Konsep Sebenar: Nasionalisme sebagai Alat, bukan Matlamat
Senario kontemporari memperlihatkan kepada kita bagaimana masyarakat amnya kurang memahami konsep sebenar nasionalisme sehingga menanam kesalahfahaman terhadap istilah yang dikatakan berunsur kearah perpecahan kaum. Pada hakikatnya, nasionalisme bukan sekadar semangat cintakan bangsa sendiri, malahan ia menjangkau kepada semangat cintakan Negara, seperti apa yang diperkukuhkan oleh tokoh terkenal politik Islam Negara, Dr. Burhanuddin al Helmi. Ia bermakna, kita mencintai bangsa kita dengan hasrat untuk menaiktaraf kedudukan dan tahap kemajuan dalam aspek ekonomi, taraf hidup, pendidikan dan sebagainya. Ini secara tidak langsung menjurus kearah pembangunan masyarakat Negara yang berintelektual tinggi dan maju dari aspek kelangsungan kehidupan. Oleh kerana ia adalah semangat cintakan bangsa, mustahil hanya satu bangsa di dalam sesebuah Negara sahaja yang mempunyai matlamat tersebut.
Lantaran itu, ada sahaja yang mempertikaikan bahawa pertembungan di antara gerak perjuangan satu bangsa dengan bangsa yang lain akan menimbulkan perpecahan. Hal ini semestinya tidak benar dan hanya rekayasa semata-mata. Ini kerana apabila kita bercakap mengenai kemaslahatan bangsa dalam sesebuah Negara, kita menginginkan keadaan Negara yang aman dan makmur untuk manfaat bangsa mereka juga, bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan ketidakadilan, dominasi, dan kesukaran untuk bertolak ansur. Oleh sebab itu, setiap perjuangan bangsa yang dibakar semangat nasionalisme tidak akan sekali-kali cuba mengganggu-gugat kestabilan Negara dan menceroboh hak asasi bangsa-bangsa yang lain. Dengan ini, dapatlah kita lihat pembangunan masyarakat dan Negara yang progresif dan kompetitif, tidak bersifat jatuh-menjatuhkan dan sentiasa bekerjasama untuk kebaikan bersama.
Dari sudut perspektif yang lain, ada juga yang mencanangkan bahawa semangat cintakan Negara tidak perlu diperjuangkan kerana bagi kita orang-orang Islam, perjuangan hakiki adalah memperjuangkan kedaulatan Islam di muka bumi, serta menjadi khalifah memakmurkannya. Sebahagian yang lain meletakkan semangat cintakan bangsa dan Negara sebagai tidak selari dengan tuntutan Islam, kerana dalam setiap gerak kerja yang dilakukan tidak menggambarkan perjuangan Islami. Wajarkah kita berkata sedemikian?
Mari kita telusuri sirah pada zaman Rasulullah S.A.W., tatkala nabi berhijrah meninggalkan Mekah, baginda menitiskan air mata kerana berat rasa untuk meninggalkan Negara kelahirannya. Boleh juga disaksikan bagaimana kasih sayang Rasulullah terhadap kota Mekah tercabar apabila kiblat untuk melaksanakan solat beralih dari Mekah ke Baitul Maqdis ketika nabi berada di kota Madinah. Selain dari itu, di dalam doa Nabi Ibrahim, baginda berdoa untuk kota Mekah dengan ayat, “Jadikanlah negeri ini aman makmur”. Jadi, adakah wajar kita mempertikai apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan Nabi Ibrahim sebagai tidak mengikut tuntutan agama dengan mencintai Negara mereka?
Tidak itulah jawapannya. Hal ini kerana dalam memperjuangkan kedaulatan Islam, seperti apa yang dicanang oleh Imam Hassan al Banna, kekuatan Islam berpunca dari konsep Islam, tanah air dan kuasa. Secara logik, ia bermaksud umat Islam mesti berpegang teguh dengan aqidah yang satu untuk menjadikan umat Islam itu teguh tidak lemah dan mudah mengalah. Tidak cukup dengan itu, kita boleh katakan bahawa untuk melaksanakan syariat islam seperti perundangan, perekonomian, cara hidup Islam, dan ibadah, Islam mesti memiliki sebidang kawasan atau lebih mudah dikenali sebagai Negara untuk mempermudah perlaksanaan Islam secara syumul. Akhirnya, untuk menjamin kemaslahatan umat Islam serta syariatnya, umat Islam mesti memiliki kuasa di dalam Negara mereka untuk mengawal dan menguasai dengan kuat kuasa tawar menawar, agar Islam tidak mudah dan sentiasa dikompromi.
Kerana apa kita berpasak teguh kepada ketiga-tiga ciri tersebut? Ia semata-mata untuk memperjuangkan islam dengan konsep Negara, yang mana Islam akan mudah bertapak dengan kekuatan aqidah, pemilikan Negara, dan kekuasaan umat Islam. Seperti ayat al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya, solat aku, hidup ku dan mati ku kerna Tuhan semesta alam”. (Al-Quran)
Maka, tidak timbul isu sama ada semangat cintakan Negara itu bercanggah dengan tuntutan Islam. Hal ini kerana kita mendasari segala gerak kerja dengan Islam, dan memperjuangkan Islam dengan menjadikan semangat nasionalisme sebagai alat, bukan matlamat. Nasionalisme adalah penggerak umat Islam untuk memperjuangkan kedaulatan Islam dibumi di mana mereka pijak, dan menyebarkannya dengan perluasan wilayah, seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam beberapa siri peperangan.
Apabila kita menyingkap semula sejarah Rasulullah dalam menegakkan Islam di Mekah, Baginda sama sekali menentang bapa saudaranya Abu Jahal, walaupun mereka adalah satu keluarga dan bangsa. Di samping itu, Abu Bakar di dalam perang Badar tidak berbelah bagi untuk berjuang demi Islam sehinggakan anak kandungnya sendiri yang kafir, Abdul Rahman dibunuh tanpa belas kasihan. Kita juga boleh saksikan bagaimana Al-Jarrah dibunuh Abu Ubaidah di dalam perang yang sama, sama sekali tidak ragu-ragu dalam rentak perjuangan Islami. Ini membuktikan bahawa, semangat nasionalisme tidak menjadi matlamat utama, kerana perjuangan hakiki kita selaku umat islam ialah untuk memperjuangkan islam dan kedaulatannya. Tidak boleh juga dikatakan bahawa semangat nasionalisme berbaur asobiyyah kerana keluarga sendiri tidak dilebihkan dari kasih sayang kepada agama tercinta.
Jadi sejauh mana nasionalisme boleh menjadi alat untuk mencapai matlamat utama yakni kedaulatan Islam di muka bumi? Salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah dengan memanipulasi bangsa untuk kedaulatan agama sebagai strategi pengislahan. Bagi menjamin keutuhan kedudukan Islam dalam kalangan umat Islam, semangat nasionalisme boleh dijadikan sebagai katalis untuk menyatukan umat Islam yang berlainan bangsa.
Melalui sejarah kita dapat lihat bagaimana umat Islam yang berbilang bangsa dan latar belakang dapat disatukan oleh Rasulullah S.A.W. dengan memanfaatkan dua orang naqib, satu untuk setiap dari kaum Aus dan Khazraj untuk mempermudah penyatuan antara kedua-dua bangsa tersebut. Dengan pendekatan yang sama, rentak dakwah dapat disebar luas dengan mudah diserata Madinah khususnya, lantas dapat membina sebuah Negara Madinah, dilengkapi dengan sebuah piagam, yang akhirnya dapat menjana pembangunan ummah, serta menyebar luas syiar Islam diserata tanah Arab.
Dalam perjuangan dalam mendaulatkan Islam, semua bangsa adalah sama tidak ada yang mengetuai atau kedudukannya mengatasi yang lain. Hal ini kerana Islam menjadi garis panduan dan neraca keadilan dalam pelaksanaan syariat-syariat dan perjalanan kehidupan seharian. Kita boleh tatapi sejarah pada zaman Nabi bagaimana bani Quraizhah telah dijatuhkan hukuman lantaran pengkhianatan mereka selepas perang Ahzab. Untuk memastikan keadilan yang benar-benar tertegak, tidak diseleweng dan tidak berat sebelah, hukuman tersebut dilaksanakan oleh seorang individu dari bangsa lain iaitu, Sa’ad bin Mu’az, seorang Ansaari.
Dengan kerjasama antara bangsa yang berlainan, atas dasar Islam, pelaksanaan syariat-syariat dan undang-undang Islam akan dipermudah apabila satu bangsa menjadi perantara atau pelaksana hukuman ke atas bangsa yang lain. Maka dengan itu, umat Islam walaupun berlainan bangsa, akan dapat memastikan keadilan dalam setiap pelaksanaan hukum-hukum Islam, dan memastikan umat Islam yang berbangsa lain dari melakukan perkara yang dilarang syarak dan tidak melampaui batas.
Dalam konteks Malaysia hari ini, amat penting untuk umat Islam memperolehi kuasa tawar menawar yang kompetitif dan tidak lemah. Demi untuk memastikan kelangsungan kedaulatan Islam, umat Islam harus memegang tampuk pentadbiran agar pelaksanaan undang-undang Islam dapat digerakkan. Antara satu cara yang mampu diaplikasikan atas dasar nasionalisme adalah menjadikan bangsa Melayu Muslim sebagai alat untuk mengekalkan kekuatan Islam di bumi Malaysia. Untuk itu, Melayu Muslim harus memperjuangkan kedudukan bangsa mereka kerana mereka adalah bangsa yang menjadi tunggak kepada umat Islam secara amnya di Malaysia, memandangkan suara dan undi mereka adalah majoriti.
Namun, dalam usaha memartabatkan bangsa Melayu Muslim tidak harus mengetepikan hak-hak dan keperluan bangsa-bangsa lain, tidak kira yang beragama Islam atau tidak, juga perjuangan Melayu Muslim harus didasari dengan keadilan yang dianjur Islam, tanpa ada kezaliman yang akan menjadikan rentak perjuangan dijana melalui semangat nasionalisme ekstrem atau asobiyyah yang melampau. Oleh itu, masyarakat Melayu Muslim khususnya harus diperkasakan bagi memastikan kelangsungan jalan dakwah di Malaysia, serta pemerkasaan Islam di bumi tercinta.
(akan bersambung...)
aRifF.DaNiaL
No comments:
Post a Comment