Monday, March 14, 2011

Nasionalisme VS Asobiyyah (3)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Peringatan: Asobiyyah sebagai Mudharat, bukan Manfaat

Ramai yang menyamakan konsep asobiyyah dan nasionalisme sehinggakan konsep sebenar asobiyyah mengaburkan pandangan terhadap konsep yang tulus lagi suci dibawah frasa nasionalisme. Seperti yang telah dibicarakan dalam "Nasionalisme VS Asobiyyah (2)", nasionalisme adalah semangat kecintaan kepada bangsa dan Negara yang boleh dimanipulasikan untuk manfaat agama Islam itu sendiri sebagai matlamat akhir setiap gerak perjuangan diatas muka bumi, khususnya di Malaysia. Maka, apakah peranan asobiyyah di dalam kehidupan seharian? Seperti yang diutarakan sebagai tajuk entri kali ini, asobiyyah itu adalah unsur negatif yang memudharatkan, bukan memanfaatkan umat sejagat.


Masih ada lagi yang kabur dengan maksud sebenar asobiyyah. Ada yang berpendapat bahawa asobiyyah adalah semangat cintakan bangsa, maka ia adalah selari dengan nasionalisme. Walhal sekiranya kita selaku umat Islam mengambil berat kata-kata Rasulullah S.A.W melalui hadisnya, maka akan jelaslah kepada kita maksud sebenar asobiyyah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Bukan dikalangan kami sesiapa yang menyeru kearah asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang berjuang di atas dasar asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang mati di atas dasar asabiyyah”.

Lalu sahabat bertanya, “Apakah Asobiyyah Ya Rasulullah?”

Rasulullah saw menjawab: “Engkau menolong kaum bangsamu di atas dasar kezaliman”. (Riwayat Abi Dawud)

Dari sini dapat kita lihat bagaimana Rasulullah menterjemah dan memperjelas konsep asobiyyah yang sebenar, tiada kompromi atau tolak ansur. Sudah terang lagi bersuluh asobiyyah adalah semangat dan perjuangan yang mengutamakan bangsa sendiri serta pada masa yang sama tidak mengendahkan hak-hak dan keperluan bangsa-bangsa yang lain. Dengan itu, mulalah adegan jatuh-menjatuhkan dan sketsa kezaliman keatas hak asasi manusia. Akibatnya, kemajuan Negara tidak akan tercapai secara menyeluruh kerana hanya satu bangsa sahaja yang memonopoli manfaat dan kuasa, sedangkan bangsa yang lain terbiar tidak terjaga dan tidak terjamin kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Dari perspektif kita selaku umat Islam, kezaliman boleh dilihat melalui perjuangan yang melebihi perjuangan menegakkan syiar Islam, meletakkan matlamat kejayaan dan manfaat individu atau bangsa pada tempat yang teratas, bukan pada tempatnya, dan mengetepikan matlamat asal atau sebenar sebagai khalifah di muka bumi. Masa kini kita dapat lihat, bagaimana semangat nasionalisme menjadi matlamat, bukan alat, mengaburi perjuangan Negara-negara Islam yang mendiamkan diri apabila Negara Islam yang lain diceroboh dan diratah sesuka hati, dimana perikemanusiaan tidak terbela, kezaliman berleluasa dan hak-hak asasi manusia dinafikan.

Seperti contoh, negara-negara liga Arab tiada upaya bersatu untuk menentang Israel yang kecil itu kerana masing-masing negara Arab berbangga dengan negara bangsa mereka. Arab Saudi dengan Arab kesaudiannya, Arab Mesir dengan Arab kemesirannya, Arab Jordan dengan Arab kejordanannya,  Kuwait dengan Arab kekuwaitannya, termasuk juga Negara-negara Islam yang sewaktu dengannya. Semuanya tidak mempunyai semangat yang membara untuk memperjuangkan Islam dan umatnya, walaupun kaya dengan minyak namun tidak terdetik untuk bangkit kerana berpegang dengan ideologi kebangsaan masing-masing dan konsep kesempadanan. Selagi ia tidak berlaku dalam lingkungan geografi sesebuah Negara jiran, Negara yang menjadi mangsa dibiarkan untuk ditonton umum tanpa pertolongan yang mengiringi penderitaan rakyat dan umat seagama.

Apa yang ingin diketengahkan disini adalah, semangat nasionalisme boleh menjadi alat untuk mengembalikan kedaulatan Islam, namun sekiranya ia disalahgunakan dan diutamakan melebihi semangat Islah dalam kalangan umat Islam, tidak ada bezanya dengan semangat asobiyyah yang diusul Rasulullah S.A.W. Hal ini kerana matlamat perjuangan tidak menjangkau kepada pengembalian kegemilangan Islam dalam menyebarkan syiar dan rahmat kepada seluruh umat manusia, malahan lebih kepada mengutamakan Negara dan bangsa sendiri. Akibatnya, umat Islam dilihat tidak bersatu dan mapan dalam mengatasi masalah yang berlaku di dalam Negara Islam yang lain, walaupun hanya terpisah oleh sempadan yang sama sekali tidak mengehadkan skop perjuangan Islam di atas muka bumi Allah.

Lebih memalukan, umat Islam berpecah belah hanya disebabkan keinginan untuk memiliki Negara sendiri, tanah air sendiri, tanah tumpahnya darah sendiri, tanpa memandang kea rah pembentukan Negara Islam secara amnya. Kelainan bangsa dan latar belakang menjadikan umat Islam boleh dibanding beza antara satu sama lain, tidak lagi memandang agama Islam sebagai pegangan aqidah yang menyatukan umat Islam diserata dunia. Kita boleh lihat bagaimana Mesir terpisah dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah kerana terpengaruh dengan konsep kenegaraan dan kesempadanan, lantas memisahkan jajahan Mesir untuk membentuk sebuah Negara Islam yang baru, berasaskan kebangsaan dan kerakyatan Mesir serta peradaban firaun. Tidak cukup dengan itu, dasar kepuakan (komunalisme) dalam bangsa Sham telah mewujudkan Negara Syria, Jordan, Palestin, Lubnan dan Israel.

Ramai yang tidak dapat lihat dengan jelas akibat dari pembinaan Negara-negara Islam mengikut bangsa dan suku kaum, kerana Negara yang terbina masih lagi menganuti Islam sebagai cara hidup dalam setiap aspek, bukannya mencetus pembinaan Negara-negara kafir. Namun hakikat dari perpecahan sebegini adalah, apabila berlaku sesuatu konflik, seperti contoh apa yang berlaku di Iraq dan Palestin, Negara Islam yang lain seolah-olah tidak berganjak walau seinci untuk tampil kehadapan, menghalang pencabulan hak asasi manusia yang berlaku terhadap umat seaqidah dengan mereka. Kerana apa? Apabila ditanya, mereka akan menjawab, “Itu masalah Negara mereka, kami tidak boleh campur tangan dalam konflik antara mereka dan Negara sekian-sekian”. Yang lain pula akan berkata, “Kami tidak boleh sesuka hati masuk campur dalam konflik tersebut, atau kami akan terlibat sekali dalam konflik yang akan memudharatkan Negara kami di kemudian hari, apa pula yang akan terjadi kepada rakyat jelata kami”.

(bersambung...)


aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment