusaha mengekalkan rentak perjuangan hingga tertegak kedaulatan kedua-duanya. Walaupun usaha memecah-belahkan masyarakat Islam khususnya diseluruh dunia giat dijalankan anasir Barat, usah gentar sekiranya perjuangan kearah kedaulatan agama, bangsa dan Negara terencana dalam diari kehidupan kita. Kali ini, penulis akan cuba menjawab beberapa isu yang menjadi titik tolak kepada kemudharatan dalam menjamin keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu yang semakin hari semakin hilang hala tuju perjuangan dan agenda, sehingga menimbulkan keraguan dalam bangsa-bangsa lain dan sering dipersoalkan.
Rasionaliti Ketuanan Melayu dan Hak-Hak Keistimewaan Melayu
Dalam senario masyarakat di Malaysia, perjuangan bangsa Melayu seringkali diuar-uarkan dengan istilah ‘ketuanan Melayu’ sehinggakan pada satu ketika disalah erti oleh bangsa bukan Melayu. Hal ini kerana, melihatkan maksud literal istilah tersebut seolah-olah mengiktiraf bangsa Melayu sebagai tuan tanah di Malaysia, maka dengan itu ‘hak-hak kestimewaan Melayu’ wajar dipertahankan dan tidak boleh dipersoal oleh sesiapa pun. Ada juga yang berpendapat bahawa ‘ketuanan Melayu’ dan ‘hak-hak keistimewaan Melayu’ membawa maksud yang sama, sehinggakan salah faham yang berlaku atas dasar definisi dan maksud kedua-dua istilah tersebut mencetuskan masalah perkauman dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ketuanan Melayu

‘Ketuanan Melayu’ dikatakan rasional dalam konteks mengiktiraf kedudukan dan mendaulatkan bangsa Melayu sebagai bangsa pertama yang menduduki Tanah Melayu sejak azali lagi. Berdasarkan Mabo Case No. 2 di Australia, kedudukan dan hak-hak orang asli tidak boleh didiskriminasi atas dasar kebangsaan kerana orang-orang asli di Australia adalah masyarakat asal atau bumiputera. Isu-isu diskriminasi telah berlanjutan sejak Inggeris menduduki negara itu dan menafikan hak-hak orang-orang asli sebagai penduduk asal di Australia sehinggalah Perdana Menteri Australia terkini Kevin Rudd memulakan dasar mengiktiraf kembali kedudukan mereka sebagai sebahagian dari rakyat Australia. Oleh itu, rasionaliti ‘ketuanan Melayu’ tidak perlu lagi dikompromi. Namun, timbul satu persoalan disini, adakah kita wajar disamakan dengan orang asli di Australia? Walhal kita bangsa Melayu adalah bangsa yang disegani, dan pernah membina sebuah tamadun dan empayar Melayu yang kuat dan berpengaruh suatu ketika dahulu.
Walaubagaimanapun, sekiranya kita melihat dari perspektif sebagai Melayu Muslim, ‘ketuanan Melayu’ atau ‘masters’ tidak dianjurkan langsung oleh Islam. Malahan, kita boleh dijatuhkan dalam kategori yang sama dengan bangsa Yahudi yang mengiktiraf bangsa mereka sebagai ‘bangsa terpilih’ atau ‘chosen race’. Merujuk kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya”. (Surah al-Hujurat: 13)
Dikukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Ini bermaksud, tiada bangsa yang lebih mulia atau tinggi darjatnya dari bangsa yang bertaqwa dan menjiwai Islam sebagai ad-Deen dalam kehidupan seharian. Jadi, persoalan bangsa mana yang lebih tinggi kedudukannya, apabila kita berbicara mengenai usaha memartabatkan bangsa Melayu Muslim, tidak terletak kepada ‘ketuanan Melayu’ sama sekali. Hal ini kerana, untuk menjadikan bangsa Melayu bangsa yang berkedudukan tinggi disisi Allah dan pada masa yang sama dihormati bangsa yang lain tidak kira beragama Islam atau tidak, perjuangan memartabatkan bangsa tidak boleh didasari dengan propaganda ekstrem ‘ketuanan Melayu’.
Hak-Hak Keistimewaan Melayu
Beralih kepada persoalan mengenai ‘hak-hak keistimewaan Melayu’, perkara ini tidak sepatutnya diperdebatkan kerana dalam mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu, hak-hak asasi manusia bangsa lain juga turut dipertahankan secara jelas atau tidak jelas dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak kebebasan beragama bagi bangsa bukan Melayu. Peruntukan secara kasar mengenai ‘hak-hak keistimewaan Melayu’ bukan bererti hak-hak bangsa lain tidak diistimewakan atau tidak diambil perhatian. Hal ini kerana, menyingkap kembali zaman ketika Perlembagaan Persekutuan dirangka, kedudukan bangsa Melayu pada masa itu, boleh juga dikira kedudukan Melayu sehingga sekarang, dalam apa-apa pun bidang terutamanya ekonomi, berada ditahap yang rendah dan mundur berbanding bangsa-bangsa yang lain.
Maka dengan itu, perlembagaan yang terbentuk kelihatan memberatkan penjagaan hak-hak orang Melayu, yang dilayan istimewa melalui perlembagaan. Ini bermakna, ‘hak-hak keistimewaan orang Melayu’ yang digembar-gembur meletakkan prioriti kepada bangsa Melayu sahaja adalah tidak benar, kerana ia diperuntukan semata-mata untuk memastikan keadilan dan kesamarataan dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosio budaya dan lain-lain seperti menurut kata-kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, langsung tidak ada unsur diskriminasi terhadap bangsa lain seperti yang dicanangkan pihak tertentu. ‘Hak-hak keistimewaan Melayu’, menurut Datuk Seri lagi, adalah rasional sehinggalah Melayu boleh berdiri di atas kaki sendiri dan berdikari. Jadi, tiada persoalan membanding beza hak-hak antara bangsa-bangsa di Malaysia.
Namun, yang menjadi pertikaian dan kontroversi hari ini adalah apabila ‘hak-hak keistimewaan orang Melayu’ boleh pula dijadikan propaganda untuk memperjuangkan hak-hak bangsa yang akhirnya bermatlamatkan kejayaan, kedudukan dan manfaat kepada sesuatu golongan, misalnya yang dicadangkan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Padahal, hak-hak ini sebetulnya patut diperjuangkan atas dasar memastikan kesinambungan pembangunan dalam bangsa Melayu sendiri, tanpa menyalahgunakan masalah-masalah seperti kemiskinan dan kemunduran dalam pendidikan sebagai kata kunci propaganda politik yang akhirnya tidak membawa kepada perubahan yang positif terhadap masalah yang dihadapi.
Realiti masa kini memperlihatkan kepada kita bagaimana Barisan Nasional yang terdiri dari parti-parti komponen UMNO, MCA dan MIC kekal dalam pentadbiran selama berpuluh tahun dan masih mendapat keyakinan dari rakyat. Kita juga dapat lihat bagaimana majoriti pemimpin dalam tampuk pemerintahan Negara dikuasai bangsa Melayu, yang mempunyai kewarganegaraan majoriti di Malaysia. Bukan untuk mengangkat kerajaan setinggi-tingginya kerana kejayaan tersebut, dan bukan untuk menjatuhkan parti pembangkang serendah-rendahnya. Apa yang ingin ditegaskan disini adalah, tidak kira bangsa mana pun yang memegang takhta di Putrajaya, sekiranya mereka mempunyai kemampuan dan pengaruh politik yang kuat, rakyat haruslah setia dan memberi penuh ketaatan untuk memastikan kelangsungan keamanan dan kejayaan di Malaysia. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
“Para pemimpin dari Quraish”. (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll)
Hadis diatas kelihatan seolah-olah mengangkat Quraisy sebagai bangsa yang layak untuk menjadi pemimpin dan memerintah, padahal sekiranya kita arif dan mengkaji sejarah pada zaman Rasulullah, bangsa Quraisy adalah bangsa yang kuat berpengaruh dalam kalangan bangsa Arab dan mereka juga berkemampuan untuk memimpin, maka dengan itu Rasulullah bersabda sedemikian, tidak ada ‘ketuanan Quraisy’ yang dicanangkan baginda. Oleh itu, ‘ketuanan Melayu’ tidak boleh sama sekali menjadi propaganda, tema atau slogan dalam perjuangan bangsa kerana definisinya lari dari matlamat sebenar dan jauh terpesong dari maksud kolektif perlembagaan.
Namun demikian, perlu diperingatkan bahawa perjuangan mendaulatkan Islam tidak mungkin akan berjaya sekiranya barisan pemerintah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, walaupun kita menerima bangsa apa sekalipun yang memerintah. Hal ini ditegaskan Allah S.W.T. di dalam firmannya yang bermaksud:
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir jadi pemimpin, bukan orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, bukanlah dia dari (agama) Allah sedikitpun". (Surah ali-Imran:28)
Namun demikian, perlu diperingatkan bahawa perjuangan mendaulatkan Islam tidak mungkin akan berjaya sekiranya barisan pemerintah terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, walaupun kita menerima bangsa apa sekalipun yang memerintah. Hal ini ditegaskan Allah S.W.T. di dalam firmannya yang bermaksud:
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir jadi pemimpin, bukan orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, bukanlah dia dari (agama) Allah sedikitpun". (Surah ali-Imran:28)
Tambahan pula, hak-hak keistimewaan Melayu yang ditatang sentiasa sebagai istimewa harus diperjelas dengan lanjut bahawa ia bergantung kepada rasionaliti mengikut situasi semasa, dan kini hak-hak keistimewaan orang Melayu masih lagi wajar untuk dipertahankan tanpa sebarang kompromi, seperti apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-5, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semasa Perhimpunan Agung UMNO 2010. Sehebat mana pun tentangan atau persoalan yang dilontarkan terhadap hak-hak tersebut, adalah menjadi tugas dan mandat Majlis Raja-Raja untuk memastikan kelangsungan pemeliharaan hak-hak tersebut, mengikut apa yang dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan.
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment