Sunday, February 6, 2011

Perjuangan Sebenar di Bumi Malaysia (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hak-hak keistimewaan Melayu’ sememangnya adalah dua item dan istilah yang berbeza. Malahan istilah pertama itu tidak langsung disebut dalam Perlembagaan Malaysia, mungkin lahir menerusi agenda politik yang mengejar cita-cita untuk memperjuangkan nasib parti politik berbanding bangsa sendiri, dalam mengekalkan penguasaan terhadap tampuk pentadbiran Negara. Ia juga lahir atas dasar kekeliruan terhadap maksud sebenar Perlembagaan yang diterjemah melalui istilah yang sama sekali bercanggah dengan maksud Perlembagaan keseluruhannya. Maka, latar belakang pembentukkan Malaysia, maksud sebenar Perlembagaan dan matlamat asal dokumen tertinggi itu harus dikaji dan dianalisa bagi tujuan memahamkan rakyat jelata yang kian berada dalam kancah perpecahan yang sudah pasti akan menjadi indikator utama kejatuhan Negara pada masa akan datang.

Objektif dan Adjektif Sebenar Perlembagaan

Rakyat Malaysia hari ini masih ragu-ragu dengan status Negara Malaysia, malah penulis sendiri tidak tahu jawapannya apabila pertanyaan sebegitu diaju. Kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan rakyat sebagai sumber autoriti pentadbiran. Majoriti rakyat sedar dan arif dengan sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia, namun yang menjadi isu sekarang adalah, apakah ‘nature’ Perlembagaan dan Negara Malaysia sebenar, sama ada Negara Islam, Negara Bangsa, Negara Sekular atau apa sahaja yang mungkin diterjemah masyarakat amnya.

Status Negara Malaysia

Secara logiknya, sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), Malaysia mesti dilihat sebagai sebuah Negara Islam, seperti yang dipersetujui Tun Dr. Mahathir Mohammad. Namun begitu, ia bertentangan dengan apa yang diidamkan bekas Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara bukan Islam, dan Islam adalah agama Persekutuan. Merujuk kepada Perkara 3 (1), agama Islam adalah sememangnya agama Persekutuan, akan tetapi yang menjadi tanda tanya masyarakat Muslim di Negara ini adalah maksud disebalik ‘agama Persekutuan’.


Menurut Mohammad Isa Md. Ralip, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, ia bermaksud hanya agama Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, yang perlu dilindungi, dihormati, dan kedudukannya lebih tinggi dari agama-agama lain yang turut diamalkan di Malaysia, kerana ia berstatus ‘agama Persekutuan’. Ada  yang berpendapat bahawa kenyataan selanjutnya dalam Perkara 3 (1) iaitu “tetapi agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai” bererti agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak mengundang kemudharatan terhadap penganutan dan pelaksanaan agama Islam selaku agama Persekutuan. Maka dengan ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi.

Hal ini boleh dilihat menerusi Jadual 9 Senarai 2 dimana bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertahankan dan tidak boleh dikompromi oleh penganut-penganut agama lain.  Ia memberi makna bahawa, sekiranya terdapat pertembungan antara dua agama, sebagai contoh dalam isu pengkebumian muallaf, maka agama Islam akan dimartabat dan undang-undang Islam akan tertegak, sekiranya muallaf tersebut terbukti beragama Islam, berlainan solusi jika sebaliknya. Jadual tersebut juga menyebabkan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam pengendalian perkara yang jatuh dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut undang-undang Islam. Kesimpulannya, agama Islam dan undang-undangnya sedia dan kuat dipertahankan dalam perlembagaan sebagai agama Persekutuan. Jadi, tidak wajarkah Malaysia diiktiraf sebagai Negara Islam?

Pada masa yang sama Malaysia turut melaksanakan Undang-undang Sivil, yakni undang-undang ciptaan manusia walhal kita selaku Muslim sepatutnya kurang senang dengan kedudukannya yang kelihatan seperti  undang-undang utama di Negara kita, walaupun Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam masih terpelihara. Namun sejauh manakah kedudukan tertinggi agama Islam, pelaksanaan undang-undang Islam dan perlindungan bidang kuasa Mahkamah Syariah mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang diiktiraf dunia?

Merujuk lagi kepada Perkara 3 (1), agama Islam adalah agama Persekutuan. Kita sebagai Muslim sedar bahawa Islam adalah agama yang unik, kerana ia berlandaskan prinsip syumul, yakni menyeluruh. Ini bermakna, agama Islam mempengaruhi seluruh aspek kehidupan manusia tidak kira dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial. Oleh kerana agama Islam dimartabatkan sebagai agama Persekutuan, mahu tidak mahu segala gerak kerja yang dijalankan dalam lingkungan geografi Kerajaan Malaysia mestilah mencerminkan kesyumulan Islam. Maka, tidak boleh disangkal lagi, memandangkan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Negara, agama Islam yang merangkumi sistem pemerintahan, perundangan, muamalat, ibadat, dan akhlak mesti dilaksanakan dan dihormati.


Ibadah

Walaubagaimanapun, yang menjadi isu hari ini adalah para pemimpin sejak penubuhan Malaysia seolah-olah menutup sebelah mata terhadap maksud perlembagaan secara kolektif. Dalam erti kata lain, kesyumulan Islam tidak diperjuangkan dalam konteks Malaysia hari ini. Jadi wajarkah Malaysia dilabel sebagai Negara Islam? Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“…Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? …“. (Surah aZ-Zumar:39)

Konteks ‘sembah’ yang dimaksudkan adalah tunduk dan patuh kepada agama Allah S.W.T. Apabila kita mula mengetepikan sebahagian dari agama, maka tidak akan diterima segala apa yang kita laksanakan, walaupun kita menerima sebahagian dari agama dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

 “…Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu…” (Surah al-Maidah:3)

Oleh itu, tidak boleh tidak Islam yang sudah disempurnakan ini mesti diterima secara menyeluruh, jika sebaliknya, status kita selaku Muslim wajar dipersoal menyaksikan realiti kehidupan kita yang tidak mengamalkan Islam secara syumul. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“…Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi…” (Surah ali-Imran:35)

Jadi dimana kedudukan Islam sebenar di Malaysia? Islam bukanlah agama rasmi persekutuan, kerana kedudukannya melebihi agama lain mengikut perlembagaan, malah ia adalah satu-satunya agama yang diterima dan diredhaiNya, dan pelaksanaanya meliputi segala aspek yang ada.

Melayu Muslim

Penulis berbangga kerana berada dalam golongan Melayu Muslim, namun kadangkala penulis terfikir mengapa di dalam perlembagaan, orang Melayu disinonimkan dengan Muslim atau beragama Islam? Seperti hadis sebelumnya, Islam itu adalah untuk semua, juga tiada paksaan dalam beragama Islam, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Tiada paksaan dalam beragama Islam”. (Surah Al-Baqarah:256)

Jadi, mengapa kuasa atau hak-hak untuk menganuti agama diserahkan secara mutlak kepada Perlembagaan Persekutuan dibawah Perkara 160? Apakah motif dan rasionaliti disebalik mengIslamkan Melayu?

Hal ini kerana orang Melayu telah menerima kedatangan Islam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, dimana Parameswara selaku pemerintah ketika itu telah memeluk Islam turut disertai oleh sekalian rakyat jelata. Oleh sebab itu, Islam sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu; sistem perundangan melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka sebagai contoh; yang akhirnya diwarisi turun temurun dari nenek moyang kita. Walau sekadar menjadi Islam atas dasar keturunan, tidakkah kita bersyukur kerana kedatangan Islam itu dipermudah?

Selain daripada itu, hal ini mungkin kerana bangsa Melayu mempunyai kerakyatan tertinggi di Malaysia. Oleh sebab itu, dalam usaha memperkukuh pertahanan untuk melindungi peingiktirafan agama Islam sebagai agama Persekutuan, peruntukan tersebut dibukukan dengan jelas untuk mengelak sebarang kompromi dan pertikaian. Dengan kuasa majoriti dan tawar menawar yang terjamin utuh, agama Islam dan perlaksanaan undang-undangnya akan berjalan lancar dan Melayu Muslim serta Muslim dari bangsa yang lain akan dapat menikmati keindahan Islam sebagai ad-Deen dalam kehidupan seharian. Namun sejauh mana manfaat untuk memartabatkan Islam itu diguna pakai, apabila kita umat Islam yang memerintah masih mengutamakan undang-undang manusia yang tidak selari dengan tuntutan agama.

Maka dari sini kita dapat lihat, bahawa perjuangan bangsa adalah seiring dengan agama Islam itu sendiri, kerana untuk mempertahankan Islam di bumi Malaysia, kita harus memperkasakan bangsa dengan memartabatkan Islam dalam kehidupan masyarakat khususnya Melayu yang dikatakan sudah beragama Islam, namun tidak syumul dari segi pelaksanaan hukum-hakamnya dan kurang teguh pegangan aqidahnya.

(akan bersambung)

aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment