Tuesday, March 29, 2011

Dimensi Pancaindera

Kesekian kali kita merentas arus kehidupan...
Ada yang penuh dengan onak duri, ada yang dipenuhi kebahagiaan yang menyenangkan hati...
Namun, peliharalah segala tindak tanduk sepanjang keberadaan di dunia...
Peliharalah pancaindera dari zina walau sekecil mana ia mendatangkan dosa...
Doronglah ia kearah kebajikan yang menguntungkan, menjangkau akhirat jua...
Bukan untuk menjadi hamba yang sempurna, kerana itu manusia diciptakan lemah dan terhad upaya...
Bukan untuk menjadi hamba yang hina, kerana itu manusia diciptakan sebaik-baiknya...
Oleh itu mari telusuri perkongsian bersama, agar manfaat dapat diterjemah didalam kehidupan menuju Firdausi dambaan semua...

Peliharalah mata dan penglihatan...
Dikurniakan berpasangan, namun kedua-duanya berfungsi untuk melihat perkara yang sama tidak boleh dipisahkan...
Oleh itu, pastikanlah penglihatanmu dikemudi kearah yang elok untuk dijadikan tatapan...
Usah dilayan bentuk rupa, wajah, dan keindahan yang melalaikan dari tanggungjawab kepada Tuhan...
Jangan terpedaya sehingga memikat dan merangsang nafsu kearah kemaksiatan...
Lihatlah keindahan panorama alam sebagai tanda kekuasaan Tuhan, menyedarkan betapa kecilnya daya manusia untuk menjadi perbandingan...
Hayatilah kecantikan isteri yang menyenangkan hati, lantas menghapus amarah suami lantaran bebanan kerja yang semakin menggugat kesabaran diri...
Lihatlah senyuman seindah purnama kanak-kanak riang yang bermain di persekitaran, lantas senyuman juga akan terukir diwajahmu tanpa rasa kebencian, malah penuh dengan kasih sayang...
Ambillah iktibar dari kemiskinan yang kamu lihat sebagai pendorong kearah melakukan kebajikan, jangan mereka ditinggalkan tanpa bantuan perikemanusiaan...
Saksikanlah kemusnahan alam sebagai tanda-tanda awal kehancuran dunia akhir zaman, agar sekalian umat mula menjejaki semula kasih Tuhan yang keciciran...
Tontonlah bagaimana anak-anak muda kamu masa kini hebat melayan diri dengan hiburan dan gejala sosial yang berleluasa, agar tergerak untuk menyedarkan mereka hakikat masa depan yang tidak pasti pengakhirannya...
Maka dengan itu, akan terpeliharalah mata dan penglihatanmu dari perkara yang sia-sia, malah dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama...

Peliharalah telinga dan pendengaran...
Juga seperti mata, diciptakan berdua untuk perkara yang sama pada suatu masa...
Bukan untuk mendengar perkara yang baik disebelah, disebelah sebaliknya...
Sudah diketahui bahawa kebenaran itu datangnya dari Dia, maka carilah perkataan dan mesej yang berlandaskan aqidah yang mentarbiyyah jiwa...
Dengarlah peringatan dari mereka yang berilmu dan berkelayakan, bukan untuk tidak diendah namun untuk kefahaman dan memantapkan amalan seharian...
Carilah penyampai yang terbukti kebaikannya melalui perbuatan dan luaran, kerana boleh jadi dia menyampaikan namun tidak melaksanakan...
Namun berhati-hati juga dengan yang menyampaikan melalui perkataan dan perbuatan, namun hati berniat mengelirukan...
Telitilah mesej yang disampaikan, bukan semua orang boleh dijadikan rujukan, tetaplah berpegang teguh dengan kalam Allah dan sunnah Rasul akhir zaman, kelak tidak kesesatan...
Hayatilah alunan irama yang menyedarkan diri akan kekuasaan Yang Maha Menciptakan, usah berhibur sakan melalui saluran yang mengasyikkan...
Usah dikejar mesej yang mengelirukan, termakan dengan hasutan dan godaan syaitan, sehingga menggugat keimanan dan menunduk ketakwaan...
Jauhi dari perkataan yang tidak menyenangkan, sampai suatu masa akan terpengaruh dan menjadi ikutan...
Berundur dari mereka yang memburukkan Islam dan ajaran yang diwariskan, kerana tiada masa untuk dibazirkan dengan ahli kitab yang berleluasa memutar belit, yang sudah jelas kafir dan tidak sehaluan...
Maka dengan itu, akan terpeliharalah telinga dan pendengaranmu dari perkara yang sia-sia, malah dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama...

Peliharalah mulut dan percakapan...
Tiada berpasangan, namun memerlukan lebih perhatian...
Sesiapa pun boleh meluahkan perkataan, dusta atau yang haq sukar ditentukan...
Baik atau buruk menjadi penilaian pada pendengaran manusia di persekitaran...
Oleh itu, berbicaralah mengikut ketelitian dan kepandaian...
Bukan sekadar petah menyusun kata, namun isinya kosong tidak bermakna...
Lontarkanlah suara sekuatnya dalam menegakkan agama Islam tercinta...
Usah sunyi dan berdiam diri, di saat agamamu tercabar oleh kebijaksanaan yang memutar belit aqidah yang nyata...
Usah menggunakan kefasihan menggertak syiar Islam yang telah pun sempurna, mantapkan kefahaman dan sebarkan sebagai pedoman...
Menjadi tugas seorang da’ie, menyampaikan risalah meneruskan tugasan Nabi...
Sungguh perjalanan dakwah tidak terhenti, walau diketika kewafatan Nabi menjadi titik akhir pengutusan Rasul Ilahi...
Kerana itu manusia akhir zaman menjadi bualan Hadis dan Al-Quran...
Menjadi umat pengakhiran, menjamin kebangkitan semula Islam selepas tewas dalam propaganda yang menghancurkan Sistem khalifah sebagai mekanisme politik Islam, dijadikan pula bahan permainan...
                Tergadai tanpa pampasan yang bernilai disisi Tuhan...
Maka tanamlah kesedaran dengan pengetahuan dan kepakaran dalam berbicara...
Bangkitkanlah iman yang lesu dengan bahasa yang indah dan menarik jiwa, agar hati bersedia menerima seruan yang utama...
Sampaikanlah kebenaran kepada sesiapa sahaja yang mendekati...
Tidak lupa juga kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang kian terpesong dari landasan menuju syurga abadi...
Peliharalah perkataan yang kamu suarakan, usah asyik dilepaskan tanpa pertimbangan...
Manfaatkan percakapan untuk perkataan baik-baik, elakkan dari disia-siakan dengan kata-kata kasar dan tidak molek ...
Jangan sampai melukakan hati, lantas diri dijauhi dan tidak lagi ingin didekati...
Dendangkanlah alunan suara yang membuat jiwa berkobar-kobar dalam perjuangan, tidak gentar menghadapi musuh dalam medan peperangan, juga tidak berputus asa menjadi insan terbaik, keringat dikerah berterusan...
Deklamasikan puisi agar terkesan sanubari mereka yang mendengar  untuk dihayati, semoga bertaut minat untuk mendekati Ilahi, kekal melangkah di atas aqidah yang suci...
Maka dengan itu, akan terpeliharalah mulut dan percakapanmu dari perkara yang sia-sia, malah dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama...

Walaubagaimanapun...
Beringatlah bahawa hati itu boleh melihat, mendengar dan berbicara...
Tidak nyata fungsinya, kerana itu amat sukar untuk dipelihara...
Oleh itu, sucikanlah hati dengan membaca kalam Allah sebagai rutin harian...
Usah terpinggir dari firman Tuhan dan Hadis Nabi, jadikan sebagai pengajaran dan garis panduan...
Sentiasa mantapkan amalan seharian dengan merujuk kepada mereka yang lebih berpengetahuan...
Jangan terabai keraguan yang boleh merosakkan iman, nescaya menjadi senjata taghut untuk cuba menyesatkan...
Untuk mencapai ketenangan didasar lautan hati, basahilah bibir dengan zikir mengingati Ilahi...
Nescaya diri terpelihara dari maksiat yang mengotorkan diri, agar sentiasa suci pada pandanganNya dan berseri-seri...
Sematlah dengan cermat aqidah yang menjadi tiang penguat kehidupan sebagai seorang abdi...
Sulamlah ketakwaan agar menghias indah jiwa yang mendamba syurga di akhirat nanti...
Manifestasikan syahadahmu dengan ibadah dan amalan dalam setiap inci kehidupan yang dijalani...
Usah terhadkan rahmat syahadah hanya kepada diri sendiri, sampaikan kebenaran yang pasti...

Maka dengan itu...
Akan terpeliharalah dirimu keseluruhannya dari ajakan syaitan kearah kemungkaran...
Malah dinaungi Tuhan dengan rahmat yang tiada batasan...
Agar Firdausi menjadi destinasi yang melimpahkan  kejayaan...
Bukan menjadi bahan bakar dalam Jahannam yang menyeksakan...



aRifF.DaNiaL

No comments:

Post a Comment