Wednesday, March 30, 2011

Nasionalisme VS Asobiyyah (4)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Bukan niat penulis untuk mengutuk pembinaan Negara-negara Islam yang boleh dikatakan membawa manfaat kepada rakyat jelata kerana deregulasi dan dasar desentralisasi yang akan lebih sensitif terhadap isu dalaman. Bukan niat penulis untuk cuba mengubah sejarah dengan menyatukan semula kesemua Negara Islam yang wujud hari ini.

Namun, apa yang ingin diperjelaskan oleh penulis adalah, usah berterusan melihat Negara-negara Islam seperti terpisah sepenuhnya. Kita punya aqidah yang satu untuk menyatukan kita, kita yakin dan beriman terhadap kekuasaan Allah yang akan membantu kita sekiranya kita membantu agamaNya. Sudah masa untuk kita menanam ukhuwah Islamiyyah di dalam jiwa setiap mukmin, sudah tiba kasih sayang sesama mukmin menjadi kunci kekuatan yang mapan dalam kalangan umat Islam, tidak mengira bangsa, latar belakang, tempat, kawasan, negeri, Negara, mahupun benua. Seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu berpetunjuk.” (Surah Ali-Imran:102-103)

Kerana kita sedar, umat Islam berlandaskan syahadah yang satu, dinaungi Islam yang satu sebagai cara hidup yang membawa kesejahteraan disetiap penjuru, juga bertuhankan dan dilindungi yang Maha Berkuasa di setiap keadaan dan waktu.

Oleh itu, marilah kita hamparkan semangat nasionalisme sebagai landasan menuju matlamat agung, yakni menegakkan syiar Islam yang kian terhakis lantaran dasar-dasar dan fahaman yang melemahkan umat Islam keseluruhannya. Sedar atau tidak, semangat nasionalisme dari perspektif Islam adalah semangat mendaulatkan Islam dengan memperkasakan bangsa dengan Islam yang syumul. Sekiranya umat Islam yang terdiri dari pelbagai bangsa dan latar belakang bertindak melaksanakan gerak kerja yang melihat kedaulatan Islam sebagai matlamat yang satu, maka kekuatan Islam akan terbina kerana umatnya yang bersatu bukan sahaja dalam kalangan bangsa, malah bersatu atas dasar aqidah. Di setiap penjuru dunia, syiar Islam bergema, menggegarkan dunia serta umat bukan Islam yang pada masa kini memandang rendah Islam sebagai suatu pegangan kehidupan, lebih dari agama-agama yang menjadi anutan manusia-manusia selebihnya.


aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment